Daripada Ruba‘i daripada ‘Umar bin Yazid berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Allah tidak akan mengazab satu kampung apabila tujuh orang mukmin berada di dalamnya[1]. Daripada sanad ini Umar bin Yazid berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Setiap sesuatu ada perkara yang membuatkannya berehat. Mukmin berehat dengan saudara mukminnya sebagaimana burung berehat dengan kumpulannya. Tidakkah anda melihatnya?[2]
Abu Ja‘far a.s berkata: Sesiapa yang yakin dengan perkara yang akan datang, maka dia harus bijak di dalam perbelanjaannya[3]. Beliau a.s. berkata: Pertolongan diturunkan dari langit ke atas hamba-Nya sekadar makanan[4].
Daripada Ruba‘i daripada al-Fadhl berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya bilangan syaitan di atas mereka mukmin lebih banyak daripada bilangan tebuan di atas daging. Kemudian beliau a.s. menunjuk ke langit dan berkata: Melainkan Allah sahaja yang dapat mempertahankannya[5].
Daripada Ruba‘i daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesiapa yang memberi makan kepada saudaranya kerana Allah, maka baginya pahala seperti orang yang memberi makan kepada orang ramai (fi’aam min al-Nas) Ruba’i berkata: Aku telah menjadikan diri aku sebagai tebusan anda, apakah fiaam min al-Nas (bilangan yang ramai itu)? Beliau a.s. berkata: Seratus ribu orang[6].
Abu Abdullah a.s berkata: Enam perkara diangkat daripada umat ini: Kesalahan dan kelalaian, apa yang dipaksakan ke atasnya, apa yang mereka tidak tahu, apa yang mereka tidak mampu dan apa yang mereka terpaksa melakukannya.
Setiap Perkara Yang Tidak Keluar Dari Rumah Ini, Maka Ia Adalah Batil
Abu Ja‘far al-Baqir a.s berkata: Setiap perkara yang tidak keluar dari rumah ini, maka ia adalah batil (kullu syai’in lam yakhruj min hadha al-Bait fa-huwa wabaalun). Beliau a.s. berkata: Wahai Fudhail! Bagi agama ini ada batasannya (had) seperti batas rumah aku ini[7]. Al-Sadiq a. s berkata: Di antara cinta lelaki kepada agamanya adalah cintanya kepada saudaranya[8]. Amir al-Mukminin a.s. ditanya: Apakah keutuhan iman? Beliau a.s. menjawab: Warak. Beliau a.s. ditanya lagi: Apakah yang menghilangkan keimanan? Amir al-Mukminin a.s. menjawab: Tamak[9]. Beliau a.s. berkata: Wilayah kami tidak akan dicapai melainkan dengan kewarakan[10]. Al-Sadiq a.s berkata: Sesiapa yang tidak mempedulikan keperluan saudara yang mukmin, maka dia sentiasa di dalam laknat Allah sehingga dia menemui ajalnya[11].
Al-Baqir a.s berkata: Sesungguhnya seorang hamba yang memohon keperluan duniawi, maka ia menjadi hak Allah untuk menerimanya samada cepat ataupun lambat. Jika mukmin tersebut melakukan dosa, maka Allah berkata kepada malaikat yang diwakilkan untuk memberi keperluannya: Janganlah anda laksanakan keperluannya dan tegahlah dia daripadanya, kerana dia terdedah kepada kemarahan-Ku dan dia berhak dilarang daripada-Ku[12].
Al-Sadiq a.s berkata: Sesiapa yang telah berjumpa dengan mukminin dengan satu wajah (bi-wajhin) dan ketika ketiadaan mereka (ghaba-hum) dengan wajah yang lain, maka apabila tiba hari Kiamat, dia akan mempunyai dua lidah daripada api neraka[13].
Abu al-Hasan a.s berkata: Berkatalah benar sekalipun membinasakan diri anda kerana itu adalah kejayaan anda, tinggalkan kebatilan sekalipun ia kejayaan anda kerana ia pada hakikatnya adalah kebinasaan anda.
Al-Sadiq a.s berkata: Bukan di kalangan kami bagi mereka yang menyebarkan hadis kami (laisa minna man adha‘a haditha-na), kerana pada hakikatnya dia telah membunuh kami dengan sengaja (qatala-na qatla ‘amadin)[14] . Beliau a.s. berkata: Sesiapa yang mengambil tahu atau mengintip tentang dosa atau kesalahan mukmin, kemudian mendedahkannya dan tidak menyembunyikannya, kemudian dia juga tidak memohon istighfar kepada Allah untuknya, maka dia di sisi Allah adalah seperti pelakunya (ka-‘aamilu-ha) dengan menanggung apa yang telah didedahkannya. Sementara pelakunya pula diampunkan dosa. Dia mendapat ganjaran tentang apa yang didedahkan terhadapnya di dunia dan dosanya terlindung di akhirat (mastur ‘alai-hi). Kemudian dia tidak mendapati kecuali Allah lebih mulia dari mengenakan balasan ke atasnya di akhirat[15].
[1] Al-Kulaini, al-Kafi, ii, 247
[2] Ibid, ii, 247
[3] Ibid, iv, 2
[4] Al-Majlisi, Bihar al-Anwar, xiii, 108
[5] Ibid, xv, 63
[6] Al-Kulaini, al-Kafi, ii, 202
[7] Al-Barqi, al-Mahasin, hlm.272
[8] Al-Majlisi, Bihar al-Anwar, xvi ,78
[9] Al-Kulaini, al-Kafi, ii, 320
[10] Ibid, ii, 75
[11] Al-Majlisi, Bihar al-Anwar, xvi, 169
[12] Ibid, xv, 158
[13] Al-Saduq, al-Khisal, no.19, al-Majlisi, Bihar al-Anwar, xvi, 176
[14] Al-Kulaini, al-Kafi, ii, 371
[15] Al-Majlisi, Bihar al-Anwar, xvi, 176
No comments:
Post a Comment