Tuesday, July 5, 2011

Imam Ali as menyebut keutamaannya dan orang ramai mengakui akan kebenarannya



Dikutip dari: Kitab Sulaim bin Qais al-Hilali
(Kitab Sulaim adalah karangan Sulaim bin Qais al-Hilali al-‘Amiri al-Kufi, sahabat Amir al-Mukminin Ali bin Abu Talib. Beliau telah mengambil bahagian dalam peperangan Jamal, Siffin dan Nahrawan bersama-sama Amir al-Mukminin Al. Beliau wafat sekitar tahun 90 Hijrah. Keistimewaan Kitab Sulaim adalah terletak kepada autoriti sanad dan matannya yang unggul di mana Sulaim telah memperolehinya daripada Amir al-Mukminin Ali bin Abu Talib, al-Hasan, al-Husain, Ali bin al-Husain dan al-Baqir)

       Kemudian beliau (saidina ali kwj)  menaiki mimbar di dalam kem tenteranya, mengumpul orang ramai, termasuk Muhajirin dan Ansar menghadirinya. Kemudian beliau memuji Allah dan bersyukur kepadaNya. Kemudian berkata: Wahai manusia! Sesungguhnya sifat-sifat kelebihanku (manaqib)[1] adalah tidak terkira banyaknya selepas Allah menurunkannya di dalam kitab-Nya dan apa yang disabdakan oleh Rasulullah (Saw.) adalah mencukupi bagiku daripada semua kelebihanku. Adakah kalian mengetahui bahawa Allah telah melebihkan di dalam kitab-Nya yang bercakap akan orang yang awal Islam (al-Sabiq) bukan hanya satu ayat dalam kitab-Nya ke atas orang lewat Islamnya (al-Masbuq).
       Sesungguhnya tidak ada seorangpun daripada umat ini yang mendahuluiku kepada Allah dan Rasul-Nya? Mereka menjawab: Ya. Beliau berkata: Aku menyeru kalian kepada Allah bahawa Rasulullah (Saw.) ditanya tentang firman-Nya di dalam Surah al-Waqi‘ah (56): 10-11 ‘‘Dan orang dahulu yang terdahulu (al-Sabiqun al-Sabiqun) mereka itulah orang yang hampir di sisi Tuhan” Maka Rasulullah (Saw.) bersabda: Allah telah menurunkanya kepada para nabi dan para wasi mereka. Aku adalah Nabi dan Rasul Allah yang terbaik (afdal), dan wasiku Ali adalah wasi yang terbaik. Maka berdirilah tujuh puluh orang ahli Badr kebanyakannya terdiri daripada kaum Ansar dan selebihnya daripada Muhajirin. Antara mereka ialah Abu al-Haitham bin al-Taihan, Khalid bin Zaid dan Abu Ayyub al-Ansari. Dan di kalangan Muhajirin ialah ‘Ammar bin Yasir. Mereka berkata: Kami memberi penyaksian bahawa kami telah mendengar Rasulullah (Saw.) bersabda sedemikian.
       Beliau berkata: Aku menyeru kalian dengan nama Allah dalam Surah al-Nisa’ (4): 59, ‘‘Hai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul dan Uli I-Amri min-kum” dan firman-Nya dalam Surah al-Mai’dah (5): 55, “Sesungguhnya wali kamu adalah Allah, Rasul-Nya dan orang yang beriman yang mendirikan solat dan memberikan zakat” Kemudian firman-Nya dalam Surah al-Taubah (9): 16, ‘‘…dan mereka tidak mengambil selain daripada Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman untuk menjadi penyimpan rahsia
       Maka orang ramai bertanya: Wahai Rasulullah (Saw.)! Adakah ia diperuntukkan kepada sebahagian Mukminin atau umum untuk semua Mukminin? Maka Allah SWT telah memerintahkan Rasul-Nya supaya mengajar dan mentafsirkan kepada mereka tentang wilayah sebagaimana beliau mentafsirkan kepada mereka tentang solat, puasa, zakat dan haji mereka. Maka beliau telah melantikku di Ghadir Khum. Beliau bersabda: Sesungguhnya Allah mengutusku dengan satu perutusan di mana ia menyempitkan dadaku. Aku menyangka sesungguhnya orang ramai akan membohongiku. Dia berjanji kepadaku supaya aku menyampaikannya atau Dia akan menyiksaku. Berdirilah Ali, kemudian beliau menyeru: solat jami‘ah. Maka beliau mengerjakan solat zohor bersama mereka.
       Kemudian beliau bersabda: “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah adalah maulaku dan aku adalah maula Mukminin dan lebih aula dengan mereka daripada diri mereka sendiri. Mereka yang telah menjadikan aku maulanya, maka Ali adalah maulanya. Wahai Tuhanku! Muliakanlah orang yang mewalikannya. Musuhilah orang yang memusuhinya. Bantulah orang yang membantunya. Hinalah orang yang menghinanya”.
       Lantas Salman al-Farisi berdiri dan berkata: Wahai Rasulullah! Kepatuhan kepadanya seperti apa (wula’u-hu ka-madha)? Beliau bersabda: Kepatuhan kepadanya adalah seperti kepatuhan kepadaku (wula’u-hu ka-wilayati).[2] Sesiapa yang aku lebih aula dengannya daripada dirinya, maka Ali adalah lebih aula dengannya daripada dirinya. Dan Allah menurunkan firman-Nya di dalam Surah al-Mai’dah (5): 3, “Pada hari ini Aku sempurnakan bagimu agamamu dan Aku cukupkan nikmat-Ku untukmu dan Aku meridhai Islam sebagai agamamu
