Monday, June 27, 2011

Risalah Imam Ja'far A.S Kepada Para Sahabatnya Daripada al-Raudhah mina l-Kafi Oleh al-Kulaini Wafat Pada 328/329 Hijrah


                                     
                                                      Bismillahir Rahmanir Rahim


       1. Muhammad bin Ya‘qub al-Kulaini berkata: Ali bin Ibrahim telah memberitahu aku daripada bapanya, daripada Ibn Fadhdhal, daripada Hafs al-Mu’adhdhin, daripada Abu Abdullah a.s, dan daripada Muhammad bin Ismail bin Badhi‘, daripada Muhammad bin Sinan, daripada Ismail bin Jabir, daripada Abu Abdullah a.s bahawa beliau telah menulis risalah ini kepada para sahabatnya dan memerintahkan mereka supaya mengkajinya, membuat perjanjian dengannya serta beramal dengannya. Mereka meletakkannya di musala rumah mereka, dan apabila  selesai solat, mereka membacanya.
       Beliau berkata: Al-Hasan bin Muhammad telah memberitahu aku, daripada Ja‘far bin Muhammad bin Malik al-Kufi, daripada al-Qasim bin Rabi‘ al-Sahaf, daripada Ismail bin Mukhallad al-Sarraj, daripada Abu Abdullah a.s, berkata: Risalah ini adalah daripada Abu Abdullah a.s kepada para sahabatnya:

