Monday, June 27, 2011

Khutbah Al-Wasilah Oleh Amir al-Mukminin a.s dalam Raudhah Min al-Kafi, hlm.16-25)

KHUTBAH AL-WASILAH
                                                                    Oleh Amir al-Mukminin a.s
                                                               Raudhah Min al-Kafi, hlm.16-25)




       4. Muhammad bin Ali bin Mu‘ammar, daripada Muhammad bin Ali bin  ‘ikayah al-Tamimi, daripada al-Husain bin al-Nadhar al-Fihri, daripada Abu ‘Umru al-Auza‘i daripada ‘Umru bin Syamar, daripada Jabir bin Yazid berkata: Aku telah datang berjumpa Abu Ja‘far a.s, maka aku berkata: Wahai anak lelaki Rasulullah, perselisihan Syiah di dalam mazhab-mazhab mereka telah mendukacitakan aku, maka beliau a.s berkata: Wahai Jabir, tidakkah aku telah menerangkan kepada kamu tentang pengertian ikhtilaf (perselisihan), dari manakah mereka berselisih faham dan dari manakah mereka berpecah (tafarraqu)?


       Aku berkata: Ya, wahai anak lelaki Rasulullah, beliau a.s berkata: Janganlah kamu berselisih faham apabila mereka berselisih faham (ikhtalafu) wahai Jabir, sesungguhnya orang yang ingkar (al-Jahid) Imam zaman sepertilah orang yang mengingkari Rasulullah s.a.w pada hari-harinya, wahai Jabir, dengarlah dan perhatikanlah, maka aku berkata: Teruskanlah, maka beliau a.s berkata: Dengarlah dan perhatikanlah serta sampaikanlah apabila kenderaan anda berhenti. Sesungguhnya Amir al-Mukminin a.s telah memberi khutbah kepada orang ramai di Madinah selepas tujuh hari kematian Rasulullah s.a.w; apabila beliau a.s selesai mengumpul al-Qur’an dan berkata:


       Segala puji bagi Allah yang telah menahan segala waham dicapai melainkan dengan kewujudan-Nya dan Dia telah menutupi akal dari memikirkan tentang zat-Nya, kerana ingin menghalangnya dari kesamaran. Dia tidak berbeza dengan zat-Nya, Dia tidak boleh dibahagikan dengan bilangan tentang kesempurnaan-Nya. Dia berjauhan dengan perkara-perkara (al-Asyiya’) bukan berlainan tempat,  Dia berada padanya bukan secara percampuran, tetapi kerana ilmu-Nya tanpa peralatan. Tiada di antara-Nya dan apa yang diketahuiNya (ma ‘lum) suatu ilmu selain daripadanya. Jika dikaitkan kepadanya:  perkara yang telah berlaku (kana) adalah di atas takwil kewujudan-Nya pada azali. Begitu juga jika dikaitkan kepada-Nya: Sentiasa (lam yazal), maka ia adalah di atas takwil penapian ketiadaan-Nya (al-‘Adam). Maha Suci Tuhan dari apa  yang dikatakan oleh seorang hamba selain daripada-Nya dan mengambil tuhan selain daripadaNya.


       Kami memujiNya dengan segala pujian yang diredaiNya daripada makhluk-Nya dan Dia mewajibkan penerimaannya ke atas diri-Nya. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah Yang Satu, tiada sekutu bagiNya. Dan aku naik saksi bahwa Muhammad adalah pesuruh-Nya dan hamba-Nya. Dua syahadah yang mengangkat kalimah dan menggandakan amalan. Timbangan (mizan) menjadi ringan tanpanya. Ia menjadi berat dengannya. Dengan kedua-duanyalah kemenangan di syurga, kejayaan  daripada neraka, dan melepasi titian. Dengan syahadahlah kamu akan memasuki syurga. Dengan solat kamu akan mendapat rahmat. Justeru itu, perbanyakkanlah selawat ke atas nabi kamu sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Ahzab (33):56 “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas nabi wahai orang-orang yang beriaman, berselawatlah ke atasnya dan ucaplah salam ke atasnya

       Wahai manusia, tiada kemulian yang lebih tinggi daripada Islam, tiada karam (penghormatan) yang lebih mulia daripada takwa, tiada akal yang lebih berperisai daripada warak. Tiada ada orang yang memberi syafaat yang lebih berjaya daripada taubat. Tiada pakaian yang lebih cantik daripada kesihatan. Tiada penjagaan yang lebih baik daripada pengawalannya.


       Tiada harta yang dapat menghilangkan kepapaan selain daripada keredaan dan qana‘ahqana‘ah, barangsiapa yang memadai apa yang ada, maka dia akan mendapat kerehatan. Keinginan kepada sesuatu itu adalah punca kepenatan. Pemonopolian itu adalah kesinambungan kepenatan. Hasad adalah bala agama.


