Wednesday, July 6, 2011

Keilmuan Para Imam A.S


       Ahamad al-Hasan bin Ali bin Fadhdhal, daripada ‘Umru bin Sa‘id al-Mada’ini, daripada Musaddiq bin  Sadaqah al-Mada’ini, daripada  ‘Ammar bin Musa al-Sabiti, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Aku telah berkata  kepada Abu Abdullah a.s tentang imam adakah beliau mengetahui perkara ghaib (ya‘lamu al-Ghaib)? Beliau berkata: Tidak, tetapi apabila beliau mahu mengetahui sesuatu, maka Allah akan memberitahu kepadanya perkara tersebut (idha arada an ya‘lama al-Sya’ a‘lama-hu l-Lahu dhalika)[1].
       Muhammad bin al-Husain bin Abu al-Khattab, dan Muhammad bin Isa bin ‘Ubaid, daripada Ahmad bin al-Hasan al-Maithami, daripada Muhammad bin Abu Hamzah, daripada Ali bin Yaqtin berkata: Aku telah berkata kepada Abu al-Hasan Musa a.s: Ilmu alim kamu secara pendengaran atau ilham? Beliau berkata: Kadang-kala secara pendengaran dan kadang-kala secara ilham atau kedua-duanya sekali (qad yakunu samma‘an wa yakunu ilhaman wa yakunani ma‘an).

       Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada Muhammad bin Abu Nasr, daripada Hammad bin Uthman, daripada al-Harith bin al-Mughirah berkata: Aku telah berkata kepada Abu Abdullah a.s: Apakah ilmu alim kamu (ma ‘ilmu ‘alimu-kum), adakah sebahagiannya dicampak dihatinya (a jumlatun yuqdhafu fi qalbi-hi) atau diperdengarkan di telinganya (au yunkatu fi udhuni-hu)?  Beliau berkata:  Seperti wahyu ibu Isa.

       Ya‘qub bin Yazid, daripada Muhammad bin Abu ‘Umair, daripada Muhammad bin Hamraan daripada Sufyan bin al-Samt, daripada Abdullah bin al-Najjasyi, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Beliau berkata: Di kalangan kami, demi Allah, ada  yang dibisikkan di telinganya (fi-na, wa l-Lahi, man yunqaru fi udhuni-hi ) dan ada yang diberitahu di hatinya (yunkatu fi qalbi-hi), dan ada yang telah berjabat tangan dengan malaikat (tusafihu-hu al-Malaikatu). Aku berkata: Di masa yang lalu, atau hari ini? Beliau berkata: Malah hari ini (bal al-Yaum), wahai Ibn al-Najjasyi- Beliau telah berkata sedemikian sehingga tiga kali.

       Al-Hasan bin Ali bin Abdullah bin al-Mughirah, daripada ‘Abis bin Hisyam al-Asadi, daripada Kiram bin ‘Umru al-Khusy‘ami, daripada Abdullah bin Abu Ya‘fur, berkata: Aku telah berkata kepada Abu Abdullah a.s: Sesungguhnya kami berkata: Sesungguhnya Ali a.s dibisikkan  di telinganya (kana yunkatu fi udhuni-hi) dan diberitahu di dadanya (wa yuqaru fi sadri-hi), maka beliau berkata: Sesungguhnya Ali a.s adalah seorang Muhaddathan (boleh bercakap dengan malaikat).    Manakala beliau telah melihat aku bahawa kata-katanya telah menjadi berat ke atasku, maka beliau berkata: Sesungguhnya Ali a.s pada hari Bani Quraizah, dan al-Nadhir telah diapit oleh Jibrail di kanannya, dan Mikail di kirinya, mereka berdua sedang bercakap-cakap dengannya (yuhaddithana-hu)[2].

       Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada Hammad bin Isa, daripada al-Husain bin al-Mukhtar al-Qalanisi, daripada al-Harith bin al-Mughirah bin al-Nadhari, daripada Hamraan berkata: Abu Ja‘far a.s telah berkata kepadaku: Sesungguhnya Ali a.s adalah Muhaddathan, maka aku pun telah datang kepada para sahabatku, lalu aku berkata: Aku datang kepada kamu dengan berita yang pelik, mereka berkata: Apakah ia? Aku berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s berkata: Ali adalah seorang Muhaddathan, mereka berkata: Anda jangan melakukan sesuatu melainkan anda bertanya kepadanya siapakah yang bercakap dengannya.

       Lalu aku kembali kepadanya dan aku berkata: Sesungguhnya aku telah memberitahu para sahabatku tentang perkara yang anda telah memberitahu aku, maka mereka berkata: Anda jangan melakukan sesuatu melainkan anda bertanya kepadanya siapakah yang bercakap dengannya, maka beliau berkata kepadaku: Malaikat yang bercakap dengannya (yuhaddithu-hu malakun), aku berkata: Anda berkata bahawa beliau seorang nabi? Lantas beliau menggerakkan tangannya begini, beliau berkata: Atau seperti sahabat Sulaiman atau seperti sahabat Musa atau seperti Dhu al-Qarnain atau tidakkah telah sampai berita kepada kamu bahawa beliau berkata: Di kalangan kamu ada orang  seumpamanya (wa fi-kum mithlu-hu)[3].

