Penjelasan Nabi Saw. tentang keutamaan Ali a.s.
Ali bin Abu Talib a.s. berdiri dan berkata: Wahai Rasulullah! Nasabkan aku, siapakah aku? Supaya orang ramai mengetahui kekerabatanku dengan anda. Maka beliau bersabda: Wahai Ali! Aku dan anda telah diciptakan daripada dua tiang daripada satu cahaya yang tergantung di bawah ‘Arasy dan mengtaqdiskan Malaikat sebelum Dia menciptakan makhluk selama dua ribu tahun. Kemudian Dia telah menciptakan dua nutfah putih daripada dua tiang yang bertaut di antara keduanya.
Kemudian Dia memindahkan kedua-dua nutfah tersebut pada sulbi-sulbi yang mulia kepada rahim-rahim yang cerdik lagi bersih sehingga Dia menjadikan separuhnya pada sulbi Abdullah, dan separuhnya pada sulbi Abu Talib. Maka sebahagiannya adalah aku, dan sebahagian adalah anda sebagaimana firman Allah “Dialah yang telah menciptakan manusia daripada air dan Dia telah menjadikannya keturunan dan ipar, dan adalah Tuhan kamu Maha Berkuasa”. Wahai Ali! Anda adalah daripada aku dan aku adalah daripada anda.[1] Daging anda adalah dagingku. Darah anda adalah darahku. Anda adalah sebab antara Allah dan makhluk-Nya selepasku.[2] Sesiapa yang mengingkari wilayah anda, sesungguhnya dia telah memutuskan sebab antaranya dan Allah. Dan dia berada di peringkat yang terkebawah.
Wahai Ali! Allah tidak akan dikenali melainkan denganku, kemudian dengan anda. Sesiapa yang mengingkari wilayah anda, sesungguhnya dia telah mengingkari Allah akan rububiyyah-Nya. Wahai Ali! Anda adalah bendera Allah yang akbar selepasku di Bumi. Anda adalah tiang yang akbar pada Hari Kiamat. Sesiapa yang berteduh di bawah kumpulan anda, maka dia berjaya. Kerana hisab makhluk adalah kepada anda. Tempat rujuk mereka adalah kepada anda.
Timbangan adalah timbangan anda. Sirat adalah Sirat anda. Tempat berhenti adalah tempat berhenti anda. Hisab adalah hisab anda. Sesiapa yang cenderung kepada anda, maka dia berjaya. Sesiapa yang menyalahi anda, maka dia binasa. Wahai Tuhanku! Persaksikanlah. Wahai Tuhanku! Persaksikanlah. Kemudian beliau pun turun.
Kata-kata Quraisy: “Umpama Muhammad sepertilah pokok kurma yang tumbuh di dalam sampah”
Abban daripada Sulaim berkata: Apabila Quraisy telah berada di majlisnya, dia melihat seorang lelaki daripada Ahl al-Bait, lantas dia memotong percakapannya semasa duduk. Tiba-tiba seorang lelaki di kalangan mereka berkata: Umpama Muhammad pada Ahl al-Baitnya sepertilah pokok kurma yang tumbuh di dalam sampah. Kata-kata sedemikian telah sampai kepada Rasulullah (Saw.), lantas beliau menjadi marah. Kemudian beliau keluar, menaiki mimbar dan mendudukinya sehingga orang ramai berkumpul. Beliau berdiri memuji Allah dan bersyukur kepada-Nya.
Kemudian bersabda: Wahai manusia! Siapakah aku? Mereka berkata: Anda adalah Rasulullah (Saw.) Beliau bersabda: Aku adalah Rasulullah (Saw.) dan aku adalah Muhammad bin Abdullah bin Abd al-Muttalib bin Hasyim. Kemudian beliau terus menyebut nasabnya sehingga berakhir kepada Nizar. Kemudian beliau bersabda: Sesungguhnya aku dan Ahl Baitku adalah cahaya yang berjalan di hadapan Allah sebelum Allah menciptakan Adam dua ribu tahun. Apabila Cahaya tersebut bertasbih, para Malaikat turut sama bertasbih kerana tasbihnya. Apabila Dia menciptakan Adam, Dia meletakkan cahaya tersebut di sulbinya. Kemudian Dia menurunkannya ke Bumi pada sulbi Adam.
Kemudian Dia telah membawanya pada bahtera Nuh pada sulbi Nuh. Kemudian Dia mencampakkannya pada sulbi Ibrahim. Kemudian Dia sentiasa memindahkan kami pada sulbi-sulbi yang mulia sehingga Dia mengeluarkan kami daripada galian yang terbaik antara bapa-bapa dan ibu-ibu yang tidak pernah berzina.
Sesungguhnya kami Bani Abd al-Muttalib adalah penghulu Ahli syurga. Aku, Ali, Ja‘far, Hamzah, al-Hasan, al-Husain, Fatimah dan al-Mahdi. Sesungguhnya Allah telah merenung kepada ahli Bumi satu renungan, maka Dia memilih daripada mereka dua lelaki. Salah seorang daripadanya adalah aku, lalu Dia mengutusku sebagai Rasul dan Nabi. Dan yang satu lagi adalah Ali bin Abu Talib.[3]
Dia telah mewahyukan kepadaku supaya mengambilnya sebagai saudara, khalil, wazir, wasi dan khalifah. Sesungguhnya beliau adalah wali kepada setiap Mukmin selepasku. Sesiapa yang menjadikannya wali, maka Allah memuliakannya. Seiapa yang memusuhinya, maka dia telah memusuhi Allah. Tidak mencintainya melainkan Mukmin dan tidak membencikannya melainkan orang kafir. Beliaulah Dhar al-Ardh selepasku dan penghuninya. Beliaulah Kalimatu Llah al-Taqwa dan ‘Urwah-Nya al-Wuthqa.