                                                                               Bismillahir Rahmanir Rahim

        Amma ba‘d, adapun kemudian daripada itu, maka pohonlah afiat daripada Tuhan kamu, bertenang, bersifat malu dan bersihkan diri kamu daripada kekejian (tanazzuh) sebagaimana telah dilakukan oleh golongan yang soleh sebelum kamu.
       Layanilah ahli kebatilan (ahlu al-Batil) dengan budi bahasa, bersabarlah dengan kezaliman yang dilakukan oleh mereka. Jauhilah kamu dari memarahi mereka (mumazata-hum). Jagalah peradaban  apabila kamu bergaul dan berbincang dengan mereka, kerana kamu tidak dapat mengelakkan diri dari bergaul dan berbincang dengan mereka walaupun secara taqiyyah sebagaimana telah diperintahkan oleh Allah di antara kamu dan mereka.
       Dan apabila kamu diuji oleh mereka, maka mereka akan menyakiti kamu, dan kamu  dapat mengetahui penentangan di muka-muka mereka. Jikalaulah  Allah tidak menolak mereka daripada kamu, nescaya mereka akan memusnahkan kamu, kerana permusuhan dan kemarahan yang terdapat di dada-dada mereka adalah lebih besar dari apa yang mereka zahirkan terhadap kamu. Majlis kamu dan majlis mereka adalah satu, tetapi roh-roh kamu, dan roh-roh mereka adalah berbeza, dan  tidak akan bersatu; kamu tidak akan mencintai mereka selama-lamanya, dan mereka juga tidak akan mencintai kamu, tetapi Allah telah memuliakan kamu dengan kebenaran dan memperlihatkannya  kepada kamu.
       Sebaliknya Allah tidak menjadikan mereka daripada ahli kebenaran. Justeru layanilah mereka dengan budi bahasa (tujamiluuna-hum) sekalipun mereka tidak mempunyai budi bahasa dan kesabaran di atas sesuatu. [Hati-hatilah] Kelicikan dan kewaswasan di kalangan mereka, kerana musuh-musuh Allah, jika mereka mampu, nescaya mereka menghalang kamu dari kebenaran. Maka Allah menjaga kamu daripada demikian itu. Bertakwalah kepada Allah dan tahanlah lidah kamu melainkan untuk kebaikan.
       Jauhilah lidah kamu dari tergelincir dengan kata-kata pembohongan, dosa dan permusuhan, kerana jika kamu menahan lidah kamu dari apa yang dilarang oleh Allah, adalah lebih baik bagi kamu di sisi Tuhan kamu. Kerana tergelincirnya lidah pada apa yang dilarang oleh Allah akan membawa kepada kemurkaan-Nya terhadap hamba-Nya. Allah akan menjadikannya pekak, buta dan bisu pada hari Kiamat sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Baqarah (2):18 “ Mereka tuli, bisu dan buta, maka tidaklah mereka kembali ” Iaitu mereka tidak akan bercakap dan firman-Nya di dalam Surah al-Mursalaat(77): 35-36 “Ini adalah hari yang mereka tidak dapat berbicara, dan tidak diizinkan kepada mereka minta uzur sehingga mereka minta uzur
       Janganlah kamu melakukan apa yang ditegah oleh Allah. Kamu hendaklah berdiam diri melainkan apa yang Allah memanfaatkan kamu daripada urusan akhirat dan Dia akan memberi pahala kepada kamu mengenainya.
       Perbanyakkan tahlil, takdis, tasbih, pujian kepada Allah, ibadat kepada-Nya, dan mencintai kebaikan di sisi-Nya yang tidak dapat dicapai hakikatnya oleh seseorang melainkan dengan keredaan-Nya. Justeru sibukkan lidah kamu dengan perkara-perkara tersebut. Dan jauhilah dari percakapan batil yang membuatkan pelakunya kekal di neraka jika dia mati tanpa taubat.
       Hendaklah kamu sentiasa berdoa kerana muslimin tidak akan mencapai kejayaan hajat mereka di sisi Tuhan yang  lebih baik dari berdoa kepada-Nya. Justeru sahutilah seruan Allah, nescaya kamu mendapat kejayaan dan selamat daripada azab Allah.
       Jauhilah dari membiarkan diri kamu tamak kepada apa yang telah diharamkan oleh Allah ke atas kamu, kerana sesiapa melanggari apa yang diharamkan oleh Allah ke atasnya di dunia, maka Allah akan menghalangnya syurga, nikmat, kelazatan dan kemuliaan yang abadi.
       Ketahuilah bahawa sesungguhnya sejahat-jahat habuan yang merbahaya bagi orang yang menentang Allah adalah meninggalkan ketaatan kepada Allah dan melakukan maksiat. Justeru dia memilih untuk melanggari apa yang dilarang oleh Allah di dalam kelazatan dunia yang akan hilang daripada nikmat syurga yang berkekalan.
       Celaka bagi mereka, alangkah ruginya habuan mereka dan alangkah jahatnya keadaan mereka di sisi Tuhan mereka pada hari Kiamat. Pohonlah perlindungan daripada Allah supaya Dia melindungi kamu dari melakukan perbuatan sebagaimana mereka lakukan atau menguji kamu sebagaimana Dia menguji mereka. Tiada kekuatan bagi kami dan kamu melainkan dengan-Nya.
       Wahai golongan yang berjaya, sekiranya Allah menyempurnakan untuk  kamu sebagaimana Dia lakukan kepada para salihin sebelum kamu, nescaya kamu akan diuji pada diri kamu dan harta kamu sehingga kamu mendengar daripada musuh Allah perkara- perkara yang menyakitkan hati kamu. Lantaran itu, kamu hendaklah bersabar sekalipun mereka menghina kamu, memarahi kamu sehingga kamu menanggung kezaliman mereka kerana inginkan keredaan Allah dan negeri akhirat.
