Monday, June 27, 2011

Kelebihan Khalifah Abu Bakr dan Khalifah Umar kaitannya dengan Muawiyah

(Dikutip dari Kitab Sulaim bin Qais, Sahabat Imam Ali as, wafat 90H)


       Kemudian Mua‘wiyah menulis kepada para gabenornya: Bahawa hadis telah menjadi banyak mengenai Uthman dan tersebar di seluruh negara. Apabila sampai suratku ini, maka serulah mereka supaya meriwayatkan kelebihan Abu Bakr dan Umar kerana kelebihan dan keterawalan mereka berdua lebihku cintai, lebih tenang mataku dan mematahkan hujah Ahl Bait ini, dan lebih kuat ke atas mereka daripada manaqib Uthman dan kelebihannya. Lantaran itu, setiap amir dan kadi telah membacakan suratnya kepada orang ramai. Maka orang ramai mengambil riwayat tentang mereka dan kelebihan mereka.[11]


       Kemudian dia menulis satu surat yang menghimpunkan riwayat-riwayat tentang kelebihan mereka dan menghantarnya kepada gabenor-gabenornya serta memerintahkan mereka membacakannya di atas mimbar-mimbar masjid. Dia memerintahkan supaya melaksanakannya melalui guru-guru tadika lalu mereka mengajar kanak-kanak sehingga mereka meriwayatkannya dan mempelajarinya sebagaimana mereka mempelajari al-Qur’an. Mereka telah mengajar anak-anak perempuan, perempuan-perempuan dan pembantu-pembantu mereka.


       Mereka tinggal sedemikian sehingga dikehendaki oleh Allah. Kemudian dia menulis satu surat dan dihantar ke seluruh negara: ''Kalian lihatlah siapa yang menjadi saksi, jika dia mencintai Ali dan Ahl Baitnya, maka padamkan namanya dari Dewan dan kalian janganlah menerima penyaksiannya".[12]


Surat Mu'awiyah supaya membunuh sesiapa yang dituduh mencintai Ali a.s. dan Ahl Baitnya


       Kemudian dia menulis surat yang lain: ''Sesiapa yang dituduh oleh kalian dan tidak ada bukti ke atasnya, maka bunuhlah dia". Justeru itu, mereka membunuh sesiapa sahaja berdasarkan tuduhan semata-mata, sangkaan dan syubhat di mana sahaja sehingga seseorang yang tersalah cakap maka kepalanya dipenggal. Penyiksaan yang paling besar dan dahsyat adalah di Iraq khususnya di Kufah. Syi'ah Ali a.s. yang terdiri daripada para sahabatnya di Madinah dan lain-lainnya, jika seorang yang dipercayai memasuki rumahnya kemudian memberitahu rahsianya kepadanya, nescaya dia menjadi takut kepada pembantunya dan hambanya.[13]


       Lantaran itu, mereka tidak memberitahu sehingga seseorang itu melakukan sumpah yang kuat. Perkara tersebut menjadi lebih tegang dan bertambah ramai musuh mereka di sisi mereka. Mereka telah mencipta hadis-hadis palsu tentang para sahabat mereka. Orang ramai dibesarkan dengan hadis-hadis tersebut dan mereka tidak belajar melainkan daripada mereka. Demikian juga ia telah berlaku kepada kadi-kadi, gabenor-gabenor dan fuqaha’ mereka. Orang yang paling dahsyat melakukan fitnah adalah al-Qurra’ (qari/guru agama) yang berpura-pura warak dan khusyuk, tetapi berbohong dan mengajar hadis-hadis palsu bagi mendapat ganjaran daripada pemerintah dengan menghadiri majlis mereka. Oleh itu, mereka mendapat harta dan pangkat.


       Hadis-hadis dan riwayat-riwayat tentang mereka (Abu Bakr dan Umar) berada di tangan orang yang menganggap bahawa hadis-hadis tersebut adalah benar. Justeru itu, mereka meriwayatkan, mempelajari, mengajar dan mencintainya, dan memarahi orang yang menolaknya. Dengan itu, hadis-hadis tersebut telah berada di tangan orang yang mempunyai agama yang tidak pernah berbohong. Mereka memarahi ahlinya kerananya. Lantaran itu, mereka telah menerimanya dan meriwayatkannya di atas alasan ia adalah benar. Sekiranya mereka mengetahui bahawa ia adalah batil, nescaya mereka tidak akan meriwayatkan dan tidak akan beragama dengannya. Justeru kebenaran pada zaman itu adalah kebatilan dan kebatilan adalah kebenaran, kebenaran adalah pembohongan dan pembohongan adalah kebenaran.


       Rasulullah Saw. bersabda: “Fitnah akan meliputi kalian sama ada yang muda ataupun yang tua”. Ia menjadi perkara biasa kepada orang ramai dan mereka mengambilnya sebagai sunnah. Jika sedikit sahaja sunnah Umar diubah, mereka akan berkata: Orang ramai telah membawa kemungkaran kerana sunnah telah diubah. Apabila al-Hasan bin Ali a.s. wafat, fitnah dan bala makin membesar. Tidak ada seorang wali Allah melainkan menjadi takut dengan darahnya, sama ada dia melarikan diri atau diusir. Sementara musuh Allah menzahirkan bid‘ah dan kesesatannya.

No comments:

Post a Comment