Mereka mahu memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka. Dan Allah menyempurnakan cahayanya sekalipun dibenci oleh orang kafir.[4] Sesungguhnya Allah merenung pada kali kedua, maka Dia memilih selepas kami dua belas wasi dan Ahl Baitku. Maka Dia menjadikan mereka sebaik-baik umatku seorang demi seorang seperti bintang-bintang di langit. Setiap kali satu bintang hilang, muncul pula bintang yang lain. Mereka adalah para imam yang mendapat petunjuk. Tipu-daya tidak akan memudaratkan mereka. Tidak ada penghinaan yang boleh menghina mereka. Mereka adalah hujah-hujah Allah di Bumi-Nya, saksi-saksi-Nya ke atas makhluk-Nya.[5]
Penyimpan-penyimpan ilmu-Nya. Penterjemah-penterjemah wahyu-Nya dan galian-galian hikmat-Nya. Sesiapa yang mentaati mereka, maka dia mentaati Allah. Sesiapa yang menderhakai mereka, maka dia menderhakai Allah. Mereka bersama al-Qur’an dan al-Qur’an bersama mereka. Mereka tidak akan berpisah dengannya sehingga mereka dikembalikan ke atasku di al-Haudh. Hendaklah orang yang hadir memberitahu akan orang tidak hadir. Wahai Tuhanku! Persaksikanlah. Wahai Tuhanku! Persaksikanlah. Wahai Tuhanku! Persaksikanlah.
Pemberitahuan Abu Dhar tentang keajaiban Hadis Nabi Saw. mengenai Ali
Abban bin Abi ‘Iyasy daripada Sulaim bin Qais berkata: Aku telah berkata kepada Abu Dhar: Beritahukan kepadaku rahima-ka-Llahu tentang keajaiban hadis[6] yang anda dengar daripada Rasulullah (Saw.) mengenai Ali bin Abu Talib? Beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda: Sesungguhnya di sekeliling ‘Arasy ada sembilan puluh Malaikat yang tidak bertasbih dan tidak pula beribadah melainkan ketaatan kepada Ali bin Abu Talib, membersihkan diri ke atas musuh-musuhnya dan beristighfar kepada Syi‘ahnya.
Aku berkata: Adakah hadis yang lain daripada ini rahima-ka-Llahu? Beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda: Allah sentiasa berhujah dengan Ali pada setiap umat yang diutuskan-Nya Nabi dan mempersaksikan mereka bahawa mengenali Ali adalah sebesar-besar darjat di sisi Allah. Aku berkata: Adakah hadis selain daripada ini rahima-ka-Llahu? Beliau berkata: Ya. Aku mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda: Sekiranya aku dan Ali tidak ada, nescaya Allah tidak dikenali. Sekiranya aku dan Ali tidak ada, nescaya Allah tidak disembah.[7] Sekiranya aku dan Ali tidak ada, nescaya tidak ada pahala dan siksa. Tidak ada penutup yang menutupi Ali daripada Allah dan tidak ada hijab yang menutupinya daripada Allah. Beliaulah penutup (sitrun) dan hijab di antara Allah dan makhluk-Nya.
Pemberitahuan al-Miqdad tentang keajaiban Hadis Nabi Saw. mengenai Ali
Sulaim berkata: Kemudian aku telah bertanyakan al-Miqdad, maka aku berkata: Beritahukan aku rahima-ka-Llahu keutamaan hadis[8] yang anda dengar daripada Rasulullah (Saw.) tentang Ali bin Abu Talib? Beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda: Sesungguhnya Allah telah menyatukan kekuasaan-Nya lalu memperkenalkan cahaya-cahaya-Nya akan diri-Nya. Kemudian Dia memfardukan kepada mereka suruhan-Nya dan mengharuskan mereka Syurga-Nya. Sesiapa yang mahu membersihkan hatinya daripada Jin dan manusia, hendaklah dia mengenali wilayah Ali bin Abu Talib. Sesiapa yang mahu memadamkan hatinya, hendaklah dia menahan dirinya daripada mengenali (ma‘rifah) Ali bin Abu Talib.
Demi Yang diriku di tangan-Nya! Bahawa Adam tidak boleh mewajibkan Allah untuk menciptakannya, menghembuskan padanya daripada roh-Nya, menerima taubatnya dan mengembalikannya ke Syurga-Nya melainkan dengan kenabianku dan wilayah Ali selepasku. Demi Yang diriku di tangan-Nya! Bahawa Dia tidak memperlihatkan Ibrahim keajaiban alam malakut dan tidak mengambilnya sebagai khalil melainkan dengan kenabianku dan pengakuan kepada Ali selepasku. Demi Yang diriku di tangan-Nya! Bahawa Allah tidak bercakap dengan Musa sebarang percakapan, begitu juga ‘Isa tidak mendirikan bukti (ayatan) bagi segala Alam melainkan dengan kenabianku dan mengenali Ali selepasku. Demi Yang diriku di tangan-Nya! Bahawa seseorang itu tidak menjadi Nabi melainkan dia mengetahui dan mengakui wilayah kami. Dan tidak berhak makhluk Allah “melihat” kepada-Nya melainkan dengan beribadat kepada-Nya, dan mengakui (Ali) selepasku.[9] Kemudian beliau diam.
Maka aku berkata: Adakah hadis selain daripada ini rahima-ka-Llahu? Dia berkata: Ya. Aku mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda: Ali adalah orang yang paling kuat beragama pada umat ini, saksi ke atas-Nya, pengendali hisab-Nya. Beliaulah tuan kepada kedudukan yang tinggi, jalan kebenaran, jalan Allah yang lurus, beliau adalah penunjuk selepasku dari kesesatan. Dengan beliaulah seorang itu dapat melihat kebenaran. Dengan beliaulah berjayanya orang yang berjaya. Dengan beliaulah seorang itu dapat mengelakkan dirinya dari kematian yang sia-sia dan aman daripada ketakutan. Dengan beliaulah kejahatan dipadamkan, kesedihan dihilangkan dan rahmat diturunkan.
Beliau adalah mata Allah yang melihat, telinga-Nya yang mendengar, lidah-Nya yang bercakap pada makhluk-Nya. Dialah tangan Allah yang terbentang ke atas hamba-Nya dengan rahmat, muka-Nya di Langit dan di Bumi, rusuk kanan-Nya yang zahir (janbu-hu al-Zahir al-Yamin), tali-Nya yang kuat lagi utuh. Ikatan-Nya yang kuat tanpa perpisahan. Pintu-Nya yang dikunjungi, rumah-Nya di mana sesiapa yang memasukinya adalah terselamat dan bendera-Nya di atas Sirat. Sesiapa yang mengenalinya, akan berjaya ke Syurga. Dan sesiapa yang mengingkarinya, akan masuk ke Neraka.