       Mementingkan diri adalah punca peningkatan dosa, kezaliman akan membawa kepada kecelakaan. Ketamakan adalah meliputi segala keaifan. Kemungkinan ketamakan yang hampa dan angan-angan yang bohong akan membawa kepada pencegahan dari melakukan kebaikan dan suatu perniagaan yang akan membawa kepada kerugian.


       Sesungguhnya orang yang melibatkan diri di dalam sesuatu perkara tanpa melihat kepada kesan-kesannya, maka sesungguhnya ia mendedahkan dirinya kepada keburukan dan seburuk-buruk  kalung adalah kalung dosa bagi seorang mukmin.


       Wahai manusia, tiada simpanan yang lebih bermanfaat daripada ilmu, tiada kemuliaan yang lebih tinggi daripada budi pekerti. Tiada keturunan yang lebih baik daripada adab. Tiada kepenatan yang lebih rendah daripada kemarahan. Tiada kecantikan yang lebih berseri daripada akal. Tiada keburukan yang lebih buruk daripada pembohongan. Tiada penjagaan yang lebih baik daripada diam. Tiada kehilangan (ghaib) yang lebih hampir daripada kematian.


        Wahai manusia, barangsiapa melihat kepada keaifan dirinya, maka tiada masa baginya melihat keaifan orang lain. Barangsiapa yang reda dengan rezeki Allah kepadanya, dia tidak  berdukacita apa yang ada pada tangan orang lain. Barangsiapa yang menghunus pedang kezaliman akan dibunuh dengannya. Barangsiapa yang menggali  telaga untuk saudaranya, maka dia akan terjatuh ke dalamnya.


       Barangsiapa yang mendedahkan hijab orang lain, maka aurat rumahnya akan didedahkan. Barangsiapa yang terlupa kesilapannya, maka dia akan membesarkan kesilapan orang lain. Barangsiapa yang kagum dengan pendapatnya akan tersesat. Barangsiapa yang berpegang kepada pendapatnya sahaja akan tergelincir. Barangsiapa yang takbur terhadap orang ramai akan terhina. Barangsiapa yang membodohi orang ramai akan dicaci. Barangsiapa yang bercampur dengan orang bawahan akan dihina. Barangsiapa yang menanggung apa yang dia tidak mampu, akan menjadi lemah.


       Wahai manusia, tiada harta yang lebih berharga daripada akal. Tiada kefakiran yang lebih parah daripada kejahilan. Tiada penasihat yang lebih daripada nasihat. Tiada akal yang menyamai akal pentadbiran. Tiada ibadat seperti tafakur. Tiada demonstrasi yang lebih dipercayai daripada mesyuarat. Tiada  kengerian yang lebih dahsyat daripada takjub kepada diri sendiri. Tiada kewarakan yang lebih baik dari menahan perkara yang diharamkan. Tiada budi pekerti yang lebih baik daripada kesabaran dan diam.


       Wahai manusia, Sesungguhnya manusia mempunyai sepuluh sifat yang dizahirkan oleh lidahnya: Yang zahir menceritakan yang batin,  yang bijak terserlah di dalam ucapannya, yang bercakap dituntut menjawab, yang memberi pertolongan mengetahui hajat seseorang, yang mencerita sesuatu mengetahui perkara tersebut, yang memerintah memerintah dengan baik, yang memberi nasihat melarang perkara yang buruk, yang mulia dapat menenangkan segala dukacita, yang hadir dapat mendedahkan kezaliman, yang menghibur dapat melazatkan telinga.


       Wahai manusia, tiada kebaikan jika berdiam diri dari menceritakan kebenaran sebagaimana tiada kebaikan jika berkata sesuatu yang tidak diketahuinya. Ketahuilah, wahai manusia, sesungguhnya orang yang tidak memiliki lidahnya akan menyesal, barangsiapa yang tidak mengetahui, dia adalah seorang yang jahil. Barangsiapa yang tidak mempunyai budi pekerti tidak akan dilayani. Barangsiapa yang tidak mempunyai tindak balas, maka dia tidak mempunyai akal. Barangsiapa yang tidak mempunyai akal dihina. Barangsiapa yang dihina, tidak akan tenang. Barangsiapa yang tidak tenang akan diburuk-burukkan.


       Barangsiapa yang mendapatkan harta bukan haknya, maka dia membelanjakannya tanpa mendapat pahala. Barangsiapa yang ditinggalkan di dalam keadaan dia dipuji, dia akan ditinggalkan di dalam keadaan dia dikeji. Barangsiapa yang tidak memberi kepada orang yang duduk, maka dia akan menghalang orang yang berdiri. Barangsiapa yang menuntut kemuliaan yang bukan haknya, akan dihina. Barangsiapa yang menang dengan kezaliman akan dikalahkan. Barangsiapa menentang kebenaran akan diikuti kelemahan.