       Kamu hendaklah memendamkan kemarahan kamu di atas keburukan yang dilakukan kepada kamu kerana Allah[1], sekalipun mereka membohongi  kebenaran dan memusuhi kamu mengenainya dan memarahi kamu kerananya.
       Justeru bersabarlah di atas semua itu daripada mereka sebagai membenarkan Kitab Allah  yang telah diturunkan oleh Jibrail ke atas Nabi kamu s.a.w. Kamu telah mendengar firman Allah kepada Nabi-Nya di dalam Surah al-Ahqaaf (46):35 “Maka bersabarlah kamu seperti golongan yang mempunyai keteguhan hati dari rasul-rasul telah bersabar dan janganlah kamu meminta supaya disegerakan (azab) bagi mereka
       Kemudian Dia berfirman di dalam Surah al-Faatir (35): 24 “Dan jika mereka mendustakan kamu, maka golongan sebelum mereka telah mendustakan (rasul-rasul" Dan  firman-Nya di dalam Surah al-An‘aam (6) : 34 “Mereka bersabar terhadap pendustaan dan kezaliman yang dilakukan terhadap mereka
       Sesungguhnya para nabi dan para rasul sebelum kamu telah dibohongi dan disakiti, kerana rahsia kamu adalah urusan Allah pada mereka. Dia telah menciptakan mereka untuk kekafiran  pada asal kejadian mereka pada ilmu-Nya sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Qasas (28): 41“Dan kami jadikan mereka pemimpin-peminpin yang menyeru kepada neraka
       Lantaran itu, renunglah, fikirlah dan janganlah kamu mengabaikannya kerana orang yang mengabaikannya dan seumpamanya, maka dia akan meninggalkan agama Allah dan melakukan maksiat. Lantaran itu, dia berhak mendapat kemurkaan Allah dan dimasukkan ke neraka.
       Dia berkata: Wahai golongan yang bahagia dan dirahmati, sesungguhnya  Allah  telah menyempurnakan kebaikan kepada kamu. Sesungguhnya  ia  bukanlah daripada ilmu Allah dan urusan-Nya jika seorang daripada makhluk-Nya mengambil agamanya dengan hawa nafsu, pendapat dan kias,  kerana Allah telah menurunkan al-Qur’an yang menerangkan  setiap sesuatu sebagaimanan Dia tidak membenarkan pakar di dalam ilmu al-Qur’an menggunakan hawa nafsu, pendapat dan kias.
       Sedangkan mereka adalah Ahli al-Zikr yang Allah telah perintahkan umat ini supaya bertanyakan kepada mereka. Mereka pula akan menunjukkan  umat  dan mengajar mereka ilmu al-Qur’an. Melainkan mereka, pada ilmu Allah pada azali, di kalangan mereka yang celaka pada asal kejadian di alam bayangan (azillah).
       Mereka itulah yang tidak ingin bertanya kepada ahli al-Zikr  yang dikurniakan oleh Allah ilmu al-Qur’an, menjadikan mereka pakar mengenainya dan memerintahkan supaya bertanyakan kepada mereka, tetapi mereka itu mengambil hawa nafsu, pendapat, dan kias sehingga syaitan menguasai mereka. Mereka menjadikan ahli iman (ahl al-Iman) di dalam ilmu al-Qur’an di sisi Allah sebagai kafir dan sebaliknya mereka menjadikan ahli kesesatan (ahl al-Dhalalah) di dalam ilmu al-Qur’an dan di sisi Allah sebagai mukminin sehingga mereka menjadikan sebahagian yang dihalalkan oleh Allah sebagai haram dan mereka menjadilan sebahagian  yang diharamkan oleh Allah sebagai halal[2].
       Ini adalah punca  hawa nafsu mereka (thamaratu ahwa’i-him). Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah  membuat perjanjian dengan mereka sebelum kematianya, tetapi mereka berkata: Kami selepas Allah mematikan Rasul-Nya, boleh memilih pendapat yang dipersetujui oleh orang ramai (ra’yu al-Nas)[3]. Ini adalah menyalahi Allah dan Rasul-Nya, kerana tiada seorangpun berani ke atas Allah dan tiada yang lebih terang kesesatan daripada mereka yang berkata sedemikian.
       Mereka menyangka perkara sedemikian boleh dilakukan oleh mereka. Demi Allah, sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas makhluk-Nya supaya mentaati-Nya dan mematuhi perintah-Nya pada masa hidup Muhammad s.a.w dan selepas kematiannya. Adakah musuh-musuh Allah menyangka bahawa setiap orang yang telah memeluk Islam bersama Muhammad s.a.w bebas mengambil kata-katanya sendiri, pendapatnya dan kiasnya sendiri?
       Sekiranya dia berkata: Ya, maka sesungguhnya dia telah membohongi Allah  dan menjadi sesat dan sekiranya dia berkata: Tidak, maka tiada seorangpun bebas menuruti kata-katanya sendiri,  pendapatnya dan kiasnya, maka dia telah mengakui hujah ke atas dirinya sendiri dan termasuk orang yang berpendapat bahawa Allah ditaati dan dipatuhi perintah-Nya selepas kematian Rasulullah s.a.w sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Ali Imran (3) : 144 “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang? Sesiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan Allah akan memberi pembalasan kepada orang ang bersyukur
       Justeru kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah ditaati dan perintah-Nya dipatuhi pada masa hidup Muhammad s.a.w dan selepas kematiannya sebagaimana tiada seorangpun bersama Muhammad s.a.w bebas menuruti pendapatnya sendiri, hawa nafsunya dan kiasnya menyalahi perintah Muhammad s.a.w (khilafan li-amri Muhammad) sebagaimana tiada seorangpun selepas Muhammad bebas menuruti hawa nafsunya,  pendapatnya dan kiasnya.