       Maka Salman al-Farisi berkata: Wahai Rasulullah! Adakah ayat ini diturunkan kepada Ali secara khusus? Maka beliau bersabda: Padanya dan pada para wasiku sehingga Hari Kiamat Salman berkata: Wahai Rasulullah! Terangkan tentang mereka kepada kami. Beliau bersabda: “Ali adalah saudaraku, wazirku, wasiku, warisku, khalifahku pada umatku, waliku kepada setiap Mukmin selepasku dan sebelas imam daripada keturunannya, al-Hasan dan al-Husain. Kemudian sembilan daripada anak-anak al-Husain seorang demi seorang. Al-Qur’an bersama mereka, dan mereka bersama al-Qur’an. Mereka tidak akan berpisah dengannya sehingga mereka dikembalikan kepadaku di al-Haudh”.           Lalu berdirilah dua belas orang daripada ahli Badr sambil berkata: Kami naik saksi bahawa kami telah mendengar hadis tersebut daripada Rasulullah (Saw.) sebagaimana yang anda katakan adalah sama. Anda tidak menambah atau mengurangkan meskipun satu huruf. Dan berkata tujuh puluh orang lagi: Kami telah mendengar sedemikian itu tetapi kami tidak menghafaz kesemuanya. Mereka itu (yang membuat pengakuan) adalah dua belas orang yang terpilih dan yang terbaik di kalangan kami. Beliau berkata: Kalian memang benar. Bukan semua orang menghafaznya. Sebahagian mereka adalah lebih kuat ingatan daripada yang lain.
       Maka berdirilah empat orang dari kalangan dua belas orang itu. Mereka adalah Abu al-Haitham bin Taihan, Abu Ayyub, Ammar dan Khuzaimah bin Thabit- Dhu al-Syahadataini (penyaksiannya menyamai dua orang). Mereka berkata: Kami naik saksi bahawa kami telah mendengar sabda Rasulullah Saw. dan kami menghafaznya. Beliau (Saw.) bersabda pada hari itu dalam keadaan berdiri sementara Ali a.s. berdiri di sisinya: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah telah memerintahkanku supaya melantik untuk kalian seorang imam, dan wasi Nabi kalian pada kalian. Beliau adalah khalifahku pada umatku dan pada keluargaku selepasku.[3]
       Demi Dia yang mewajibkan ke atas Mukminin dalam Kitab-Nya supaya mentaatinya, dan Dia telah memerintahkan di dalam Kitab-Nya supaya mewalikannya, maka aku merujuk kepada Tuhanku kerana takut kritikan ahli Nifak dan pembohongan mereka. Maka Dia mengancamku supaya aku menyampaikannya atau Dia menyiksaku. Wahai manusia! Sesungguhnya Allah memerintahkan solat kepada kalian dalam kitab-Nya. Aku telah menerangkannya kepada kalian dan aku telah menjadikannya sebagai sunnah. Begitu juga dengan zakat, puasa dan haji, di mana aku telah menerang dan mentafsirkannya kepada kalian. Dan Dia memerintahkan wilayah dalam Kitab-Nya. Sesungguhnya aku memberi penyaksian kepada kalian, wahai manusia! Sesungguhnya ia adalah dikhususkan untuk Ali bin Abu Talib, dan para wasi daripada anak-anakku dan anak-anak saudaraku serta wasiku.
       Ali adalah yang pertama. Kemudian al-Hasan. Kemudian al-Husain. Kemudian sembilan daripada anak lelaki al-Husain. Mereka tidak akan meninggalkan al-Kitab sehingga mereka dikembalikan kepadaku di al-Haudh. Wahai manusia! Aku telah memberitahu kalian imam kalian, penunjuk kalian dan pembawa kalian kepada petunjuk. Beliau adalah saudaraku Ali bin Abu Talib. Kedudukannya pada kalian adalah seperti kedudukanku pada kalian.
       Justeru itu, kalian ikutlah beliau untuk agama kalian dan taatilah beliau dalam segala urusan kalian kerana di sisinya terdapat segala ilmu yang telah Allah ajarkan kepadaku. Allah memerintahku supaya mengajarnya segala ilmu dan aku memberitahu kalian bahawa ilmu berada di sisinya. Kalian bertanyalah kepadanya dan belajarlah daripadanya dan daripada para wasinya selepasnya. Janganlah kalian mengajar mereka dan janganlah kalian mendahului mereka. Janganlah kalian membelakangi mereka kerana mereka bersama kebenaran dan kebenaran bersama mereka, dan mereka tidak akan meninggalkannya.[4]
       Kemudian Ali a.s. berkata kepada Abu Darda’ dan Abu Hurairah serta mereka yang di sekitarnya: Wahai manusia! Adakah kalian mengetahui bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan di dalam Kitab-Nya; Surah al-Ahzab (33): 33 “Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan segala kekotoran (dosa) daripadamu hai Ahl al-Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya”, maka Rasulullah (Saw.) telah mengumpulkanku, Fatimah, al-Hasan dan al-Husain di dalam satu kain (al-Kisa’).