       Barangsiapa mendalami sesuatu, dia akan merasa tenang. Barangsiapa merasa takbur, maka dia akan hina. Barangsiapa yang tidak baik di dalam sesuatu perkara , maka dia tidak akan dipuji.


       Wahai manusia, sesungguhnya kematian sebelum kehinaan, mempertahankan diri sebelum dibodohi, hisab sebelum balasan, kubur adalah lebih baik daripada kefakiran, merendahkan penglihatan adalah lebih baik dari banyak melihat, masa adalah satu hari untuk kamu dan satu hari ke atas kamu dan apabila ia adalah hari kamu, maka janganlah kamu bergembira. Apabila ianya ke atas kamu, maka bersabarlah, dengan kedua-duanya kamu diuji.


       Wahai manusia, perkara yang paling pelik pada diri manusia adalah hatinya. Ia mempunyai perkara-perkara yang bersifat hikmat dan perlawanannya. Justeru itu, jika ia diberi harapan, maka tamak akan menghinannya. Jika tamak menguasainya, maka sifat kepentingan diri akan membinasakannya. Jika perasaan putus asa menguasainya, maka dukacita akan membunuhnya. Jika kemarahan dibentangkan kepadanya, maka ia bertambah marah. Jika ia bergembira dengan penuh keredaan, dia akan terlupa menjaga dirinya.


       Jika ketakutan menguasainya, ia akan berhati-hati. Jika keamanan menguasainya, maka kemuliaan diri akan merampasnya. Jika ia menguasai harta, maka kekayaannya akan menzaliminya. Jika kefakiran menguasainya, maka bala akan menimpanya. Jika kelaparan menguasainya, maka ia akan menjadi lemah. Jika ia terlalu kenyang, maka ia akan dikuasai perutnya. Lantaran itu, setiap kecuaian akan mendatangkan kemudaratan dan setiap yang melampaui batas akan merosakkan [sesuatu].


       Wahai manusia, Barangsiapa yang lari akan dihina. Barangsiapa yang pemurah akan menjadi ketua. Barangsiapa yang memiliki harta yang banyak akan menjadi ketua. Barangsiapa yang mempunyai budi pekerti akan menjadi mulia. Barangsiapa yang memikir tentang zat Allah akan menjadi kafir zindiq. Barangsiapa yang memperbanyakkan sesuatu, maka dia akan dikenali dengannya. Barangsiapa banyak bersenda gurau, maka dia akan dipandang remeh. Barangsiapa yang banyak ketawa, maka kehibatannya akan hilang.


       Orang yang tidak mempunyai budi pekerti akan merosakan maruah agamanya. Sesungguhnya perbuatan yang baik adalah menjaga kehormatan dengan harta. Bukanlah orang yang bergaul dengan orang jahil itu sama dengan orang yang mempunyai akal. Lantaran itu, barangsiapa yang bergaul dengan orang jahil, maka hendaklah dia bersedia tentang apa yang akan dikatakan kepadanya. Orang yang kaya dengan hartanya tidak akan terlepas daripada kematian. Begitu juga dengan orang yang fakir dengan kefakirannya.


       Wahai manusia, sekiranya kematian dapat dibeli, nescaya ia akan dibeli daripada ahli dunia oleh orang kaya dan pencaci yang hina. Wahai manusia, sesungguhnya hati mempunyai tanda-tanda untuk mengetahui seorang pelampau atau seorang yang bijak dan berwaspada daripada bahaya. Hati juga terdedah kepada hawa nafsu, tetapi akal melarang dan menegah. Bagi pengelaman, ilmu yang tersendiri. Teladan membawa kepada petunjuk. Memadailah dengan budi pekerti untuk diri anda laksanakan sekalipun anda tidak menyukainya untuk orang lain. Hak anda ke atas saudara mukmin anda sebagaimana haknya ke atas anda. Sesungguhnya berbahayalah orang yang berpegang kepada pendapatnya sahaja.


       Fikirlah sebelum melakukan sesuatu, kerana ia menyelamatkan anda daripada penyesalan. Barangsiapa yang mengalu-ngalukan berbagai pendapat, maka dia mengetahui punca kesalahan. Barangsiapa yang menahan dirinya daripada percakapan yang tidak bermanfaat, maka akalnya akan memperbetulkan pendapatnya.


