Syi‘ah Mengingkari Iman Mereka Bertiga
Al-‘Abbasi berkata: Sesungguhnya Syi‘ah mengingkari iman ketiga-tiga khalifah, pendapat ini tidak benar, kerana jikalaulah mereka tidak mukminin, kenapakah Rasulullah s.a.w telah menjalani hubungan perkahwinan dengan mereka (musaaharah)?
Al-‘Alawi berkata: Syi‘ah percaya sesungguhnya mereka bertiga tidak mukminin dari segi hati dan batin mereka (qalban wa baatinan) sekalipun mereka menzahirkan Islam secara lidah dan kezahiran[1]. Rasul yang mulia telah menerima Islam setiap orang yang mengucap dua kalimah syahadat sekalipun dia seorang munafik yang sebenar, tetapi beliau s.a.w telah memberi layanan kepada mereka dengan layanan muslimin. Lantaran itu, hubungan perkahwinan Nabi dengan mereka (musaaharah al-Nabi la-hum) dan hubungan mereka dengan Nabi adalah dari bab ini!
[1] Ali a.s berkata di dalam khutbahnya: "Khalifah-khalifah sebelumku telah melakukan perbuatan-perbuatan yang menyalahi Rasulullah s.a.w dengan sengaja. Mereka melanggar janji mereka dengan beliau dengan mengubah sunnah-sunnah beliau. Sekarang jika aku memaksa mereka supaya meninggalkannya dan mengembalikan keadaan sebagaimana di zaman Rasulullah s.a.w, nescaya tenteraku akan bertaburan lari dariku, meninggalkanku bersendirian atau hanya sedikit sahaja di kalangan Syi'ahku yang mengetahui kelebihanku, dan imamahku melalui Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w akan tinggal bersamaku. Apa pendapat kalian, sekiranya aku menempatkan Maqam Ibrahim pada tempat yang telah ditempatkan oleh Rasulullah s.a.w.
Mengembalikan Fadak kepada pewaris-pewaris Fatimah (a.s), mengembalikan timbangan dan ukuran seperti yang lazim di zaman Rasulullah s.a.w, mengembalikan tanah kepada orang yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w, mengembalikan rumah Ja'far kepada pewaris-pewarisnya dan memisahkannya dari masjid (kerana mereka telah merampasnya dan memasukkannya ke dalam masjid); mengembalikan hukum-hukum yang kejam yang dipaksa oleh khalifah-khalifah yang terdahulu ke atas wanita-wanita yang secara tidak sah telah dipisahkan dari suami mereka, mengembalikan jizyah kepada Bani Taghlab, mengembalikan tanah Khaibar yang telah dibahagi-bahagikan, memansuhkan dewan-dewan pemberian dengan meneruskan pemberian kepada semua orang sebagaimana dilakukan pada masa Rasulullah s.a.w tanpa menjadikannya tertumpu di kalangan golongan kaya, memulihkan pajak bumi, menyamakan kaum Muslimin di dalam masalah nikah kahwin, melaksanakan khums sebagaimana difardukan Allah (swt).
Memulihkan Masjid Nabi seperti bentuknya yang asal pada zaman Nabi s.a.w, menutup pintu-pintu yang dibuka (selepas kewafatan Rasul) dan membuka pintu-pintu yang ditutup (selepas kewafatan Rasul), mengharamkan penyapuan di atas al-Khuffain, mengenakan hukum had ke atas peminum nabidh, memerintahkan halal mut'ah wanita dan mut'ah haji sebagaimana pada zaman Nabi s.a.w, memerintahkan takbir lima kali dalam solat jenazah, mewajibkan kaum Muslimin membaca Bismillahir Rahmanir Rahim dengan suara yang nyaring pada masa solat, mengeluarkan orang yang dimasukkan selepas Rasulullah s.a.w di dalam masjidnya, di mana Rasulullah s.a.w telah mengeluarkannya, memasukkan orang yang dikeluarkan selepas Rasulullah s.a.w (beliau sendiri) di mana Rasulullah s.a.w telah memasukkannya, memaksa kaum Muslimin dengan hukum al-Qur'an dan talak menuruti Sunnah, mengambil zakat menurut jenis-jenisnya, mengembalikan wuduk basuh dan solat kepada waktunya, syariatnya dan tempatnya, mengembalikan ahli Najran ke tempat-tempat mereka, mengembalikan layanan terhadap tawanan perang Farsi dan bangsa-bangsa lain kepada kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.
Sekiranya aku melaksanakan semua ini, nescaya mereka mengembara meninggalkanku. Demi Allah ketika aku perintahkan mereka supaya tidak melakukan solat jama'ah di masjid pada bulan Ramadhan kecuali solat-solat fardu dan memberitahu kepada mereka bahawa solat sunat berjama'ah (Taraawih) adalah bid'ah, sekelompok tenteraku yang pernah berperang di pihakku mulai berteriak: "Wahai kaum Muslimin! Ali ingin mengubah sunnah Umar dan bermaksud menghentikan kita dari melakukan solat-solat sunat Taraawih pada bulan Ramadhan sehingga aku khuatir mereka akan memberontak. Pada masa yang sama aku sedang menghadapi perpecahan di kalangan umat dan ketaatan mereka kepada pemimpin-pemimpin mereka yang sesat yang hanya menyeru mereka ke neraka (a’immah dhalalah wa al-Du‘ati ila al-Nar).
Aku telah dikurniakan saham kerabat di dalam firman-Nya Surah al-Anfal (7): 41 “ Jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang kami turunkan kepada hamba kami (Muhammad) di hari Furqan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan.”. Maka kamilah yang dimaksudkan dengan dhi l-Qurba (kerabat) di mana Allah telah meletakkan kami selepas diri-Nya dan Rasul-Nya s.a.w sebagaimana firman-Nya Surah al-Hasyar (59): 7 “Untuk Allah, rasul, kerabat rasul, anak-anak yatim, golongan miskin dan ibnu ssabil (adalah untuk kami secara khusus) agar harta itu tidak hanya beredar di kalangan golongan kaya di kalangan kamu. Apa yang diberikan rasul kepada kamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya” bagi golongan yang telah menzalimi mereka sebagai rahmat daripada-Nya untuk kami dan kekayaan yang Allah kurniakan kepada kami dan Dia telah berwasiat kepada nabi kami mengenainya.
Dia tidak menjadikan sedekah sebagai saham kami. Dia telah memuliakan kami Ahlu l-Bait dengan tidak memakan sedekah orang ramai (ausakh al-Nas). Justeru itu mereka telah membohongi Allah, membohongi Rasul-Nya dan menentang kitab-Nya yang bertutur dengan hak kami. Mereka telah menghalang kami daripada fardu yang difardukan oleh Allah untuk kami. Inilah yang dihadapi oleh Ahlu l-Bait nabi selepas nabi kita s.a.w. Allah menentang mereka yang telah menzalimi kami dan tiada helah dan kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi dan Perkasa” Lihat Raudhat al-Kaafi, Beirut, 1985, viii, hlm. 51-51 (hadis no.21).
No comments:
Post a Comment