       Musa bin Ja‘far bin Wahab al-Baghdadi, daripada Ali bin Asbat, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada Abu Hamzah al-Thumali berkata: Aku dan al-Mughirah bin Sa‘id sedang duduk di Masjid, lalu al-Hakam bin ‘Utbah datang kepada kami, dan berkata: Sesungguhnya aku telah mendengar daripada Abu Ja‘far a.s satu hadis di mana aku tidak pernah mendengarnya sebelum ini, maka kami telah bertanya kepadanya tentangnya, tetapi beliau telah enggan memberitahu kami mengenainya, beliau berkata: Ya, kami telah mendapati ilmu Ali a.s di dalam satu ayat pada kitab Allah a.w; Surah al-Hajj (22):52  “Dan kami tidak mengutus seorang rasul sebelum kamu, dan tidak pula seorang nabi, (dan tidak pula seorang muhaddathin), melainkan apabila ia mempunyai sesuatu keinginan, syaitan pun memasukkan godaan-godaan terhadap keinginan itu”

       Maka kami berkata: Ayatnya bukan begitu, maka beliau berkata: Ayat itu terdapat di dalam kitab Ali, aku berkata: Bagaimana muhaddath terjadi? Beliau berkata: Dibisikkan di telinganya (yunkatu fi udhuni-hi), lalu beliau mendengar deringan atau gema  (tanin ) seperti deringan atau gema sesuatu terjatuh di dalam mangkuk (ka-tanin al-Tist) atau diketuk di hatinya (yuqra‘u ‘ala qalbi-hi), lalu beliau mendengar ketukan seperti ketukan rantai besi yang terjatuh di dalam mangkuk (fa-yasma‘u waq‘an ka waq‘i al-silsilati yaqa‘u fi al-Tist). Aku berkata: Beliau seorang nabi? Beliau berkata: Tidak, seperti Khidir dan Dhu al-Qarnain[4].

       Muhammad bin al-Husain bin Abu al-Khattab, daripada al-Nadhar bin Syu‘aib, daripada ‘Abd al-Ghaffar al-Jazi, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Aku bercakap tujuh puluh cara (wajhan) untukku; semuanya ada jalan keluar[5].

       Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Muhammad bin Ismail bin Bazi‘, daripada Ali bin al-Nu‘man, daripada Abdullah bin Maskan, daripada Abd al-A‘la bin A‘yan berkata: Aku dan Ali bin Hanzalah telah datang kepada Abu Abdullah a.s, maka Ali bin Hanzalah telah bertanya kepadanya tentang satu masalah, maka beliau telah menjawabnya, Ali berkata kepadanya: Jika ia begitu, maka ia adalah begitu, maka beliau telah menjawabnya dengan jawapan yang lain pula, beliau berkata kepadanya: Jika ia begitu, maka ia adalah begitu, maka beliau telah menjawab dengan jawapan yang lain pula sehingga beliau telah menjawab dengan empat jawapan.

       Ali bin Hanzalah telah berpaling kepada aku dan berkata: Wahai Abu Muhammad, sesungguhnya kami telah  menguasainya (ahkamna-ha), lantas Abu Abdullah a.s telah menegahnya dan berkata: Janganlah anda berkata sedemikian wahai Abu al-Hasan, kerana anda adalah seorang lelaki yang warak, sesungguhnya di antara perkara-perkara itu ada perkara-perkara yang sempit  waktunya (dhayyiqah), maka ia tidak berlaku melainkan di atas satu cara, di antaranya Jumaat yang hanya mempunyai satu waktu ketika tergelincirnya matahari. Dan di antara perkara-perkara itu terdapat perkara-perkara yang luas waktunya (muwassa‘ah) yang berlaku di atas beberapa cara dan ini adalah di antaranya, demi Allah, di sisiku tujuh puluh cara[6].

       Muhammad bin Isa bin ‘Ubaid dan Ya‘qub bin Yazid, daripada Muhammad bin Abu ‘Umair, daripada Muhammad bin Hamraan, daripada Muhammad bin Muslim, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya kami bercakap dengan satu kalimah yang mempunyai tujuh puluh cara untuk aku semuanya ada jalan keluar.
       Ahmad dan Abdullah dua anak lelaki Muhammad bin Isa, daripada al-Hasan bin Mahbub, daripada Muhammad bin al-Nu‘man al-Ahwal, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Kamu adalah orang yang paling alim selama kamu memahami pengertian percakapan kami. Sesungguhnya percakapan kami bertukar kepada tujuh puluh cara (yansarifu ila sab‘in wajhan)[7].