       Barangsiapa yang menjaga syahwatnya, maka dia menjaga kemampuannya. Barangsiapa yang menjaga lidahnya, nescaya kaumnya terselamat daripadanya dan dia akan mendapat hajatnya. Dengan perubahan keadaan, akan diketahui hakikat seseorang, dan hari-hari akan menerangkan kepada anda rahsia-rahsia yang tersembunyi. Tiada orang  bersedap-sedapan ketika petir di malam yang gelap. Barangsiapa yang mengetahui hikmat, maka matanya kelihatan tenang dan hebat. Kekayaan yang paling mulia adalah meninggalkan angan-angan.


       Kesabaran adalah perisai daripada kefakiran. Tamak adalah alamat kefakiran. Kabakhilan adalah baju kemiskinan. Kasih sayang adalah kerabat yang berguna. Fakir yang peramah itu adalah lebih baik daripada orang kaya yang bersikap dingin. Nasihat adalah gua bagi mereka yang menjaganya. Barangsiapa yang melakukan apa sahaja yang dikehendakinya akan banyak penyesalannya. Masa akan membuatnya bersyukur di atas apa yang menimpanya. Katakanlah apa yang di sedari oleh lidah anda ketika menyibar keburukan atau kebaikan. Barangsiapa yang akhlaknya menyusahkan akan dijemukan oleh keluarganya.


       Barangsiapa yang mendapati sesuatu, dia akan melengah-lengahkan masanya. Katakanlah apa yang dibenarkan oleh angan-angan anda. Tawaduk akan membawa kepada kehebatan. Akhlak yang baik adalah gedung rezeki. Berapa ramai orang yang masih di dalam dosanya pada akhir umurnya!. Barangsiapa yang menjadikan malu sebagai pakaian, maka keaifannya akan tersembunyi kepada orang ramai. Tumpukan kata-kata anda, kerana orang yang tepat di dalam kata-katanya, bebannya akan ringan. Kecerdikan anda adalah di dalam menyalahi hawa nafsu anda.


       Barangsiapa mengetahui hari-hari, maka dia tidak akan lupa membuat persediaan. Sesungguhnya setiap minuman dan makanan ada perkiraannya. Sesuatu nikmat tidak akan dicapai melainkan dengan hilangnya nikmat yang lain. Setiap pengisian perut itu adalah makanan (qut). Setiap bijian ada orang yang memakannya dan anda adalah makanan maut (wa anta qut al-Maut). Ketahuilah, wahai manusia, sesungguhnya orang yang berjalan di atas muka bumi akan sampai ke penghujungnya, malam dan siang bersegera untuk menghabiskan umur [manusia]. Wahai manusia, kufur nikmat adalah dicela, persahabatan dengan orang yang jahil dikeji. Di antara sifat mulia itu adalah bercakap dengan sopan dan memberi salam.


       Jauhi dari tipu daya, kerana ia adalah daripada akhlak yang dikeji. Bukan semua orang yang mencari akan mendapat apa yang dicarinya dan bukan semua orang yang hilang ditemui. Janganlah anda membenci orang yang berjauhan dengan anda. Kemungkinan orang yang jauh lebih hampir daripada kerabat sendiri. Carilah kawan sebelum berjalan, berjiran sebelum berumah. Sesungguhnya orang yang cepat di dalam perjalanannya, orang akan bercakap mengenainya. Tutupi aurat saudara lelaki anda sebagaimana anda mengetahuinya pada anda.


       Maafilah kesalahan sahabat anda, suatu hari musuh anda akan menentang anda kerana memarahi orang yang dia tidak mampu memudaratkannya dahulu. Barangsiapa takut kepada Tuhannya, maka dia akan menahan kezalimannya. Barangsiapa yang tidak ragu-ragu di dalam percakapannya, maka dia akan menzahirkan kemegahannya. Barangsiapa yang tidak mengetahui kebaikan daripada kejahatan, maka dia seperti binatang. Di antara kerosakan itu adalah menghilangkan bekalan. Alangkah kecilnya musibat jika dibandingkan dengan kefakiran esok. Keingkaran kamu adalah disebabkan dosa yang ada pada kamu. Alangkah hampirnya kerehatan daripada kepenatan dan keburukan daripada nikmat.


       Tiada kejahatan dengan kejahatan selepasnya syurga dan tiada kebaikan dengan kebaikan selepasnya neraka. Setiap nikmat selain daripada syurga adalah dihina (mahqur) dan setiap bala selain daripada neraka adalah afiat. Ketika memperbetulkan hati, akan terserlah dosa-dosa besar. Pembersihan amal adalah lebih sukar daripada amalan. Membersihkan niat daripada kerosakan adalah lebih sukar ke atas pelaku-pelakunya sepanjang jihad. Sekiranya tiada takwa, nescaya aku adalah arab yang paling licik.