       Beliau a.s berkata: Janganlah kamu mengangkat tangan kamu di dalam solat melainkan satu kali angkat ketika memulakannya, kerana kamu telah tersohor oleh orang ramai dengan perkara tersebut[4], Allah adalah penolong dan tiada helah dan kekuatan melainkan dengan Allah.
       Beliau a.s berkata: Perbanyakkanlah doa kepada Allah, kerana Allah suka hamba-hamba-Nya yang mukminin berdoa kepada-Nya. Dia telah berjanji kepada mereka untuk memperkenankannya. Kepada Allah tempat berakhirnya doa mukminin pada hari Kiamat  sebagai amalan yang menambahkan pahala mereka.
       Lantaran itu, perbanyakkanlah zikir pada kadar kemampuan kamu setiap waktu; malam dan siang, kerana Allah telah memerintahkan supaya memperbanyakkan zikir kepada-Nya. Allah mengingati mukmin yang berzikir kepda-Nya dengan baik. Justeru berilah kesungguhan di dalam ketaatan kepada-Nya, kerana segala kebaikan di sisi-Nya tidak boleh didapati melainkan dengan ketaatan kepada-Nya, menjauhi segala larangan-Nya zahir dan batin, kerana Allah berfirman di dalam Surah al-An‘aam (6):120 “Dan tinggallah dosa yang nampak dan tersembunyi” Ketahuilah bahawa apa yang diperintahkan oleh Allah supaya kamu menjauhinya, maka sesungguhnya Dia telah mengharamkannya. Justeru ikutilah sunnah Rasulullah s.a.w dan beramallah dengannya[5].
       Janganlah kamu menurut hawa nafsu kamu dan pendapat kamu, nescaya kamu akan sesat, kerana orang yang paling sesat di sisi Allah adalah orang yang menuruti hawa nafsunya dan pendapatnya tanpa petunjuk daripada Allah. Berbuat baiklah kepada diri kamu pada kadar kemampuan kamu. Jika kamu melakukan sedemikian, maka kamu telah melakukannya untuk kebaikan diri kamu sendiri. Sebaliknya jika kamu melakukan kejahatan, maka ia akan mengenakan diri kamu sendiri.
       Bergaullah dengan orang ramai dan janganlah kamu membuatkan mereka mengawasi kamu (‘ala riqabi-kum)[6]. Justeru kamu  dapat meneruskan ketaatan kepada Tuhan kamu.
       Jauhilah kamu dari mencela (sabb a‘daa’i l-Lah) musuh-musuh Allah ketika mereka mendengar kamu, lantaran itu, mereka akan mencela Allah secara bermusuhan tanpa ilmu. Malah kamu harus mengetahui apakah dia had celaan mereka kepada Allah? Sesungguhnya sesiapa yang mencela para wali Allah, sesungguhnya dia telah mencela Allah. Siapakah yang lebih zalim di sisi Allah daripada orang yang membuatkan Allah dan para wali-Nya dicela? Lantaran itu, patuhilah perintah Allah kerana tiada helah dan kekuatan melainkan dengan Allah.
       Beliau a.s berkata: Wahai golongan yang dijagai Allah akan urusan mereka, hendaklah kamu mematuhi  aathar dan sunnah Rasulullah s.a.w serta aathar para imam daripada Ahlu l-Bait Rasulullah s.a.w selepasnya, kerana sesiapa yang melakukan sedemikian, maka dia mendapat petunjuk dan sebaliknya sesiapa yang meninggalkannya serta membencinya, maka dia menjadi sesat. Kerana merekalah orang yang diperintahkan oleh Allah supaya mentaati mereka dan mewalikan mereka. Bapa kami (abuu-naa) Rasulullah s. a.w telah bersabda: Hendaklah kamu sentiasa beramal dengan aathar dan sunnah sekalipun sedikit kerana ia adalah lebih diredai oleh Allah dan lebih bermanfaat dari melakukan ijtihad di dalam perkara bid‘ah dan mematuhi hawa nafsu.
       Ketahuilah bahawa  mematuhi hawa nafsu dan mematuhi bid‘ah tanpa petunjuk daripada Allah adalah suatu kesesatan. Setiap kesesatan adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah di neraka. Sesuatu kebaikan tidak akan dicapai melainkan dengan mentaati-Nya. Kesabaran dan keredaan adalah daripada ketaatan kepada Allah.
       Ketahuilah kamu semua bahawa sesungguhnya seorang hamba tidak akan beriman (lan yu’mina) sehingga dia meredai apa yang dilakukan Allah terhadapnya. Dia  melakukan apa yang Dia mahu dan apa yang Dia benci. Allah tidak akan melakukan sesuatu terhadap orang yang bersabar dan reda kepada-Nya melainkan orang yang layak; iaitu apa yang lebih baik untuknya.
       Kamu hendaklah menjaga solat dan solat al-Wusta dan berdirilah kepada Allah di dalam keadaan rendah diri sebagaimana Allah perintahkan mukminin dengannya di dalam Kitab-Nya sebelum kamu dan kepada kamu. Hendaklah kamu mencintai golongan miskin muslimin, kerana sesiapa yang menghina mereka dan angkuh terhadap mereka, maka dia telah tergelincir daripada agama Allah dan Allah pula menghinanya serta memarahinya.