Kata-kata Salman al-Farisi bahawa Ali a.s. adalah pintu yang dibukakan Allah
Abban daripada Sulaim bin Qais berkata: Aku mendengar Salman al-Farisi berkata: Sesungguhnya Ali (a.s.), adalah pintu yang telah dibukakan oleh Allah.[10] Sesiapa yang memasukinya adalah Mukmin dan sesiapa yang keluar daripadanya adalah kafir.[11]
Pemberitahuan Abdullah bin Abbas tentang apa yang berlaku selepas kewafatan Nabi Saw.
Abban daripada Sulaim bin Qais berkata: Aku berada di sisi Abdullah bin Abbas di rumahnya. Bersama kami adalah sekumpulan Syi‘ah Ali a.s. Kami bercakap-cakap sehingga beliau berkata: Wahai saudara-saudaraku! Rasulullah (Saw.) telah wafat dan sejak hari kewafatannya (hingga kini), beliau masih belum diletakkan ke lubang lahadnya sehingga orang ramai bercakap perkara yang lucu. Mereka menjadi murtad dan bersetuju di atas perkara yang bertentangan (khilaf).
Ali bin Abu Talib sibuk dengan urusan jenazah Rasulullah Saw. sehingga beliau selesai daripada memandi, mengkafan dan mengtahnitkannya. Lantas beliau meletakkan Rasulullah Saw. di lubang lahadnya. Kemudian beliau menumpukan sepenuh masa mengumpul al-Qur’an, tanpa memusatkan kepada wasiat Rasulullah (Saw.) kerana tujuannya bukanlah untuk kekuasaan (al-Mulk) dan Rasulullah (Saw.) telah memberitahunya tentang kaum yang akan belot.
Kejadian yang berlaku ke atas Ali a.s. dan Fatimah a.s. serta para sahabat mereka selepas membai‘ah Abu Bakr
Manakala orang ramai telah menerima fitnah daripada dua lelaki itu Abu Bakr dan Umar), maka tidak tinggal melainkan Ali, Bani Hasyim, Abu Dhar, al-Miqdad dan Salman dalam bilangan yang sedikit. Umar berkata kepada Abu Bakr: Apa ini? Sesungguhnya orang ramai telah memberi bai‘ah kepada anda selain lelaki ini, Ahl Baitnya dan beberapa orang lain. Lantaran itu, utuslah kepadanya.[12]
Maka Abu Bakr pun mengutuskan sepupu Umar bernama Qunfudh dan berkata: Pergilah kepada Ali dan katakan kepadanya: Sahutilah seruan Khalifah Rasulullah (Saw.). Maka diapun pergi dan menyampaikannya. Lalu Ali (a.s.) berkata: Alangkah cepatnya kalian berbohong terhadap Rasulullah (Saw.),[13] dan kalian telah menjadi murtad. Demi Tuhan! beliau tidak melantik selain daripadaku. Justeru itu, pulanglah wahai Qunfudh! Kerana anda adalah pesuruhnya. Ali berkata kepada anda: Demi Tuhan! Rasulullah (Saw.) tidak pernah melantik anda. Sesungguhnya anda memang mengetahui siapakah Khalifah Rasulullah (Saw.). Qunfudh pun pulang kepada Abu Bakr dan menyampaikan risalah kepadanya.
Maka Abu Bakr berkata : Ali memang benar bahawa Rasulullah (Saw.) tidak pernah melantikku. Maka Umar menjadi marah Dia melompat dan berdiri sambil berkata: Duduklah. Kemudian dia berkata kepada Qunfudh: Pergilah kepadanya dan katakan kepadanya: Sahutilah seruan Amir al-Mukminin Abu Bakr. Maka Qunfudh pun pergi sehingga dia berjumpa Ali (a.s.), lalu menyampaikan risalah.
Beliau a.s. berkata: Abu Bakr telah berbohong. Demi Tuhan! Kembalilah kepadanya dan katakan kepadanya: Anda telah menamakan diri anda bukan dengan nama anda. Sesungguhnya anda mengetahui bahawa Amir al-Mukminin adalah selain daripada anda. Lalu Qunfudh pun pulang dan memberitahu mereka berdua.[14] Lantas Umar melompat di dalam keadaan marah dan berkata: Demi Tuhan! Sesungguhnya aku mengetahui kecetekannya dan kelemahan pendapatnya. Sesungguhnya urusan kita tidak akan berjalan dengan baik sehingga anda membunuhnya. Lantaran itu, biarkan aku mendatangi anda dengan kepalanya.
Maka Abu Bakr berkata: Duduklah. Namun Umar enggan. Dia bersumpah ke atasnya, lalu duduk. Kemudian dia berkata: Wahai Qunfudh! Pergilah dan katakan kepadanya: Sahutilah seruan Abu Bakr. Maka qunfudh pun pergi berjumpa Ali a.s. dan berkata: Wahai Ali! Sahutilah seruan Abu Bakr. Ali a.s menjawab: Aku terlalu sibuk. Lagipun aku tidak mahu meninggalkan wasiat khalilku dan saudaraku. Dia pergi kepada Abu Bakr dan memberitahunya. Lalu Umar melompat dalam keadaan marah.