       Wahai manusia, sesungguhnya Allah t.a telah menjanjikan Nabi-Nya Muhammad s.a.w al-Wasilah (jalan)  dan menjanjikan kepadanya kebenaran. Allah tidak akan mungkir janji-Nya. Sesungguhnya al-Wasilah adalah tangga ke syurga dan kemuncak yang dekat serta kesudahan matlamat cita-cita. Ia mempunyai seribu tangga dan perjalanan kuda dari satu tangga ke tangga yang lain mengambil masa seratus tahun. Di antara tangga ke tangga yang lain terdapat berbagai-bagai hiasan permata, berlian, jed, mutiara, zamrud, yaqut, delima, emas dan cahaya yang meliputi semua syurga. Rasulullah s.a.w pada masa itu duduk di atasnya berpakaian dengan dua lapisan pakaian. Satu lapisan daripada rahmat Allah dan satu lapisan lagi daripada cahaya Allah. Di atasnya mahkota kenabian dan kerasulan yang menyinari semua tempat dan aku pada hari itu mempunyai kedudukan yang tinggi di bawah darjatnya memakai dua lapisan pakaian. Satu lapisan daripada cahaya dan satu lapisan daripada kapur barus. Sementara para nabi dan para rasul berdiri di atas tangga. Begitu juga dengan pemuka-pemuka sepanjang zaman dan hujah-hujah sepanjang masa tentang keimanan kami. Mereka semua diserikan dengan kelipan cahaya dan penghormatan.


       Para malaikat yang hampir dan para nabi yang diutuskan bergembira dengan cahaya-cahaya kami dan kebesaran kami. Di kanan al-Wasilah  dan di kanan Rasulullah s.a.w  awan berkumpul dan suara datang dari arahnya:


       Wahai ahli al-Mauqif, berbahagialah orang yang mencintai wasi dan beriman dengan nabi al-Ummiyyi berbangsa Arab. Dan barangsiapa yang kafir, maka neraka adalah tempatnya. Di kiri al-Wasilah dan di kiri Rasul s.a.w terdapat bayang dan suara datang dari arahnya:


       Wahai ahli al-Mauqif, berbahagialah orang yang mencintai wasi dan beriman dengan nabi al-Umiyyi dan baginya para malaikat yang tinggi. Tiada seorangpun yang berjaya mendapat roh dan syurga melainkan dia berjumpa dengan Penciptanya dengan ikhlas kepada mereka berdua dan mengikuti bintang-bintang mereka berdua. Lantaran itu, percayalah, wahai ahli wilayah Allah dengan keputihan muka-muka kamu, kemuliaan tempat duduk kamu, kemuliaan tempat rujukan kamu dan dengan kemenangan kamu pada hari ini di atas katil-katil yang berhadapan.


       Wahai ahli penyelewengan (al-Inhiraf), dan ahli penentangan kepada  Allah (al-sadud), Rasul-Nya, sirat-Nya dan pemuka-pemuka-Nya sepanjang zaman, percayalah dengan kehitaman muka-muka kamu dan kemurkaan Tuhan kamu sebagai balasan di atas apa yang kamu lakukan. Tiada seorang nabi atau rasul yang terdahulu melainkan dia memberitahu kepada umatnya tentang rasul selepasnya dan memberitahu berita gembira tentang Rasulullah s.a.w, berwasiat kepada kaumnya supaya mengikutinya, menjelaskannya di sisi kaumnya supaya mereka mengenalinya dengan sifatnya, mengikutinya di atas syariahnya agar mereka tidak sesat selepasnya.


       Justeru itu, orang yang binasa atau sesat adalah selepas diberi peringatan tentang keterangan dan penentuan hujah. Umat-umat mengharapkan kedatangan para rasul dan para nabi kepada mereka. Jika tiada nabi selepas nabi berlaku, maka ia merupakan suatu musibah yang besar kepada mereka. Lantarn itu, tiada musibah yang lebih besar berlaku seperti musibah Rasulullah s.a.w, kerana Allah telah menamatkan peringatan dengannya, memutuskan hujah di antara-Nya dan  makhluk-Nya. Dia telah menjadikannya sebagai pintu-Nya di antara-Nya dan hamba-hamba-Nya serta penguasanya di mana Dia tidak akan menerima mana ibadat dan pengorbanan kepada-Nya melainkan dengan ketaatan kepadanya. Dia berfirman di dalam kitab-Nya Surah al-Nisa’(4): 80 “Barangsiapa yang mentaati rasul itu, sesungguhnya ia telah mentaati Allah. Dan barangsiapa yang berpaling (dari ketaatan itu), maka kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka


       Maka Dia telah mengiringi ketaatan kepada-Nya dengan ketaatan kepada Rasul-Nya, kemaksiatan kepada-Nya dan kemaksiatan kepada Rasul-Nya sebagai bukti penyerahn-Nya kepadanya. Justeru itu, Rasul-Nya sebagai saksi dari pihak-Nya ke atas mereka yang mengikutinya atau menderhakainya di dalam beberapa ayat di dalam al-Qur’an, mendorong pengikut-pengikutnya supaya menerima seruannya. Antaranya di dalam Surah Ali Imran (3):31“Katakanlah: Jika kamu(benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu”.