       Bapaku  Rasulullah s.a.w bersabda: Allah telah memerintahkan aku supaya mencintai golongan Islam yang miskin. Ketahuilah bahawa sesiapa yang menghina seorang daripada mereka, Allah akan mencampakkan kemurkaan dan kehinaan  ke atasnya, sementara orang ramai akan memarahinya pula. Lantaran itu, bertakwalah kepada Allah mengenai saudara-saudara Islam kamu yang miskin, kerana mereka mempunyai hak ke atas kamu supaya kamu mencintai mereka. Allah telah memerintahkan Rasul-Nya supaya mencintai mereka. Justeru  sesiapa yang tidak mencintai perintah Allah dengan mencintai mereka, maka sesungguhnya dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, kemudian dia mati dalam keadaan sedemikian, maka mati-nya dalam keadaan kesesatan.
       Janganlah kamu merasa angkuh dan takbur kerana takbur itu adalah pakaian Allah a.w. Sesiapa yang menentang Allah akan pakaian-Nya, maka Dia akan menentangnya dan menghinanya pada hari Kiamat. Janganlah kamu melakukan kezaliman ke atas orang lain, kerana ia bukanlah daripada sifat golongan yang soleh. Lagipun kezaliman itu akan kembali kepada diri sendiri. Pertolongan Allah adalah untuk mereka yang dizalimi. Sesiapa yang ditolong oleh Allah akan menang dan kemenangan itu adalah daripada Allah.
       Jauhilah perasaan hasad di kalangan kamu kerana kekufuran asalnya daripada hasad. Jauhilah kamu dari membantu [seorang] melakukan kezaliman terhadap seorang muslim yang dizalimi, lantas dia berdoa kepada Allah ke atas kamu dan diterima doanya terhadap kamu. Bapa kami Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya doa seorang muslim yang dizalimi itu diterima (mustajabah). Sebahagian kamu hendaklah membantu sebahagian yang lain kerana bapa kami Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya menolong muslim itu adalah lebih baik dan lebih besar pahalanya daripada berpuasa sebulan dan beriktikaf di Masjid Haram.
       Jauhilah kamu dari menyusahkan seorangpun di kalangan saudara-saudara mukminin kamu. Sekiranya kamu menyusahkannya dengan sesuatu perkara, maka ia akan berlaku kepada kamu selepasnya kerana bapa kami Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang muslim tidak boleh menyusahkan saudara muslimnya. Dan sesiapa yang menyusahkannya, maka Allah akan menyeksanya pada hari Kiamat.
       Jauhilah,  wahai golongan yang dihormati dan dimuliakan, dari menahan hak-hak  Allah [7]di sisi kamu hari demi hari, masa demi masa, kerana orang yang menyegerakan hak-hak Allah di sisinya, maka Allah lebih mampu menyegerakan kepadanya kebaikan yang berganda secara  cepat atau lambat. Sesiapa yang memperlambatkan hak-hak Allah di sisinya, maka Allah lebih mampu untuk memperlambatkan rezekinya. Dan sesiapa yang Allah menahan rezekinya, maka dia tidak mampu untuk mendapatkan rezekinya. Justeru tunailah kepada Allah akan hak yang dikurniakan kepada kamu dengan kebaikan Allah terhadap kamu, nescaya Dia akan melaksanakan janji-Nya terhadap kamu dengan berlipat ganda, tanpa diketahui bilangannya melainkan Allah, Tuhan alam semesta.
       Beliau a.s berkata: Bertakwalah kepada Allah, wahai golongan yang mulia mengikut kemampuan kamu, janganlah ada di kalangan kamu orang yang meresah atau menyusahkan imam (muhrij li-l-Imam),  kerana orang yang meresah atau menyusahkan imam adalah orang yang berada bersama mereka yang melakukan kebaikan di kalangan pengikut imam yang mengakui kelebihannya, bersabar di dalam menunaikan haknya, mengetahui kehormatannya.
       Ketahuilah kamu sekalian bahawa orang yang melakukan sedemikian adalah orang yang menyusahkan imam. Apabila dia melakukan sedemikian rupa di sisi imam, maka imam turut melaknati orang yang baik di kalangan pengikutnya yang mengakui kelebihannya; bersabar di dalam menunaikan haknya, mengetahui kehormatannya. Apabila imam melaknati mereka bagi menyusahkan musuh Allah, maka laknatnya menjadi rahmat daripada Allah ke atas mereka[8] sehingga laknat daripada Allah, para malaikat dan para rasul-Nya ke atas “mereka”[9].
       Ketahuilah kamu, wahai golongan yang dihormati, bahawa sesungguhnya sunnah Allah telah berlaku kepada golongan yang soleh terdahulu. Beliau a.s berkata: Sesiapa yang ingin berjumpa dengan Allah di dalam keadaan mukmin yang sebenar, maka hendaklah dia mewalikan Allah, para rasul-Nya dan golongan yang beriman.  Hendaklah dia membebaskan dirinya (li-Yabra’u) kepada Allah daripada musuh-musuh mereka, menerima kelebihan Ahlu l-Bait a.s kerana kelebihan mereka tidak boleh dicapai oleh malaikat yang terdekat (muqarrab) dan nabi yang diutuskan (mursal) (Selain daripada nabi Muhammad s.a.w).
       Tidakkah kamu mendengar kelebihan pengikut-pengikut para imam yang mendapat petunjuk dan mereka itu adalah mukminun sebagaimana disebutkan oleh Allah di dalam Surah al-Nisaa’ (4): 69 “Mereka itu akan bersama-sama golongan yang dianugerahi nikmat oleh Allah iaitu para nabi, para siddiqin, golongan yang mati syahid dan golongan soleh. Dan mereka itulah teman sebaik-baiknya”. Ini adalah sebahagian daripada kelebihan pengikut-pengikut para imam dan bagaimana dengan para imam sendiri dan kelebihan mereka.
