Showing posts with label IKHTISAS. Show all posts
Showing posts with label IKHTISAS. Show all posts

Thursday, July 14, 2011

Sesiapa Yang Telah Mati Tanpa Imam, Maka Beliau Telah Mati Sebagai Seorang Jahiliah


                            
       Daripada  ‘Umar bin Yazid, daripada Abu al-Hasan yang pertama a.s berkata: Aku telah mendengarnya berkata:  Sesiapa yang telah mati tanpa imam, maka beliau telah mati  sebagai seorang jahiliah; imam hidup yang beliau mengetahuinya. Maka aku berkata: Aku tidak mendengar bapa anda menyebutnya, iaitu imam yang hidup. Beliau berkata: Demi Allah, Rasulullah s.a.w telah bersabda sedemikian. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang telah mati, tanpa mentaati imam hidup yang zahir, maka beliau mati sebagai seorang jahiliah(man mata wa-laisa la-hu imam yasma‘u la-hu wa yuti‘u mata maitatan jahiliyyatan)[1].


       Daripada Abu Jarud berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Sesiapa yang telah mati, tanpa mentaati imam hidup yang zahir, maka beliau mati sebagai seorang jahiliah[2]. Beliau berkata: Aku berkata: Imam yang hidup, aku telah menjadikan diriku tebusan anda?  Beliau berkata: Imam yang hidup (imam hayyun).


       Daripada Daud al-Raqiy daripada hamba yang soleh(Khidir a.s)  berkata: Sesungguhnya hujah tidak berdiri bagi Allah ke atas makhluk-Nya melainkan dengan imam hidup yang dikenali[3].


[1] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  vii,  20
[2] Ibid
[3] Al-Kulaini, al-Kafi,  I , 177

(DIKUTIP DARI AL IKHTISAS)

Tingkatan Persahabatan


            
       Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya mereka yang anda menganggap sebagai sahabat tetapi apabila anda menguji mereka, maka anda akan mendapati mereka terbahagi kepada beberapa peringkat: Pertama: Mereka adalah seperti singa pada membesar-besarkan makan. Kedua: Mereka seperti serigala di dalam kemudaratan. Ketiga: Mereka seperti anjing di dalam mengerak-gerakan ekornya. Keempat: Mereka seperti musang di dalam tipu muslihat dan pencurian. Bentuk mereka bermacam-macam, tetapi pekerjaan mereka adalah satu. Apakah anda akan lakukan jika anda ditinggalkan keseorangan, tanpa ahli dan anak melainkan Tuhan semesta alam?[1]
       Al-Sadiq a.s berkata: Sahabat musuh Ali a.s adalah musuh Ali a.s.[2]
       Al-Ridha a.s berkata: Apabila anda di dalam kesusahan, maka kamu pohonlah pertolongan melalui kami kepada Allah iaitu firman-Nya Surah al-A‘raf (7): 180 “Hanya milik Allah asma’ al-Husna maka pohonlah kepada-Nya dengannya”[3]
       Beliau berkata: Amir al-Mukminin a.s berkata: Janganlah anda menampakkan gigi anda sedangkan keburukan telah dilakukan, anda tidak dapat mengelakkan azab dari amalan yang jahat[4].


[1] Ibid,  xvi,  49
[2] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  xvi,  53
[3] Ibid,  ix,  68
[4] Al-Kulaini, al-Kafi,  ii, 66
(DIKUTIP DARI AL IKHTISAS)

Persaudaraan Ada Dua Jenis


          
       Daripada Yunus bin Abd al-Rahman daripada Abu Maryam daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Seorang lelaki telah berdiri kepada Amir al-Mukminin a.s di Basrah dan berkata: Wahai Amir al-Mukminin a.s, beritahu kepada aku tentang saudara-saudara (al-Ikhwan). Beliau berkata: Saudara-saudara ada dua jenis: Saudara yang dipercayai (thiqah) dan saudara ketika ketawa (mukasyarah). Adapun saudara-saudara yang dipercayai, maka mereka sepertilah tapak tangan, sayap, ahli, dan harta. Jika anda mempercayai saudara anda, maka berbelanjalah harta anda, badan anda, bersahabat dengan orang yang bersahabat dengannya, bermusuhan dengan orang yang bermusuhan dengannya. Sembunyikan rahsianya, keaibannya dan perlihatkan kebaikannya. Ketahuilah, wahai orang yang bertanya, bahawa mereka adalah lebih mulia daripada permata merah. Adapun saudara-saudara ketika ketawa, anda akan mendapat kelazatan daripada mereka, anda janganlah memutuskan perhubungan dengan mereka dan janganlah anda meminta lebih daripada itu. Berbelanjalah kepadanya sebagaimana beliau membelanjakan kepada anda dengan muka yang baik dan lidah yang manis[1].