       Justeru itu, mengikutinya s.a.w adalah mencintai Allah (mahabbatu l-Lah), keredaan-Nya adalah pengampunan dosa-dosa, kemenangan yang sempurna dan berhak syurga. Sedangkan berpaling daripada-nya dan menentangnya adalah menentang Allah, menghadapi kemurkaan-Nya, dan jauh daripada-Nya. Lantaran itu, ia berhak neraka sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Hud (11):17 “ Dan barangsiapa di antara mereka (orang-orang Quraisy) dan sekutu-sekutunya yang kafir dengan al-Qur’an, maka nerakalah tempat yang diancamkan baginya” Iaitu keingkaran dan penderhakaan kepada-Nya. Sesungguhnya Allah t.w  menguji hamba-hamba-Nya denganku (imtahana bi ‘ibada-hu), dibunuh musuh-musuh-Nya di tanganku, dan dimusnahkan penentang-penentang-Nya dengan pedangku.


       Dia telah menjadi aku hampir kepada para mukminin, ancaman kematian kepada penguasa-penguasa yang zalim. Dia telah memperkuatkan aku untuk menolong Rasul-Nya dan memuliakan aku dengan pertolongan-Nya. Dia telah memuliakan aku dengan ilmunya dan mencintai aku dengan hukum-hukum-nya. Dia telah menentukan aku dengan wasiatnya dan memilih aku mengganti tempatnya pada umatnya. Rasulullah s.a.w bersabda: Orang-orang muhajirin dan ansar berhimpun di sekelilingnya sehingga majlis dipenuhi oleh orang ramai.


       Wahai manusia, sesungguhnya Ali adalah daripadaku sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa melainkan tiada nabi selepasku”. Justeru itu, mukminun terfikir bahawa percakapan Rasul itu adalah daripada Allah, kerana mereka mengetahui bahawa aku bukanlah saudara lelakinya sama ada di sebelah bapanya  atau di sebelah ibunya sebagaimana Harun adalah saudara Musa di sebelah bapanya dan ibunya dan aku pula bukan seorang nabi (wa la kuntu nabiyyan) sehingga aku menjadi seorang nabi, tetapi itu semua adalah kerana beliau s.a.w melantik aku sebagai penggantinya sebagaimana Musa telah melantik Harun sebagai penggantinya sebagaimana Musa a.s berkata kepada saudaranya Harun di dalam Surah al-A ‘raf (7): 142 “ Gantilah aku dalam (memimpin) kaumku, dan perbaikilah dan janganlah kamu mengikuti jalan orang-orang yang mengikuti kerosakan” Dan sabdanya s.a.w ketika satu golongan berkata: Kami adalah mewalikan Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah s.a.w keluar untuk mengerjakan haji Wida’, kemudian pergi ke Ghadir Khum.


       Beliau s.a.w  memerintahkan supaya dibuat minbar, kemudian beliau s.a.w menaikinya. Lalu beliau s.a.w  memegang lenganku sehingga dapat dilihat keputihan dua ketiaknya di dalam keadaan meninggikan suaranya sambil bersabda di hadapan orang ramai: Barangsiapa yang menjadikan aku walinya, maka Ali adalah walinya, wahai Tuhanku, hormatilah orang yang menjadikannya wali dan musuhilah orang yang memusuhinya” (man kuntu maula-hu fa-‘Aliyyu maula-hu Allahumma wali man walaa-hu wa  ‘aadi-man  ‘aada-h). Justeru itu, wilayahku adalah wilayah Allah dan permusuhan terhadapku adalah permusuhan terhadap Allah(kaanat  ‘ala wilayatii wilayatu l-Lahi wa ‘ala adawatii  ‘adawatu l-Lahi).