       Beliau lalu bersabda: Mereka itulah ‘Itrahku dan Ahl Baitku. Maka Dia telah menghilangkan daripada mereka kekotoran dosa, dan membersihkan mereka dengan sebersih-bersihnya. Maka Umm Salamah berkata: Dan aku? Maka beliau bersabda: Sesungguhnya anda dalam kebaikan.[5] Sesungguhnya ayat ini diturunkan padaku, pada saudaraku Ali, anak perempuanku Fatimah, anak lelakiku al-Hasan dan al-Husain salawatullahi ‘alaihim secara khusus, kerana tidak ada orang lain selain daripada kami. Dan kepada sembilan daripada anak al-Husain selepasku. Maka semua mereka berdiri lalu berkata: Kami memberi penyaksian bahawa Umm Salamah telah meriwayatkan kepada kami sedemikian. Maka kami bertanyakan Rasulullah (Saw.) mengenainya, maka beliau memberitahu kami sebagaimana Umm Salamah telah meriwayatkannya kepada kami.
       Ali a.s. berkata: Aku menyeru kalian dengan nama Allah! Adakah anda mengetahui bahawa sesungguhnya Allah SWT telah berfirman di dalam Surah al-Taubah (9): 119, “Hai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan jadilah kamu bersama orang yang benar (al-Sadiqin)”. Maka Salman berkata: Wahai Rasulullah! Adakah ayat ini umum atau khusus? Maka beliau bersabda: Adapun al-Mukminun adalah umum kerana jama‘ah Mukminun diperintahkan sedemikian. Adapun al-Sadiqin adalah khusus untuk Ali bin Abu Talib dan para wasinya selepasnya sehingga Hari Kiamat[6].
       Dan aku berkata kepada Rasulullah (Saw.) semasa peperangan Tabuk. Wahai Rasulullah! Kenapakah anda melantikku? Beliau bersabda: Madinah tidak sesuai melainkan untuk aku dan anda. Kedudukan anda di sisiku sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa melainkan kenabian kerana tidak ada nabi selepasku.[7] Maka berdirilah beberapa orang lelaki daripada Muhajirin dan Ansar dan berkata: Kami memberi penyaksian bahawa kami telah mendengar sedemikian daripada Rasulullah (Saw.) semasa peperangan Tabuk.
       Maka beliau berkata: Aku menyeru kalian dengan nama Allah! Adakah kalian mengetahui bahawa Allah telah menurunkan di dalam Surah al-Hajj (22): 77 ‘‘Hai orang yang beriman, rukuklah, sujudlah dan sembahlah Tuhan kamu…”. Maka Salman berdiri dan berkata: Wahai Rasulullah! Siapakah orang yang anda menjadi saksi ke atas mereka. Mereka adalah syuhada’ (saksi-saksi) yang telah dipilih oleh Allah ke atas manusia dan Dia tidak menjadikan ke atas mereka kesulitan dalam agama, millah Ibrahim? Beliau bersabda: Dimaksudkan dengan demikian itu adalah tiga belas orang manusia. Aku, saudaraku dan sebelas orang daripada anak lelakiku.[8] Maka mereka menjawab: Ya.
       Beliau berkata: Adakah kalian mengetahui bahawa Rasulullah (Saw.) telah berdiri memberi khutbah dan beliau tidak lagi memberi khutbah selepas itu, dan beliau bersabda: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kalian dua perkara. Kalian tidak akan sesat selama kalian berpegang kepada kedua-duanya; Kitab Allah dan Ahl Baitku. Sesungguhnya Yang Maha Halus lagi Maha Alim telah berjanji kepadaku bahawa kedua-duanya tidak akan berpisah sehingga ia dikembalikan kepadaku di al-Haudh?”[9] Mereka berkata: Ya. Sesungguhnya kami telah menyaksikan semuanya.
       Beliau berkata: Allah adalah cukup bagiku. Lalu berdirilah dua belas orang lelaki dan mereka berkata: Kami memberi penyaksian bahawa Rasulullah (Saw.) ketika berkhutbah pada hari beliau wafat, maka Umar berdiri separuh marah dan berkata: Wahai Rasulullah! Adakah semua Ahl Bait anda? Beliau bersabda: Tidak. Tetapi para wasiku, saudaraku adalah di kalangan mereka, wazirku, warisku, khalifahku pada umatku dan wali kepada setiap Mukmin selepasku. Ini adalah yang awal daripada mereka dan yang terbaik mereka. Kemudian wasiku adalah daripada anak lelakiku ini. Beliau memberi isyarat kepada al-Hasan. Kemudian wasinya ini. Beliau memberi isyarat kepada al-Husain. Kemudian wasiku adalah daripada anak lelakiku ini dan akan dinamakan oleh saudaraku.
       Kemudian wasinya akan dinamakan. Kemudian tujuh daripada anak lelakinya seorang demi seorang sehingga mereka dikembalikan kepadaku di al-Haudh. Mereka adalah syuhada’ Allah di Bumi-Nya, hujah-Nya ke atas makhluk-Nya. Sesiapa yang mentaati mereka, maka mentaati Allah. Sesiapa yang menderhakai mereka, maka menderhakai Allah.[10] Lalu berdirilah tujuh puluh ahli Badr sambil berkata: Kami telah memahami apa yang kami telah terlupa. Kami memberi penyaksian bahawa kami telah mendengar sedemikian daripada Rasulullah (Saw.).
       Beliau a.s. tidak meninggalkan sesuatupun melainkan menyeru mereka mengenainya sehingga beliau mengakhiri manaqibnya dan apa yang disabdakan Rasulullah (Saw.) kepadanya. Mereka telah membenarkannya dan memberi penyaksian bahawa semuanya adalah benar. Manakala Abu Darda’ dan Abu Hurairah memberitahu Mu‘awiyah kesemuanya, dia berkata: Wahai Abu Darda’! Wahai Abu Hurairah! Sekiranya apa yang kalian riwayatkan kepadaku ini adalah benar, maka binasalah Muhajirin dan Ansar selain daripadanya, Ahl Baitnya dan Syi‘ahnya.