Serangan Umar ke atas rumah Fatimah a.s. dan pukulan terhadapnya dengan cemeti
Lantas dia memanggil Khalid bin al-Walid dan Qunfudh. Dia memerintahkan mereka berdua supaya membawa kayu (api) dan api. Kemudian dia pergi ke pintu rumah Ali dan Fatimah a.s. Fatimah a.s. pada masa itu sedang duduk di sebalik pintu. Kepala beliau naik darah dan tubuhnya kurus selepas kewafatan Rasulullah Saw. Umar pun datang lalu memukul pintu.[15] Kemudian dia memanggil: Wahai Ibn Abu Talib! Bukakan pintu. Maka Fatimah berkata: Wahai Umar! Kami tidak ada kaitan dengan anda, lantaran itu jangan campur tangan dalam urusan kami. Umar berkata: Bukakan pintu. Jika tidak, kami akan membakarnya ke atas kalian.[16] Beliau berkata: Wahai Umar! Bertakwalah kepada Tuhan, anda memasuki rumahku dan menyerang rumahku. Umar enggan berundur. Kemudian Umar menyeru dengan api, lalu dia menyalakannya di pintu rumah Fatimah a.s. dan membakar pintu kemudian menolaknya. Lantas dia berdepan dengan Fatimah a.s. Beliau melaung: Wahai bapakku! Wahai Rasulullah!. Umar mengangkat pedangnya yang masih tersarung lalu diacukan ke rusuknya. Maka beliau a.s. melaung. Lantas Umar mengangkat cemetinya, lalu memukul lengan beliau a.s.[17]
Ali a.s. memegang leher Umar dan terlintas di hati untuk membunuhnya.
Fatimah a.s. terus menangis dan melaung: Wahai bapaku! Ali a.s. melompat dan memegang Umar. Kemudian beliau menolak, memulas, memegang hidung dan lehernya dengan kuat. Terlintas di hatinya untuk membunuhnya, lantas beliau teringat sabda Rasulullah dan wasiatnya supaya sentiasa bersabar dan taat. Maka beliau a.s. berkata: “Demi Yang telah memuliakan Muhammad dengan kenabian! Wahai Ibn Sahhak! Sekiranya tidak ada kitab daripada Allah yang terdahulu, nescaya anda mengetahui bahawa anda tidak akan memasuki rumahku”. Umar pun mengutus (seseorang) meminta pertolongan. Lalu orang ramai datang beramai-ramai sehingga memasuki rumah.
Khalid bin al-Walid menghunus pedang untuk memukul Fatimah a.s. dan reaksi Ali a.s.
Khalid bin al-Walid menghunus pedangnya untuk memukul Fatimah a.s. Dia mengangkat pedangnya di atasnya. Dia juga bersumpah untuk menentang Ali a.s. Kemudian Al-Miqdad, Salman, Abu Dhar, Ammar dan Buraidah al-Aslami datang, kemudian mereka memasuki rumah sebagai pembantu-pembantu Ali a.s. sehingga hampir berlaku fitnah. Maka Ali a.s. dikeluarkan dari rumahnya. Kemudian orang ramai mengikutinya.[18]
Salman, Abu Dhar, al-Miqdad, Ammar dan Buraidah mengikuti Ali a.s. dan berkata: Alangkah cepatnya kalian mengkhianati Rasulullah (Saw.) dan kalian telah mengeluarkan dendam kesumat di dada kalian. Buraidah al-Aslami berkata: Wahai Umar! Anda telah menentang saudara Rasulullah, wasinya dan anak perempuannya, maka anda memukulnya. Anda memang dikenali oleh Quraisy dengan perangai anda. Lantas Khalid bin al-Walid mengangkat pedangnya yang masih tersarung untuk memukul Buraidah. Maka Umar menghalangnya daripada melakukannya.
Ali a.s. dikeluarkan dari rumah dalam keadaan leher terikat supaya membai‘ah Abu Bakr
Maka mereka membawa Ali a.s. kepada Abu Bakr dalam keadaan lehernya terikat. Manakala Abu Bakr melihatnya, dia melaung: Kalian berilah jalan kepadanya. Ali a.s. berkata: Alangkah cepatnya kalian menerkam ke atas Ahl Bait Nabi kalian. Wahai Abu Bakr! Hak yang mana, warisan yang mana dan keutamaan yang mana anda menggesa orang ramai supaya membai‘ah anda. Tidakkah anda telah membai‘ahku kelmarin dengan perintah Rasulullah?
Umar berkata: Tinggalkan perkara ini daripada anda wahai Ali! Demi Tuhan! Jika anda tidak memberi bai‘ah, kami akan membunuh anda. Ali a.s. berkata: Jikalaulah begitu, demi Tuhan! Aku adalah seorang hamba Allah dan saudara Rasulullah yang dibunuh? Umar berkata: Adapun hamba Allah yang terbunuh, maka ia adalah benar. Adapun saudara Rasulullah, maka jawapannya tidak.[19]
Ali a.s. berkata: Sekiranya tidak ada Qadha’ daripada Allah yang terdahulu dan janji yang telah dijanjikan oleh khalilku, nescaya aku tidak menerimanya dan anda mengetahui siapakah daripada kita yang mempunyai pembantu yang lemah dan sedikit. Abu Bakr diam, tidak bercakap.
Kata-kata Salman, Abu Dhar, al-Miqdad, ‘Ammar dan Buraidah di majlis Abu Bakr
Maka Buraidah berdiri dan berkata: Tidakkah kalian berdua telah disabdakan oleh Rasulullah: Pergilah kepada Ali dan berilah salam kepadanya kerana menjadi pemimpin Mukminin. Dan kalian berdua berkata: Adakah ia daripada perintah Allah dan Rasul-Nya? Umar berkata: Ya. Maka Abu Bakr berkata: Memang benar. Tetapi anda ketika itu tidak ada dan kami telah menyaksikan perkara ini selepas itu. Umar berkata: Apakah kaitan anda dengan perkara ini, wahai Buraidah! Dan apakah yang membuat anda masuk campur dalam perkara ini? Buraidah berkata: Demi Tuhan! Aku tidak akan tinggal di dalam negeri di mana kalian menjadi pemerintah. Maka Umar memerintahkan supaya beliau dipukul dan dikeluarkan. Kemudian Salman berdiri dan berkata: Wahai Abu Bakr! Bertakwalah anda kepada Tuhan dan berdirilah daripada majlis ini serta tinggalkan kepada ahlinya supaya mereka menjalankan urusannya dengan senang hati sehingga Hari Kiamat.[20] Dua pedang tidak akan bertentangan pada umat ini. Tetapi Abu Bakr tidak menjawabnya. Lantaran itu, Salman mengulanginya dengan perkataan yang sama. Lantas Umar memarahinya dan berkata: Apakah kaitan anda dengan perkara ini dan apakah yang membuat anda masuk campur di dalam perkara ini? Beliau berkata:Nanti dahulu wahai Umar! Berdirilah wahai Abu Bakr daripada majlis ini dan tinggalkan kepada ahlinya, nescaya mereka akan menjalankan urusannya dengan berwibawa sehingga Hari Kiamat. Jika kalian enggan, kalian akan memerah darah manakala Tulaqa’[21] (orang yang diusir) dan Munafiqun akan berlumba-lumba untuknya.