       Sesiapa yang Allah mahu menyempurnakan iman untuknya sehingga menjadi seorang mukmin yang sebenar, maka hendaklah dia menyempurnakan syarat-syarat yang dikenakan ke atas mukminin, kerana Dia telah mensyaratkan bersama-sama wilayah-Nya, wilayah rasul-Nya dan wilayah para imam, mendirikan solat, menunaikan zakat, membuat kebaikan, menjauhi perkara mungkar zahir dan batin. Justeru tiada lagi yang tertinggal apa yang dijelaskan mengenai apa yang diharamkan oleh Allah melainkan termasuk di dalam sabdanya: Sesiapa yang melaksanaan syarat-syarat tersebut secara ikhlas tanpa meninggalkan sesuatupun, maka dia di sisi Allah adalah tergolong di dalam parti-Nya yang menang dan dia adalah mukmin yang sebenarnya.
       Jauhilah kamu semua dari terus melakukan apa yang diharamkan oleh Allah pada zahir al-Qur’an dan batinnya sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Ali Imran (3): 135 “Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedangkan  mereka mengetahui” (setakat ini riwayat al-Qasim bin Rabi‘), iaitu golongan sebelum kamu apabila mereka melupai sesuatu perkara yang disyaratkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, mereka mengetahui bahawa mereka telah menderhakai Allah kerana meninggalkan perkara tersebut, lantas mereka melakukan istighfar dan tidak mengulanginya lagi. Itulah pengertian firman-Nya di dalam Surah Ali Imran (3): 135 “Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedangkan  mereka mengetahui ”.
       Ketahuilah kamu semua bahawa sesungguhnya Dia telah memerintah dan melarang supaya ditaati perkara yang diperintahkan oleh-Nya dan dihentikan apa yang dilarangkan oleh-Nya. Justeru  sesiapa yang mematuhi suruhan-Nya,  maka dia mentaati-Nya dan mendapati segala kebaikan di sisi-Nya. Sesiapa yang tidak menghentikan perkara yang dilarang oleh-Nya, maka dia menderhakai-Nya. Sekiranya dia mati di dalam maksiat terhadap-Nya, Allah akan mencampakkannya ke neraka.
       Ketahuilah kamu semua bahawa tiada di antara Allah dan seorangpun makhluk-Nya sama ada malaikat yang hampir kepada-Nya atau nabi yang diutuskan atau makhluk lain; semuanya mentaatiNya. Justeru bersungguh-sungguhlah kamu pada mentaati Allah kerana tujuan kamu adalah untuk menjadi mukminin yang sebenar,  tiada kekuatan melainkan dengan Allah. Dan beliau berkata: Hendaklah kamu mentaati Tuhan kamu menurut keupayaan kamu, kerana Allah adalah Tuhan kamu.
       Ketahuilah bahawa sesungguhnya Islam adalah suatu penyerahan (al-Taslim) dan penyerahan (al-Taslim) adalah Islam. Justeru sesiapa yang telah menyerahkan dirinya (salima), maka dia telah menerima Islam (aslama). Sesiapa yang belum menyerahkan dirinya (lam yaslimu), maka tiada Islam (penyerahan) baginya. Lantaran itu, sesiapa yang ingin meningkatkan ihsan di dalam dirinya, maka hendaklah dia mentaati Allah. Sesiapa yang mentaati Allah, maka dia telah meningkatkan ihsan pada dirinya.
       Tinggalkan kemaksiatan kepada Allah kerana sesiapa yang melakukannya, dia telah melakukan kejahatan pada dirinya sendiri sedangkan tiada kedudukan (manzilah) di antara kebaikan (ihsan) dan kejahatan (isa’at). Bagi mereka yang melakukan kebaikan di sisi Tuhan mereka adalah syurga dan bagi mereka yang melakukan kejahatan di sisi Tuhan mereka adalah neraka. Justeru beramallah dengan mentaati Allah dan jauhilah kemaksiatan kepada-Nya.
       Ketahuilah bahawa tiada seorangpun makhluk-Nya sama ada malaikat yang hampir kepada-Nya atau nabi yang diutuskan dan lain-lain yang dapat melepaskan diri mereka daripada-Nya. Lantaran itu, sesiapa yang ingin disyafaatkan di sisi Allah, maka hendaklah dia memohon kepada Allah supaya meredainya. Dan ketahuilah bahawa seseorang makhluk Allah tidak akan mendapat keredaan Allah melainkan dengan mentaatiNya, mentaati rasul-Nya dan mentaati para imam ahlu l-Bait Rasulullah s.a.w, kerana kemaksiatan terhadap mereka adalah kemaksiatan terhadap Allah dan kelebihan mereka tidak boleh diingkari sama ada sedikit ataupun banyak.
       Ketahuilah bahawa sesungguhnya mereka yang mengingkari[ kelebihan mereka] adalah pembohong dan pembohong adalah munafik. Sesungguhnya Allah berfirman kepada munafikin di dalam Surah al-Nisa’ (4):145 “Sesungguhnya golongan munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka”. Tidak seorangpun daripada kamu dapat memisahkan dirinya daripada seseorang apabila Allah menjadikan hatinya taat dan takut kepada-Nya, sebagaimana tidak seorangpun daripada kamu dapat memisahkan dirinya daripada seseorang apabila Allah mengeluarkannya daripada sifat kebenaran (sifat al-Haq). Sesiapa yang Allah tidak menjadikan sifat kebenaran untuk mereka, maka mereka adalah syaitan-syaitan manusia dan jin.