Penjelasan Ali a.s. bahawa Nabi Saw. telah memberitahunya mengenai apa yang sedang berlaku

       Kemudian Mu‘awiyah menulis surat kepada Amir al-Mukiminin a.s. Sekiranya apa yang anda kata, dakwa dan penyaksian yang anda minta daripada para sahabat anda itu benar, maka binasalah Abu Bakr, Umar, Uthman dan semua Muhajirin dan Ansar selain daripada anda, Ahl Bait anda dan Syi‘ah anda?[11] Sedangkan telah sampai kepadaku bahawa anda menunjukkan kasihan belas terhadap mereka. Sesungguhnya anda mempunyai dua wajah dan tidak ada yang ketiga. Sama ada anda bertaqiyyah jika anda membersihkan diri daripada mereka kerana khuatir bahawa tentera-tentera anda yang memerangiku akan melarikan diri daripada anda.



[1] Ibid., hlm. 121.

[2] Ibid., hlm. 114-5

[3] Ibid., hlm. 251.

[4] Ibn ‘Abd al-Birr, al-Isti‘ab, ii, hlm. 463. al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al- ‘Ummal, vi, hlm. 392. Ibn Abi al-Hadid, Syarh Nahj al-Balaghah, ii, hlm. 448. Muhibb al-Din al-Tabari, Dhakha’ir al-‘Uqba, hlm. 78.

[5] Al-Tabari, Tafsir, xxii, hlm. 5. al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, v, hlm. 198.

[6] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 119.

[7] Al-Bukhari, Sahih, iii, hlm. 54. Muslim, Sahih, ii, hlm. 236-7. Ibn Hanbal, Musnad, i, hlm. 98, 118-9.

[8] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 441.

[9] Muslim, Sahih, ii, hlm. 238.

[10] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 441.

[11] Al-Bukhari, Sahih, viii, hlm. 379-386. Hadis. no. 578, 584-587, 590.

No comments:

Post a Comment