       Kemudian Allah telah menurunkan pada hari itu  firman-Nya  di dalam Surah al-Ma’idah (5): 3 “Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agama-Ku dan telah Kucukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan telah Ku redai Islam itu menjadi agama kamu”. Wilayah aku adalah kesempernaan  agama dan keredaan Tuhan (fa-kaanat wilayatii kamala al-Din wa ridha al-Rabb). Allah telah menurunkan ayat tersebut khusus mengenaiku, menghormatiku selayaknya dan suatu kelebihan daripada Rasulullah s.a.w tentangku. Dan firman-Nya di dalam Surah al- An‘am(6): 62 “Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah, Penguasa mereka yang sebenarnya. Ketahuilah bahawa segala hukum (pada hari itu) kepunyaan-Nya. Dan Dialah pembuat perhitungan yang paling cepat”


       Sekiranya aku menyebut kelebihan-kelebihanku, nescaya orang ramai mempebesar-besarkannya dan akan mengambil masa yang panjang. Sekiranya dua orang yang celaka (al-Asyqiyaani) merampas jawatan khalifah daripadaku dan menentangku, maka mereka berdua tidak mempunyai hak dan mereka melakukannya kerana kesesatan mereka (rakabaa-ha dhalalatan) serta kepercayaan mereka yang jahil. Lantaran itu, maka ia adalah sejahat-jahat perkara yang mereka kerjakan untuk diri mereka sendiri.


       Kemudian mereka berdua pula saling melaknati di antara mereka berdua di dalam peranan mereka berdua (yatala‘anaani fi dauri-hima). Seorang daripada mereka membersihkan dirinya daripada yang lain berkata kepada sahabatnya apabila berjumpa: Mudah-mudahan di antara aku dan anda sejauh timur dan barat, maka dia adalah sejahat-jahat sahabat. Maka yang paling celaka pula menjawab: Mudah-mudahan aku tidak pernah mengambil kamu sebagai seorang teman yang akrab. Sesungguhnya kamu telah menyesatkan aku daripada al-Dhikr (peringatan) selepas ia mendatangi aku. Dan sesungguhnya syaitan tidak mahu menolong manusia. Maka akulah al-Dhikr (peringatan) yang mereka abaikan dan al-Sabil (jalan) yang mereka berdua menyimpang daripadanya. Akulah iman yang diingkari, al-Qur’an yang ditinggalkan (hujira), al-Din (agama) yang dibohongi dan sirat al-Mustaqim yang tidak mahu dilalui.


       Sekiranya mereka berdua berlumba-lumba bagi mendapatkan  habuan dunia dan kilauannya yang sementara, maka mereka bedua akan berada di nereka sejahat-jahat habuan, serugi-rugi delegasi, selaknat-laknat tempat kesudahan. Mereka berdua melaung-laung laknat (yatasarakhaani bi-l-La‘nati) dan penyesalan yang tidak berkesudahan. Tiada kerehatan bagi mereka berdua daripada azab mereka berdua.


       Sesungguhynya mereka (al-Qaum)masih menyembah dan memuja berhala-berhala (inna al-Qaum lan yazaluu ‘ubbada al-Authan). Mereka mengerjaka manasik, melakukan korban kepada berhala-berhala dengan berbagai-bagai cara sebagai penghubung dan mengundi nasib dengan panah menentang Allah dengan sengaja. Mereka jauh daripada petunjuk dan dikuasai syaitan serta ditutupi oleh kehitaman jahiliah. Mereka membesar di atas kejahilan dan berakhir dengan kesesatan. Maka Allah telah mengeluarkan kami kepada mereka sebagai rahmat dan kami melayani mereka dengan kasihan belas.


       Dengan kamilah Dia menzahirkan cahaya daripada hijab-hijab kepada mereka yang memanfaatkannya, menjadi suatu kelebihan bagi orang yang mengikutinya, sebagai sokongan bagi orang yang membenarkannya. Justeru itu, Dapatkan kemulian selepas kehinaan, banyak selepas sedikit. Hati dan penglihatan mereka menjadi gerun. Penguasa-penguasa yang kejam dan pengikut-pengikut mereka akan menunduk serta bertukar menjadi ahli nikmat tersebut.


       Kekeramatan yang senang, keamanan selepas ketakutan, persatuan selepas pertengkaran. Dengan kamilah bersinarnya kemegahan Mu‘ad bin ‘Adnan, kami bentangkan kepada mereka pintu petunjuk, kami memasukkan mereka Dar al-Salam. Kami pakaikan mereka dengan pakaian keimanan, lalu mereka berjaya kerana kami di alam semesta. Terserlah kesan -kesan kesalihan mereka pada masa Rasulullah s.a.w sebagai mujahid, pelaku solat dan iktikaf yang zuhud.


       Mereka menzahirkan sifat amanah dan mengejar pahala sehingga apabila Allah menyeru Nabi-Nya s.a.w dan mengangkatnya kepada-Nya, maka dengan sekelip mata sahaja mereka kembali ke belakang (kafir). Lantas mereka menimbulkan ketegangan, menzahirkan beberapa kumpulan penentang, merosakan pintu, meninggalkan rumah-rumah. Kemudian mereka mengubah sunah-sunah Rasulullah s.a.w (ghayyaru aathar Rasulullah), membenci hukum-hukumnya. Mereka telah jauh daripada cahaya-cahaya-Nya. Lalu mereka menukar penggantinya.
       Mereka adalah orang-orang yang zalim. Mereka menyangka bahawa orang-orang yang memilih keluarga Abu Qahafah itu adalah lebih baik daripada maqam Rasulullah s.a.w daripada orang yang telah dipilih oleh Rasulullah s.a.w  sendiri ke maqamnya. Bagi mereka seorang muhajir daripada keluarga Abu Qahafah itu adalah lebih baik dariada seorang muhajir ansar rabbani yang cerdik; Hasyim bin ‘Abd Manaf.