[1] Al-Kulaini,  al-Kafi, ii, 248
(DIKUTIP DARI AL IKHTISAS)

Pembentangan Wilayah Ahlu l-Bait Ke Atas Semua Perkara



       Daripada Imran bin Yasar al-Yasykariy, daripada Abu Hafs al-Madlaji daripada Syarif bin Rabi‘ah, daripada Qanbar maula Amir al-Mukminin a.s berkata: Aku telah berada bersama-sama Amir al-Mukminin a.s, tiba-tiba seorang lelaki masuk dan berkata: Wahai Amir al-Mukminin, Aku suka buah tembikai. Qanbar berkata: Amir al-Mukminin a.s. memerintahkan aku supaya membeli sebiji buah tembikai. Maka aku membayar satu dirham, lalu mereka membawa kepada kami tiga biji buah tembikai. Aku memotong sebiji tembikai, maka aku mendapatinya pahit. Aku berkata: Pahit, wahai Amir al-Mukminin a.s. Beliau a.s berkata: Campakkannya kerana ia dari neraka kepada neraka.


       Qanbar berkata: Aku memotong buah tembikai yang kedua, maka ia adalah masam. Aku berkata: Masam, wahai Amir al-Mukminin a.s, beliau berkata: Campakkannya kerana ia dari neraka kepada neraka. beliau berkata: Aku telah memotong buah tembikai yang ketiga. Maka aku mendapatinya berulat. Aku berkata: Berulat, wahai Amir al-Mukminin, beliau a.s. berkata: Campakkannya kerana ia dari neraka ke neraka. Kemudian aku membayarnya dengan satu dirham yang lain, lalu mereka datang kepada kami dengan tiga biji tembikai diletaknya di kaki aku. Lalu aku berkata: Maafkan aku, wahai Amir al-Mukminin a.s untuk memotongnya.


       Amir al-Mukminin a.s berkata kepadaku: Silakan duduk wahai Qanbar, ini adalah perintah. Aku pun duduk dan memotong satu biji tembikai. Aku telah mendapatinya manis, aku berkata: Manis, wahai Amir al-Mukminin a.s.  Beliau a.s berkata: Makanlah dan berilah makan kepada kami. Lalu aku telah makan sebahagian dan aku memberi makan kepadanya sebahagian. Kemudian aku memberi makan satu bahagian kepada lelaki yang duduk di sisi aku. Aku telah berpaling kepada Amir al-Mukminin a.s. Maka beliau a.s. berkata: Sesungguhnya Allah telah membentangkan wilayah kami ke atas penghuni langit dan penghuni bumi daripada Jin, manusia, buah-buahan dan lain-lain. Sesiapa yang telah menerima wilayah kami, maka ia adalah baik, bersih dan manis. Sesiapa yang tidak menerimanya, maka ia adalah jahat, buruk dan busuk[1].


         Daripada Abban bin Taghlab al-Kindi berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya roh iman adalah satu, keluar di sisi Yang Satu, kemudian berpisah pada tubuh yang berlainan, maka  di atas-Nya ia bertaut dan berkasih sayang, ia akan keluar dari bermacam-macam, dan kembali di dalam keadaan yang satu di sisi Yang  Satu.                               


[1] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  vii,  419

(DIPETIK DARI AL IKHTISAS)

Tiga Orang Tidak Dikenali


      
       Luqman berkata: Tiga orang tidak dikenali melainkan pada tiga tempat: Seorang yang lemah lembut (al-Halim ) tidak dikenali melainkan ketika marah, tidak dikenali seorang yang berani melainkan di dalam peperangan dan anda tidak mengenali saudara anda melainkan ketika anda memerlukannya[1].                          


[1] Ibid,  xvi , 49

(DIKUTIP DARI AL IKHTISAS)