       Sesungguhnya syaitan-syaitan manusia mempunyai helah dan kelicikan kerana mereka mahu, jika mereka mampu, mengembalikan ahli kebenaran kepada kedudukan yang sama dengan musuh Allah dari segi syak, ingkar dan pembohongan. Lantaran itu, mereka menjadi sama sebagaimana difirmankan oleh Allah di dalam Surah al-Nisaa’ (4): 89 “Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama (dengan mereka)”. Kemudian Allah melarang ahli kemenangan dengan kebenaran supaya mereka tidak mengambil musuh-musuh Allah sebagai wali dan pembantu (waliyyan wa la nasiran).
       Justeru dia tidak akan menolak kamu daripada kemenangan dengan kebenaran yang Allah tentukan untuk kamu di dalam menghadapi tipu-daya syaitan-syaitan manusia dan kelicikan mereka terhadap urusan-urusan kamu. Kamu hendaklah menolak kejahatan (al-Sayyi’ah) dengan cara yang lebih baik di antara kamu dan mereka, kerana mencari keredaan Allah dengan mentaatiNya sedangkan mereka tiada kebaikan di sisi mereka.
       Janganlah kamu menzahirkan kepada mereka Usuluddin Allah[10], kerana jika mereka mendengar sesuatu daripada kamu mengenainya, nescaya mereka akan memusuhi kamu (‘aadua-kum) dan menentang kamu serta bekerja keras untuk membinasakan kamu. Mereka akan melakukan apa saja  yang kamu benci, kerana  kamu tidak mempunyai simpati daripada mereka di dalam pemerintahan yang jahat (al-Fujjar)[11]. Lantaran itu, ketahuilah kedudukan kamu apabila menghadapi ahli kebatilan, kerana ahli kebenaran hendaklah meletakkan diri mereka di atas kedudukan ahli kebatilan[12] (an yanazziluu anfusa-hum manzilata ahli al-Baatil), kerana Allah tidak menjadikan ahli kebenaran di sisi-Nya setaraf dengan ahli kebatilan. Tidakkah mereka mengetahui firman Allah di dalam Kitab-Nya; Surah al-Saad (38): 28 “Patutkah kami menganggap golongan yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh sama dengan golongan yang berbuat kerosakan di muka bumi? Patutkah kami menganggap golongan yang bertakwa sama dengan golongan yang berbuat maksiat?”
       Justeru hormatilah diri kamu apabila berhadapan dengan ahli kebatilan dan janganlah menjadikan Allah, imam kamu dan agama kamu sebagai alasan kepada ahli kebatilan, nescaya kamu akan memarahi Allah, maka kamu akan binasa. Bersabarlah, wahai ahli kebaikan, janganlah kamu meninggalkan urusan Allah dan urusan kamu dengan mentaati ahli kebatilan, nescaya Allah akan mengubah nikmat kamu.
       Cintailah kerana Allah akan mereka yang sealiran dengan kamu dan marahilah kerana Allah akan mereka yang menyalahi kamu. Korbanlah kasih-sayang kamu dan nasihat kamu untuk mereka yang sealiran dengan kamu[13]. Janganlah kamu menghabiskan masa kamu untuk mereka yang tidak sealiran dengan kamu dan memusuhi kamu mengenainya. Ini adalah adab kami, adab Allah. Lantaran itu, beramallah dengannya dan fahamilah betul-betul. Janganlah kamu meninggalkannya begitu sahaja.
       Apa yang serasi dengan hidayat kamu, maka ambillah dan apa yang serasi dengan hawa nafsu kamu, maka tinggalkanlah. Jauhilah kamu dari melakukan paksaan (tajabbur) terhadap Allah[14]. Ketahuilah bahawa seseorang itu tidak diuji dengan melakukan paksaan terhadap Allah  tetapi dia diuji dengan melakukan  paksaan terhadap agama Allah. Lantaran itu teruslah sifat istiqamah kepada Allah dan janganlah kamu berpaling ke belakang (la tartaddu), kelak kamu akan rugi. Allah akan melindungi kita dari melakukan paksaan terhadap Allah dan tiada kekuatan bagi kami dan kamu melainkan dengan Allah.
       Beliau a.s berkata: Sesunggunya seorang hamba apabila Allah telah menciptakannya pada asalnya sebagai mukmin, maka dia tidak akan mati sehingga Allah menjauhkan daripadanya kejahatan.  Sesiapa Allah membenci kejahatan kepadanya dan menjauhinya daripadanya, maka Allah menyelamatkannya daripada takbur menguasainya, akhlaknya menjadi lembut dan baik serta berseri mukanya penuh ketenangan, menjauhi daripada perkara yang haram dan menjauhi kemarahan-Nya. Allah kurniakan kepadanya kasih sayang orang ramai terhadapnya tanpa sebarang pertengkaran.
       Sesungguhnya seorang hamba apabila Allah menciptakannya pada asalnya sebagai seorang kafir, maka dia tidak akan mati sehingga Dia membuatnya mencintai kejahatan dan mendekatinya. Dan apabila dia mencintai kejahatan dan mendekatinya, maka dia diuji  dengan takbur  lalu hatinya menjadi keras dan akhlaknya juga menjadi keras, mukanya muram, kejahatannya terserlah dan kurang malu. Allah mendedahkan rahsianya, lalu dia melakukan perkara yang haram tanpa meninggalkannya. Dia terus mengerjakan maksiat kepada Allah, membenci ketaatan-Nya dan ahlinya. Inilah perbezaan antara keadaan seorang mukmin dan seorang kafir.
       Pohonlah kepada Allah afiat, kerana tiada helah dan kekuatan melainkan dengan Allah. Bersabarlah dalam menghadapi bala di dunia, kerana menghadapi bala di dunia di dalam keadaan mentaati Allah, mewalikanNya dan mewalikan mereka yang diperintahkan oleh-Nya adalah lebih baik akibatnya di sisi Allah di akhirat daripada memiliki dunia sekalipun panjang nikmatnya dan kemewahan hidupnya di dalam kemaksiatan kepada Allah, mewali dan mentaati mereka yang dilarang oleh Allah. Ini kerana Allah telah memerintahkan supaya mewalikan para imam yang dinamakan oleh-Nya di dalam Kitab-Nya Surah al-Anbiyaa’ (21) : 73 “Kami telah menjadikan mereka itu sebagai pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah kami”. Maka mereka itulah yang diperintahkan oleh Allah supaya dijadikan wali dan ditaati.
