Monday, June 27, 2011

Khutbah Amir Al-Mukminin A.S Mengenai Dukacitanya Di Atas Apa Yang Berlaku.


22. Ahmad bin Muhammad al-Kufi, daripada Ja‘far bin Abdullah al-Muhammadi, daripada Abu Ruh Faraj bin Qurrah, daripada Ja‘far bin Abdullah, daripada Mas‘adah bin Sadaqah, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Amir al-Mukminin a.s telah memberi khutbah di Madinah, beliau a.s telah memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi serta keluarganya. Kemudian beliau a.s berkata:


Amma ba‘d, adapun kemudian daripada itu, bahawa sesungguhnya Allah tidak memusnahkan penguasa-penguasa semasa melainkan selepas penangguhan dan kesenangan. Dia tidak memaksa untuk memecahkan kekuatan umat melainkan selepas kehinaan dan bala.

Wahai manusia, kamu tidak menerimaku dengan baik. Kamu membelakangi khutbahku. Bukan semua yang mempunyai hati dapat membuka mata hatinya.Bukan semua yang mempunyai pendengaran dapat mendengar. Bukan semua yang mempunyai mata dapat melihat dengan tepat. Wahai hamba-hamba Allah! Perbaikkanlah penglihatan kamu padanya. Kemudian lihatlah kepada pengaruh mereka. Mereka adalah di atas sunnah keluarga Fir‘aun menikmati segala-galanya. Kemudian lihatlah bagaimana Allah menamatkan kehidupan mereka yang mewah. Sesiapa yang bersabar di kalangan kamu, akhirnya ke syurga, kekal di dalamnya selama-lama. Alangkah aneh! Kenapa aku tidak terasa aneh mengenai kesalahan berbagai-bagai puak yang berlainan hujah di dalam agama mereka.


Mereka tidak mematuhi sunnah nabi dan tidak mengikuti amalan wasi. Mereka tidak beriman dengan perkara ghaib, mereka tidak memaafkan keaiban. Perkara yang baik pada mereka adalah apa yang mereka tahu dan perkara mungkar di sisi mereka adalah apa yang mereka ingkar. Setiap orang daripada mereka adalah imam untuk dirinya, melakukan apa dia fikir baik. Justeru mereka sentiasa melakukan kezaliman dan menambahkan kesalahan. Mereka tidak dapat mendekati diri (taqarruban) kepada Allah, malah mereka semakin jauh.


Mereka bersahabat dan saling mempercayai di kalangan mereka sahaja. Semuanya menjadi satu kejutan terhadap apa yang diwarisi nabi s.a.w. Malah mereka bertambah liar kepada berita Pencipta langit dan bumi. Mereka adalah orang yang rugi, gua kesamaran, ahli kesesatan dan parasangka. Sesiapa yang telah diwakilkan Allah untuk dirinya dan pendapatnya, maka dia adalah terjamin di sisi orang yang tidak mengetahuinya, terlepas daripada tuduhan di sisi orang yang tidak mengetahuinya.


Mereka sepertilah binatang ternakan yang telah hilang penjaganya, berdukacita di atas perbuatan Syi‘ahku selepas kasih sayang mereka pada hari ini. Bagaimana sebahagian akan menghina akan sebahagian yang lain selepasku dan bagaimana mereka melakukan pembunuhan ke atas sebahagian yang lain. Perpecahan besok adalah daripada tunjang ke cabangnya, mengharap kejayaan tanpa rancangan.


Setiap golongan berpegang kepada satu dahan. Apabila dahan itu condong, maka dia condong bersamanya. Sedangkan Allah-Segala pujian untuk-Nya- akan mengumpulkan mereka pada suatu hari yang malang bagi Bani Umayyah sebagaimana Dia mengumpulkan kesejukan musim sejuk- Allah akan menjinakkan di kalangan mereka. Kemudian Dia menjadikan mereka timbunan seperti timbunan awan. Kemudian Dia membuka untuk mereka beberapa pintu untuk mereka melaluinya seperti dua kebun di dalam kebanjiran.


Kemudian Dia mengutus pelarian yang tidak mematuhi sunnah- Nya, lalu Dia mencampakkan mereka di perut lembah dan mengeluarkan mata air serta mengambil hak sesuatu golongan di tempat mereka dengan sewajarnya. Ini adalah kerana mengusir Bani Umayyah dan mereka tidak akan menjadi perampas lagi. Allah akan meletakkan mereka di suatu sudut khusus bagi menentang perbuatan mereka yang jahat.


Demi Yang telah memecah biji-bijian dan menyuburkan jiwa bahawa ia akan berlaku sedemikian. Seolah-olah aku sedang mendengar suara kuda dan percakapan tentera mereka. Demi Allah, apa yang berada di tangan mereka akan cair dan hilang selepas ketinggian dan kekuasaan mereka di dalam negara. Umpama cairnya besi di atas api. Sesiapa yang mati di kalangan mereka, maka dia mati di dalam sesat. Dan kepada Allah a.w melaksanakan hukuman-Nya ke atas mereka yang melakukannya. Allah akan menerima taubat daripada mereka yang bertaubat.


Mudah-mudahan Allah menghimpunkan Syi‘ahku selepas perselisihan bagi menghadapi hari yang paling dukacita bagi Bani Umayyah. Tiada pilihan bagi sesiapapun, malah pilihan dan urusan adalah bagi Allah.


Wahai manusia, sesungguhnya mereka yang menuntut Imamah yang bukan di kalangan ahlinya adalah ramai jika kamu tidak benar benar mengetahui kebenaran dan jika kamu tidak dapat menolak kebatilan. Orang seperti kamu tidak akan berani melakukannya apatah lagi bagi melenyapkan ketaatan dan menjauhkannya daripada ahlinya.


Tetapi kamu akan menghadapi keadaan yang sama dengan Bani Israel yang telah sesat pada masa Musa Bin Imran a.s. Kesesatan kamu akan bertambah selepasku berlipat ganda. Sekiranya kamu dapat hidup selepasku masa pemerintahan Bani Umayyah, maka sesungguhnya kamu akan berhadapan dengan kuasa yang menyeru kepada kesesatan.


Dan Kamu menghidupkan kebatilan. Kamu membelakangi kebenaran, memutuskan perhubungan yang rapat dengan ahli Badr. Sementara itu kamu menghubungi mereka yang jauh di kalangan anak-anak mereka yang memerangi Rasulullah s.a.w.


Aku bercita-cita jika kuasa yang berada di tangan mereka itu hilang, maka bagi kami perkiraannya bagi menghukum mereka dengan sewajarnya. Apabila berakhirnya hari mereka, maka bintang akan terserlah di timur dan bulan yang bersinar akan terserlah kepada kamu.


Apabila ia berlaku sedemikian, maka bersegeralah bertaubat. Dan ketahuilah jika kamu mengikuti sinar timur, nescaya kamu mengikuti jejak Rasulullah s.a.w. Kamu dapat mengobati daripada buta, pekak dan bisu. Kamu memadai apa yang ada dan meninggalkan beban tanggungan di tengkuk kamu. Allah tidak menjauhi melainkan mereka yang enggan (abaa) dan zalim serta mengambil sesuatu yang bukan haknya sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Syu ‘ara’ (26): 227 “Dan orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali”

No comments:

Post a Comment