Demi Tuhan! Sekiranya aku mengetahui bahawa aku dapat menolak kezaliman atau memuliakan agama Allah, nescaya aku meletakkan pedangku di atas bahuku, kemudian aku memukul dengannya secara langsung. Adakah kalian melompat ke atas wasi Rasulullah (Saw.)? Justeru itu, bergembiralah dengan bala dan berputus asalah daripada kesenangan. Kemudian Abu Dhar, al-Miqdad dan ‘Ammar berdiri dan berkata kepada Ali: Apakah perintah anda? Demi Tuhan! Sekiranya anda memerintahkan kami, nescaya kami memukulnya dengan pedang sehingga kami membunuh.
Ali (a.s.) berkata: Tahanlah diri kalian rahima-kumu-Llahu. Ingatlah janji Rasulullah (Saw.) dan wasiatnya kepada kalian. Justeru itu, tahanlah diri kalian. Umar berkata kepada Abu Bakr yang sedang duduk di atas mimbar. Apakah yang membuat anda duduk di atas mimbar. Ini (Ali) duduk sebagai orang yang menentang, tidak berdiri untuk memberi bai‘ah kepada anda atau anda perintahkannya supaya memberi bai‘ah. Jika tidak, penggallah kepalanya.
Al-Hasan dan al-Husain a.s. sedang berdiri di hadapan Ali a.s. Apabila mereka berdua mendengar kata-kata Umar, merekapun terus menangis lalu mengangkat suara mereka: Wahai Datuk! Wahai Rasulullah! Maka Ali memeluk mereka dan berkata: Janganlah kalian menangis. Demi Tuhan! Mereka berdua tidak berkuasa untuk membunuh bapa kalian kerana mereka lebih hina untuk melakukan sedemikian.
Kata-kata Umm Aiman (penyusu Nabi) kepada Abu Bakr
Umm Aiman al-Nubiyyah (penyusu Nabi) dan Umm Salamah datang dan berkata: Wahai ‘Atiq! Alangkah cepatnya kalian melahirkan hasad kalian terhadap keluarga Muhammad. Maka Umar memerintahkan supaya mereka berdua dikeluarkan dari Masjid. Dia berkata: Apakah kaitan kami dengan perempuan ini?
Bai‘ah Ali a.s. kepada Abu Bakr adalah secara terpaksa
Kemudian dia berkata: Wahai Ali! Berdirilah dan berilah bai‘ah. Ali a.s. berkata: Jika aku tidak melakukannya? Dia berkata: Jika begitu, kami akan penggal kepala anda. Ali a.s. berkata: Anda telah berbohong. Demi Tuhan! Wahai Ibn Sahhak! Anda tidak berkuasa melakukannya. Lalu Khalid bin al-Walid[22] melompat dan mencabut pedangnya lalu berkata: Demi Tuhan! Sekiranya anda tidak melakukannya, nescaya aku akan membunuh anda.
Lantas Ali a.s. menghampiri dan memegang kainnya. Kemudian beliau menolaknya. Lalu pedangnya terjatuh dari tangannya. Umar berkata: Berdirilah wahai Ali dan berilah bai‘ah. Beliau berkata: Sekiranya aku tidak memberi bai‘ah? Beliau berkata: Jika begitu, demi Tuhan! Kami akan membunuh anda. Ali a.s. telah berhujah ke atas mereka sebanyak tiga kali. Kemudian beliau menghulurkan tangan tanpa membuka tapak tangannya. Lantas Abu Bakr memukul ke atasnya dan meridhainya. Kemudian dia pulang ke rumahnya lalu diikuti oleh orang ramai.[23]
Ucapan Fatimah a.s. di majlis Abu Bakr selepas Fadak dirampas
Sulaim berkata: Telah sampai berita kepada Fatimah a.s. bahawa Abu Bakr telah merampas Fadak, lalu beliau a.s. keluar berjumpa wanita-wanita Bani Hasyim sehingga kemudian berjumpa Abu Bakr. Fatimah a.s. berkata: Wahai Abu Bakr! Anda mahu mengambil daripadaku tanah yang telah dijadikan untukku oleh Rasulullah dan beliau memberikan kepadaku di mana ia tidak diperolehi melalui peperangan dan kepenatan.[24] Tidakkah Rasulullah (Saw.) bersabda: Seseorang itu dijaga pada anaknya. Dan anda mengetahui bahawa beliau tidak meninggalkan kepada anaknya sesuatupun selain daripadanya?
Umar menegah Abu Bakr daripada menulis tentang Fadak untuk Fatimah
Manakala Abu Bakr mendengar kata-katanya dan perempuan yang bersama-samanya, dia menyeru supaya dibawa kepadanya kertas untuk menulis kepada Fatimah. Maka Umar datang dan berkata: Wahai Khalifah Rasulillah! Janganlah anda menulis untuknya sehinggalah dia mengemukakan keterangan di atas apa yang didakwanya.
Fatimah a.s. mengemukakan dua saksi tetapi ditolak oleh Umar
Fatimah a.s. berkata: Ya. Aku akan mengemukakan keterangan. Dia berkata: Siapa? Beliau berkata: Ali dan Umm Aiman. Lantas Umar berkata: Penyaksian perempuan asing yang tidak fasih tidak diterima. Adapun Ali, dia akan menyokong isterinya. Lalu Fatimah a.s. pulang dengan penuh kemarahan yang tidak terkira.[25] Beliaupun jatuh sakit. Ali a.s. mengerjakan solat lima waktu di Masjid.