       Sesungguhnya pembohongan penyaksian pertama (awwal syahadah al-Zaur) berlaku di dalam Islam adalah penyaksian mereka bahawa sahabat mereka adalah pengganti Rasulullah s.a.w. Mengenai urusan Sa‘d bin ‘Ubadah, mereka tidakpun merujuk kepadanya, malah mereka berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah pergi dan beliau s.a.w tidak melantik penggantinya (lam yastakhlif). Lantaran itu, Rasulullah s.a.w yang baik dan sumber berkat itu dijadikan bahan pembohongan pertama di dalam Islam. Hanya sedikit sahaja yang memahami akibat apa yang diasaskan oleh orang-orang yang terdahulu.


       Sekiranya mereka mempunyai pilihan daripada kecuaian, dipanjangkan umur, dilapangkan dari berpaling ke belakang, dapat mengurangkan tipu daya, berada di dalam keadaan yang tenang, mencapai angan-angan, maka sudah tentu Allah telah menangguhkan Syidad bin ‘Ad, Thamud bin ‘Abud dan Bal‘am bin Ba‘ur dengan mencucuri ke atas mereka nikmat zahir dan batin, kurniakan kepada mereka harta dan pembangunan yang banyak.


       Bumi akan mengeluarkan keberkatannya supaya mereka mengingati nikmat Allah, mengenali kehebatan-Nya, dan bertaubat kepada-Nya. Lantaran itu hendaklah mereka berhenti daripada keangkuhan mereka. Apabila masa mereka tiba, Allah akan mengambil mereka dengan berbagai-bagai cara. Di kalangan mereka ada yang mati secara  tertimbus, suara teriakan, terbakar oleh bayang, gegaran dan ditelan bumi sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al- Ankabut(29):40 “Dan Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiayai diri mereka sendiri


       Sesungguhnya setiap ajal ditulis, apabila sampai masanya, jika didedahkan kepada kamu apa yang akan berlaku kepada orang-orang yang zalim dan kepada orang-orang yang paling rugi, nescaya kamu lari kepada Allah a.w daripada perbuatan mereka. Sesungguhnya aku pada kamu, wahai manusia, seperti Harun pada keluarga Fir‘aun, seperti pintu taubat pada Bani Israel, seperti bahtera Nuh pada kaum Nuh. Sesungguhnya akulah al-Naba’ al-‘Azim (berita yang besar), al-Siddiq al-Akbar (orang yang paling benar) Sedikit sahaja daripada kamu yang akan mengetahui apa yang dijanjikan. Ia merupakan sesuap makanan yang dimakan (lu‘qati al-Aakil), seteguk air yang diminum dan satu pukulan yang memeningkan. Kemudian mereka diikuti dengan kehinaan di dunia dan pada hari akhirat akan diazab. Allah tidak pernah lupa apa yang kamu perbuat. Justeru itu apakah balasan orang yang menentang hujah-Nya, menyalahi petunjuk-nya, berpaling daripada cahaya-nya, terlibat di dalam kezaliman terhadapnya, menukarkan air dengan kilauan, nikmat dengan azab, kemenangan dengan kecelakaan, kesenangan dengan kesusahan, kelapangan dada dengan kesempitan. Semuanya sebagai balasan kepada kejahatan perbuatan mereka. Justeru itu, hendaklah mereka yakin dengan janji yang sebenar sebagaimana dijanjikan. Firman-Nya di dalam Surah Qaaf (50):42 “(Yaitu) pada hari mereka mendengar teriakan dengan sebenar-benarnya, itulah hari keluar (dari kubur).Sesungguhnya kami menghidupkan dan mematikan dan hanya kepada kamilah tempat kembali.(Yaitu) pada hari bumi terbelah-belah menampakkan mereka dengan cepat. Yang demikian itu adalah pengumpulan yang mudah bagi kami

1 comment:

  1. Assalamu'alaikum. Salam kenal. Afwan, apa ana bisa minta Bahasa Arabnya?

    Dan kalau sempet, ana minta kritikan dan sarannya disini http://abdullahmbrk9.blogspot.com/.

    Sebelumnya makasi ya akhifillah.

    ReplyDelete