       Adapun mereka yang dilarang oleh Allah dari diwalikan dan ditaati, maka mereka itulah para imam  sesat yang ditentukan oleh Allah bahawa mereka mempunyai pemerintahan di dunia ke atas para wali Allah yang terdiri daripada para imam Ahlul Bait Muhammad s.a.w. Mereka melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya s.a.w di dalam pemerintahan mereka bagi melayakkan mereka menerima azab sedangkan kamu dipilih untuk bersama Nabi Allah Muhammad s.a.w dan para rasul sebelumnya.
       Justeru renunglah terhadap apa yang diceritakan oleh Allah kepada kamu di dalam Kitab-Nya mengenai ujian-ujian yang dihadapi oleh para nabi-Nya dan pengikut-pengikut mereka yang mukminin. Kemudian pohonlah kepada Allah supaya Dia mengurniakan kesabaran kepada kamu di dalam menghadapi bala di masa senang dan di masa susah sebagaimana Dia telah kurniakan kepada mereka.
       Jauhilah dari memarahi ahli kebatilan dan berpeganglah kepada petunjuk para salihin, ketenangan mereka, lemah lembut mereka, kewarakan mereka daripada perkara yang haram, kebenaran mereka, kesetiaan mereka dan ijtihad mereka kerana Allah dengan melakukan ketaatan kepada-Nya. Jika kamu tidak melakukan sedemikian, maka kamu tidak akan mencapai kedudukan para salihin sebelum kamu.
       Ketahuilah jika Allah menghendaki hamba-Nya kebaikan, nescaya Dia melapangkan dadanya dengan Islam. Apabila Dia kurniakan Islam kepadanya, maka lidahnya bercakap kebenaran, hatinya menyimpulkannya, lalu beramal dengannya. Apabila Allah mengumpulkan semuanya, maka sempurnalah Islamnya. Apabila dia mati di dalam keadaan tersebut, maka dia di sisi Allah adalah seorang mukmin yang sebenar.
       Apabila Allah tidak mengehendaki hamba-Nya kebaikan, maka Dia menyerahkannya kepada dirinya, lalu dadanya menjadi sempit dan susah. Jika berlaku kebenaran di lidahnya, maka hatinya tidak menyimpulkannya. Apabila hatinya tidak menyimpulkannya, maka Allah tidak kurniakan kepadanya untuk mengamalkannya.
       Apabila terjadi sedemikian ke atasnya sehingga dia mati, maka dia di sisi Allah daripada golongan munafik. Lantaran itu kebenaran yang berlalu di lidahnya, hatinya yang tidak menyimpulkannya dan amalan yang tidak dikurniakan Allah untuk dilakukannya adalah menjadi hujah ke atasnya.
       Justeru bertakwalah kepada Allah dan pohonlah kepada-Nya supaya Dia melapangkan dada kamu kepada Islam dan menjadikan lidah kamu bercakap dengan kebenaran sehingga Dia mematikan kamu dalam keadaan sedemikian. Pohonlah supaya Dia menjadikan kamu seperti para salihin sebelum kamu, tiada kekuatan melainkan dengan Allah dan segala puji bagi Allah Tuhan alam semesta.
       Sesiapa yang ingin mengetahui bahawa Allah mencintainya, maka hendaklah dia beramal dengan mentaatiNya dan mengikut kami, tidakkah dia mendengar firman Allah a.w kepada Nabi-Nya s.a.w di dalam Surah Ali Imran (3): 31 “Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa  kamu”. Demi Allah, seorang hamba tidak akan mentaati Allah selama-lamanya melainkan Allah menjadikannya di kalangan  pengikut-pengikut kami. Demi Allah, seorang hamba tidak mengikut (la yatbi‘u-na) kami selama-lamanya melainkan Allah mengasihinya (ahabba-hu). Demi Allah, seorang tidak akan mengetepikan seorang daripada pengikut-pengikut kami selama-lamanya melainkan dia memarahi kami (abghadha-na). Demi Allah, seorang tidak akan memarahi kami selama-lamanya melainkan dia menderhakai Allah (‘asa l-LLah). Sesiapa yang mati di dalam keadaan derhaka kepada Allah, maka Allah menghinanya dan mencampaknya ke neraka. Segala puji bagi Allah Tuhan alam semesta.
       
[1] Jika kamu tidak mampu bertindak dengan bijak.

[2] Meskipun sedemikian, mereka masih mengatakan bahawa merekalah di atas kebenaran.

[3] Menggunakan demokrasi untuk menolak nas, kemudian mereka mengikut hawa nafsu mereka.

[4] Ia mengikut keadaan semasa.

[5] Mana-mana sunnah sahabat yang menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w hendaklah ditolak.

[6] Wajib mengambil kira keselamatan diri dan rakan-rakan.

[7] Termasuk pembayaran khums.

[8] Pengikut para Imam a.s.

[9] Penentang para Imam a.s

[10] Umpamanya mengenai kelebihan para imam a.s dan lain-lain.

[11] Kezaliman terhadap Syi‘ah tidak mendapat simpati daripada kaum Wahabi dan mereka seumpamanya.

[12] Secara taqiyyah.

[13] Marja’ Taqlid bukanlah untuk berselisih faham.

[14] Jangan sekali-kali memaksa seseorang berpegang kepada ajaran Ahlul Bait a.s melainkan dengan kerelaan hatinya.

No comments:

Post a Comment