Manakala beliau selesai solat, Abu Bakr dan Umar berkata kepadanya: Bagaimanakah dengan anak perempuan Rasulullah sehingga dia jatuh sakit? Mereka berdua berkata: Adalah di antara kami dan dia sebagaimana anda ketahui. Sekiranya anda fikir bahawa anda akan membenarkan kami, maka kami akan meminta maaf kepadanya daripada dosa kami. Beliau berkata: Itu terserah kepada kalian berdua. Maka kedua-dua mereka, kemudian duduk di pintu. Ali a.s. masuk berjumpa Fatimah a.s. dan berkata kepadanya: Wahai al-Hurrah (perempuan yang merdeka)! Fulan dan fulan di pintu. Mereka berdua ingin memberi salam kepada anda. Apakah pendapat anda? Fatimah a.s. berkata: Rumah adalah rumah anda dan al-Hurrah adalah isteri anda. Lakukanlah apa yang anda mahu. Beliau berkata: Perkukuhkanlah pendirian anda. Maka Fatimah pun memperkukuhkan pendiriannya dan memalingkan mukanya ke dinding.
Abu Bakr dan Umar memohon kemaafan dan pengakuan akan kesalahan mereka
Mereka berdua pun masuk dan memberi salam kepadanya seraya berkata: Maafkan kami, nescaya Tuhan memaafkan anda. Lalu beliau a.s. berkata: Apakah yang membawa anda kemari? Mereka berdua berkata: Kami mengakui kekasaran (isa’ah) kami. Kami berharap anda memaafkan kami dan mengeluarkan kemarahan anda. Beliau berkata: Sekiranya kalian berdua benar, beritahukan kepadaku apa yang telah aku tanyakan kepada kalian kerana aku tidak bertanyakan kalian sesuatu perkara melainkan aku mengetahui bahawa kalian mengetahuinya. Sekiranya kalian membenarkannya, nescaya aku mengetahui bahawa kalian adalah benar tentang kedatangan kalian. Mereka berdua berkata: Tanyalah apa yang anda mahu. Beliau berkata: Aku menyeru kalian dengan nama Allah, adakah kalian berdua mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda: Fatimah adalah sebahagian daripadaku. Sesiapa yang menyakitinya, maka dia menyakitiku. Mereka berkata: Ya. Lantas beliau mengangkat tangannya ke langit dan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka berdua telah menyakitiku, maka aku mengadu kedua-duanya kepada Engkau, kepada Rasul Engkau. Tidak.[26]
Fatimah a.s. tidak meridhai Umar dan Abu Bakr
Aku tidak meridhai kalian berdua selama-lamanya sehingga aku berjumpa bapaku Rasulullah. Dan aku akan memberitahunya apa yang telah kalian berdua lakukan. Dia akan menjadi hakim. Ibn Abbas berkata: Ketika itu Abu Bakr menyeru Neraka Wail dan kecelakaan. Dia berasa amat sedih. Lalu Umar berkata: Anda bersedih wahai Khalifah Rasulullah kerana kata-kata seorang perempuan?[27] Ibn Abbas berkata: Fatimah a.s. hidup empat puluh hari[28] selepas kewafatan bapanya.
Wasiat Fatimah kepada Ali a.s. ketika hampir wafat
Manakala keadaannya bertambah serius, beliau memanggil Ali (a.s.) dan berkata: Wahai anak bapa saudaraku! Aku fikir aku tidak akan hidup lama lagi. Aku berwasiat kepada anda supaya mengawini anak perempuan saudaraku, Zainab. Anak-anakku menganggapnya sepertiku. Biarkanlah aku berehat sejenak kerana aku telah melihat malaikat menceritakan kematianku. Janganlah seorangpun daripada musuh-musuh Allah menyaksikan jenazahku, pengkafananku dan solat ke atasku.
Ibn Abbas- iaitu kata-kata Amir al-Mukminin a.s.- berkata: Banyak perkara yang aku tidak dapat meninggalkannya kerana al-Qur’an yang dengannya diturunkan ke atas hati Muhammad (Saw.). Memerangi al-Nakithin, al-Qasitin dan al-Mariqin yang beliau telah berwasiat kepadaku. Khalilku Rasulullah telah berjanji kepadaku supaya aku memerangi mereka.[29] Dan Fatimah berwasiat kepadaku supaya aku mengahwini Umamah Binti Zainab.
Kewafatan Fatimah a.s. dan kegemparan Madinah dengan tangisan
Ibn Abbas berkata: Apabila Fatimah wafat, Madinah menjadi gempar dengan tangisan daripada lelaki dan perempuan. Orang ramai terharu sebagaimana pada hari wafatnya Rasulullah (Saw.). Abu Bakr dan Umar datang memberi takziah kepada Ali (a.s.) dan berkata: Wahai Abu al-Hasan! Janganlah anda mendahului kami mengerjakan solat ke atas anak perempuan Rasulullah.
Apabila tiba waktu malam, Ali (a.s.) memamggil al-Abbas, al Fadhl, al-Miqdad, Salman, Abu Dhar dan Ammar. Maka beliau telah mendahulukan al-Abbas, lalu beliau mengerjakan solat ke atasnya. Kemudian mereka mengebumikannya.
Pada keesokan pagi, Abu Bakr dan Umar datang, dan orang ramai mahu mengerjakan solat ke atas Fatimah (a.s.). Maka al-Miqdad berkata: Kami telah mengebumikan Fatimah semalam.[30] Lalu Umar berpaling kepada Abu Bakr dan berkata: Tidakkah aku telah memberitahu anda bahawa mereka akan melakukannya? Al-Abbas berkata: Beliau telah berwasiat supaya kalian berdua tidak mengerjakan solat ke atasnya.
Lantas Umar berkata: Kalian masih tidak meninggalkan wahai Bani Hasyim, hasad kalian yang lama selama-lamanya. Sesungguhnya segala hasad di dada kalian tidak akan hilang. Demi Tuhan! Aku berasa mahu menggalinya semula sehingga aku mengerjakan solat ke atasnya. Ali (a.s.) berkata: Demi Tuhan! Sekiranya anda melakukannya wahai Ibn Sahhak! Nescaya aku akan mengembalikan sumpah anda. Sekiranya aku menghunuskan pedangku, aku tidak akan menyarungkannya kembali tanpa membunuh anda.[31]
Akhirnya Umar diam kerana dia mengetahui bahawa apabila Ali bersumpah, beliau membenarkannya. Kemudian Ali (a.s.) berkata: Wahai Umar! Tidakkah Rasulullah ingin membunuh anda, lalu beliau mengutusku. Lantas aku mengangkat pedangku, kemudian aku menuju kepada anda untuk membunuh anda. Maka Allah telah menurunkan firman-Nya di dalam Surah Maryam (19): 84, “Janganlah engkau menyegerakan siksaan untuk mereka. Sesungguhnya Kami hanya menghitung (hari) mereka dengan bilangan”. Ibn Abbas berkata: Kemudian mereka melakukan konspirasi dan berkata: Urusan kita tidak akan kukuh selama lelaki ini masih hidup.
Keinginan Abu Bakr untuk membunuh Ali, perintahnya kepada Khalid dan penyesalannya
Abu Bakr berkata: Siapakah yang akan membunuhnya untuk kita? Umar berkata: Khalid bin al-Walid[32]. Maka mereka berdua mengutus kepadanya. Mereka berdua berkata: Wahai Khalid! Apakah pendapat anda pada perkara yang kami akan pertanggung jawabkan ke atas anda? Dia berkata: Pertanggung jawabkanlah aku di atas apa yang kalian berdua kehendaki. Demi Tuhan! Sekiranya kalian berdua mempertanggung jawabkan aku untuk membunuh Ibn Abi Talib, nescaya aku akan melakukannya. Mereka berdua berkata: Itu sahajalah yang kami mahu. Dia berkata: Aku akan melakukannya.
Abu Bakr berkata: Apabila kami berdiri untuk mengerjakan solat Subuh, maka berdirilah di sisinya dan pedang bersama anda. Apabila aku memberi salam, maka penggallah kepalanya. Dia berkata: Ya. Mereka berazam untuk melakukannya.[33] Kemudian Abu Bakr mulai berfikir tentang perintahnya untuk membunuh Ali (a.s.). Dia mengetahui sekiranya dia melakukannya, maka akan berlaku peperangan yang besar dan bala yang berpanjangan. Maka diapun menyesal di atas perintahnya sehingga dia tidak dapat tidur pada malam itu.
Abu Bakr datang ke Masjid pada pagi itu. Solat didirikan, dia telah mengerjakan solat dengan orang ramai dan tidak mengetahui apa yang dikatakannya. Khalid datang membawa pedangnya sehingga dia berdiri di sisi Ali. Tetapi Ali (a.s.) dapat mengagak sesuatu yang akan berlaku. Apabila Abu Bakr selesai daripada tasyahhudnya, dia melaung sebelum memberi salam: Wahai Khalid! Jangan anda lakukan apa yang aku telah perintahkan anda untuk melakukannya. Sekiranya anda melakukannya, nescaya aku akan membunuh anda. Kemudian dia memberi salam ke kanan dan ke kirinya.[34]
Lantas Ali (a.s.) melompat dan memegang leher Khalid serta mencabut pedang di tangannya. Kemudian beliau bergumpal dengannya dan duduk di atas dada Khalid. Lalu beliau mengambil pedangnya untuk membunuhnya. Ahli Masjid berkumpul di sekelilingnya untuk membebaskan Khalid, tetapi mereka tidak mampu menguasainya.[35] Maka Abbas berkata: Kalian membuat sumpah kepadanya dengan hak kubur supaya beliau berhenti. Lantas beliau meninggalkannya, berdiri dan terus pulang ke rumahnya.
Kemudian al-Zubair, al-Abbas, Abu Dhar, al-Miqdad dan Bani Hasyim datang. Mereka mengangkat pedang dan berkata: Demi Tuhan! Mereka tidak akan berhenti sehingga beliau bercakap dan melakukannya. Orang ramai bertengkar dan keadaan menjadi riuh-rendah. Sementara wanita-wanita Bani Hasyim telah keluar dan bertempik, seraya berkata: Alangkah cepatnya kalian melahirkan permusuhan dengan Rasulullah dan Ahl Baitnya.[36] Sudah lama kalian mahu perkara ini daripada Rasulullah tetapi kalian tidak dapat menguasainya.
Kalian telah membunuh anak perempuannya kelmarin,[37] kemudian kalian mahu hari ini membunuh saudaranya, sepupunya, wasinya dan bapa anak-anaknya. Kalian telah berbohong demi Tuhan Ka‘bah! Kalian tidak akan dapat membunuhnya sehingga orang ramai khuatir akan berlaku fitnah yang besar.
BIBLIOGRAFI
[1] Al-Tabari, Tarikh, ii, hlm. 197. al-Nasa’i, al-Khasa’is, hlm. 87-8.
[2] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 129-30.
[3] Ibid., hlm. 486-7.
[4] Ibid.
[5] Ibid.
[6] Haji Sayyid Hasyim Musawi Haddad, Ruh Mujarrad, hlm. 390 menyatakan bahawa Ali a.s. berkata: “Sekiranya Abu Dhar mengetahui apa yang ada di hati Salman nescaya beliau membunuhnya. Sedangkan Rasulullah Saw. telah mempersaudarakan antara mereka berdua. Apakah sangkaan kalian kepada orang ramai?” Ini bererti bahawa Salman mengetahui lebih banyak keajaiban hadis Rasulullah Saw. berbanding Abu Dhar. Manakala orang ramai kurang mengetahuinya. Dan sekiranya mereka mengetahuinya, mereka tidak akan mempercayainya pula.
[7] Ibn al-Maghazali, al-Manaqib, hlm. 70 di mana Rasulullah Saw. bersabda: “Sekiranya anda tidak ada nescaya Mukminun tidak dikenali selepasku”.
[8] Rasulullah Saw. bersabda: “Ali adalah sebaik-baik manusia. Sesiapa yang enggan maka dia menjadi kafir” Ibn Hajr, Tahdhib al-Tahdhib, ix, hlm. 419. al-Khatib, Tarikh Baghdad, vii, hlm. 421. al-Muhibb al-Din al-Tabari, Dhaka‘ir al-‘Uqba, hlm. 220.
[9] Rasulullah Saw. bersabda: “Sesiapa yang tidak berkata bahawa Ali adalah sebaik-baik manusia maka dia menjadi kafir”. al-Khatib, Tarikh Baghdad, iii, hlm. 192. Ibn Hajr, Tahdhib al-Tahdhib, ix, hlm. 419.
[10] Haji Sayyid Hasyim Musawi al-Haddad, Ruh Mujarrad, hlm. 391 menyatakan bahawa Ali Zain al-Abidin a.s. berkata: “Aku menyembunyikan jauhar keilmuanku supaya si jahil tidak melihat kebenarannya lantas dia memfitnahkan kami”. Ini bererti bahawa kebenaran hendaklah diberikan kepada ahlinya sahaja bagi mengelakkan fitnah. Lihat juga Ibn Hajr, al-Isabah, vii, hlm. 167 bahawa Rasulullah Saw. bersabda: Beliau (Ali a.s.) adalah pintuku…”
[11] Bandingkan al-Hakim, al-Mustadrak, iii, hlm. 129.
[12] Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, iv, hlm. 309. al-Tabari, Tarikh, ix, hlm. 102.
[13] Ibn Qutaibah, al-Imamah wa al-Siyasah, i, hlm. 14-17. al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, iii, hlm. 139-40.
[14] Ibn Qutaibah, al-Imamah wa al-Siyasah, i, hlm. 14-17 .al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, iii, hlm. 139-40.
[15] Ibn al-Athir, Usd al-Ghabah, ii, hlm. 325. Ibn ‘Abd al-Birr, al-Isti‘ab, iii, hlm. 975.
[16] Al-Tabari, Tarikh, iii, hlm. 198. Abu al-Fida’, Tarikh, i, hlm. 156. Al-Hakim, al-Mustadrak, iii, hlm. 153.
[17] Ibid.
[18] Ibn ‘Abd. al-Birr, al-Isti‘ab, iii, hlm. 975.
[19] Al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, iii, hlm. 139. Ibn Qutaibah, al-Imamah wa al-Siyasah, i, hlm. 18-20.
[20] Bandingkan Al-Syablanji al-Syafi‘i, Nur al-Absar, hlm. 69.
[21] Ibn al-Athir, Usd al-Ghabah, iii, hlm. 318.
[22] Khalid bin al-Walid adalah seorang yang ganas. Lantaran itu, Rasulullah Saw. telah membersihkan diri daripada perbuatannya. Lihat Ibn Hajr, al-Isabah, iii, hlm. 336-7. al-Tahawi, Musykil al-Athar, iv, hlm. 254. Ibn Hajr, Fath al-Bari, ix, hlm. 119.
[23] Ibn Qutaibah, al-Imamah wa al-Siyasah, i, hlm. 14-7 (Bagaimana Ali dibai‘ah). Al-Baladhuri, Ansab al-Asyraf, i, hlm. 585. al-Tabari, Tarikh, i, hlm. 18-20. al-Ya‘qubi, Tarikh, ii, hlm. 126-7.
[24] Al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, ii, hlm. 158. al-Haithami, Majma‘ al-Zawa’id, vii, hlm. 49.
[25] Ibn Qutaibah, al-Imamah wa al-Siyasah, i, hlm. 14. al-Bukhari, Sahih, vi, hlm. 177-8.
[26] Bukhari, Sahih, vi, hlm. 177. Ibn Qutaibah, al-Imamah wa al-Siyasah, i, hlm. 14-5. Ibn al-Athir, Usd al-Ghabah, v, hlm. 523-4.
[27] Fatimah a.s. adalah salah seorang Wanita al-‘Alamin dan bukan wanita biasa. Lihat Ibn al-Maghazali, al-Manaqib, hlm. 363.
[28] Al-Bukhari, Sahih, vi, hlm. 177 menyatakan bahawa Fatimah a.s. telah hidup selepas kewafatan Nabi Saw. selama enam bulan.
[29] Al-Haithami, Majma‘ al-Zawa’id, ix, hlm. 111. Al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-‘Ummal, vi, hlm. 154.
[30] Al-Bukhari, Sahih, vi, hlm. 177. Ibn ‘Abd al-Birr, al-Isti‘ab, ii, hlm. 751.
[31] Muhibb al-Din al-Tabari, al-Riyadh al-Nadhirah, ii, hlm. 190.
[32] Khalid bin al-Walid telah membunuh Malik bin Nuwairah seorang muslim, kemudian menyetubuhi isterinya yang cantik pada malam itu juga. Ali a.s. dan para sahabatnya mahu Khalid direjam kerana perbuatan zinanya tetapi Khalifah Abu Bakr tidak mahu mengenakan had ke atasnya. Lihat Ibn Hajr, al-Isabah, iii, hlm. 336. al-Tabari, Tarikh, ii, hlm. 502. Justeru itu, tidak hairanlah jika Khalid telah menerima perintah daripada Abu Bakr dan umar untuk membunuh Ali a.s.kerana penolakannya untuk memberi bai‘ah kepada Abu Bakr.
[33] Al-Fadhl bin Syadhan, al-Idhah, hlm. 155-9. Bandingkan Ibn Abi al-Hadid, Syarh Nahj al-Balaghah, iv, hlm. 190-1.
[34] Ibid.
[35] Al-Fadhl bin Syadhan, al-Idhah, hlm. 155-9. Bandingkan Ibn Abi al-Hadid, Syarh Nahj al-Balaghah, iv, hlm. 190-1.
[36] Ibn al-Maghazali, al-Manaqib, hlm. 243 menyatakan bahawa Rasulullah Saw. bersabda: “Tanda Sahifah Mukmin adalah mencintai Ali bin Abi Talib”.
[37] Ulama tidak sepakat tentang tarikh kewafatannya. Ada yang berpendapat bahawa Fatimah a.s. wafat empat puluh hari selepas kewafatan Rasulullah Saw. dan pendapat lain mengatakan tujuh puluh lima hari. Ibn Qutaibah, al-Imamah wa al-Siyasah, i, hlm. 14. Sementara al-Bukhari berpendapat bahawa Fatimah a.s. wafat enam bulan selepas kewafatan ayahandanya. al-Bukhari, Sahih, v, hlm. 139 (Bab Ghazwah Khaibar).
No comments:
Post a Comment