       Muhammad bin al-Husain bin Abu al-Khattab dan Muhammad bin Isa bin ‘Ubaid, daripada Abd al-Karim bin ‘Umru, daripada Abu Basir berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Aku bercakap dengan satu kalimah yang mempunyai tujuh puluh cara, jika aku kehendaki, aku akan melakukannya menurut caranya yang tersendiri.

       Ahmad bin Muhammad bin Isa dan Muhammad bin al-Husain al-Khattab dan Muhammad bin Isa bin ‘Ubaid, daripada Muhammad bin Sinan dan Ali bin al-Nu‘man, daripada Abdullah bin Maskan, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya Allah a.w tidak akan meninggalkan bumi melainkan padanya seorang  alim yang mengetahui pertambahan dan kekurangan (fi-ha ‘alim ya‘lamu al-Ziyadah wa al-Nuqsan) di bumi. Apabila mereka mukmin telah menambahkan sesuatu, maka Dia kembalikannya kepada mereka dan apabila mereka mengurangkan sesuatu, maka Dia menyempurnakannya untuk mereka, maka beliau berkata: Kamu ambillah ia dengan sempurna (khudhu-hu kamilan). Jika tidak, nescaya urusan mereka akan menjadi kesamaran kepada mereka mukmin, lantaran itu, mereka tidak dapat membezakan di antara kebenaran dan kebatilan.
       Al-Hasan bin Ali bin al-Nu’man, daripada Abu Hamzah al-Thumali, daripada Abu Ja‘far a.s, berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Bumi tidak akan sunyi melainkan padanya seorang lelaki daripada kami  mengetahui kebenaran  (lan takhlu al-Ardhu illa wa fi-ha rajulun minna ya‘rifu al-Haqqa). Apabila orang ramai telah menambahkan sesuatu padanya, beliau berkata: Sesungguhnya mereka telah menambahkannya  dan apabila mereka menguranginya,  beliau berkata:  Mereka telah menguranginya dan apabila  mereka mengakui kekurangannya, maka beliau membenarkan mereka, jika tidak, kebenaran tidak akan dikenali daripada kebatilan.                             


 
BAHAGIANKESEPULUH 

Para imam mengetahui semua lisan dan bahasa, di sisi mereka kitab-kitab para nabi a.s, mereka mengetahui percakapan binatang, mereka mengetahui semua keadaan manusia ketika melihat mereka, para imam a.s adalah Mutawassimin dan lain-lain.

Para Imam Mengetahui Semua Lisan Dan Bahasa
            
       Muhammad bin Isa bin ‘Ubaid dan Ibrahim bin Mihziyar berkata: Aku  telah menghantar hamba aku yang berbangsa Slav kepada Abu al-Hasan ketiga a.s, maka hamba aku telah kembali kepadaku dengan pelik, aku berkata kepadanya: Apakah dengan anda wahai anak lelakiku?  Beliau berkata: Bagaimana aku tidak merasa pelik, beliau a.s sentiasa bercakap dengan aku di dalam bahasa Slav seolah-olah beliau adalah seorang daripada kami, aku telah menyangka bahawa beliau telah mengguna bahasa ini supaya hamba-hamba lain tidak mendengar apa yang berlaku di kalangan mereka.
       Ahmad bin Muhammad, daripada Abu al-Qasim Abd al-Rahman bin Hammad al-Kufi dan Abdullah bin ‘Imran, daripada Muhammad bin Basyir, daripada seorang lelaki, daripada ‘Ammar bin Musa al-Sabiti berkata: Abu Abdullah a.s telah berkata kepada aku: Wahai ‘Ammar, lalu beliau meletakkan kain ke atas aku, aku berkata: Aku tidak pernah melihat seorang nabati yang lebih fasih daripada anda di dalam bahasa Nabatiyyah, beliau berkata: Wahai ‘Ammar, di dalam  semua bahasa.
       Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Husain bin Sa‘id dan Muhammad bin Khalid al-Barqi, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Yahya bin ‘Imran al-Halabi, daripada saudara Malih berkata: Abu Yazid Furqad telah memberitahu aku, berkata: Aku telah berada di sisi Abu Abdullah a.s. Beliau telah mengutus  hambanya berbangsa a‘jam [8]di dalam satu hajat, maka hambanya telah kembali kepadanya. Lalu beliau mulai mengubah perutusannya, tetapi ia tidak menghairankannya   sehingga aku telah menyangka bahawa beliau a. s 

akan memarahinya.  Beliau berkata: Bercakaplah di dalam bahasa mana yang anda kehendaki, sesungguhnya aku memahami tentang kamu.          Ahmad bin Muhammad bin Isa dan Muhammad bin Abd al-Jabbar, daripada Muhammad bin Khalid al-Barqi, daripada Fadhdhalah bin Ayyub, daripada seorang lelaki namanya Masma‘ bin Abd al-Malik, laqabnya adalah Kardin, daripada Abu Abdullah a.s, maka beliau berkata: Aku telah datang kepadanya dan di sisinya anak lelakinya Ismail.

        Kami pada masa itu akan berimamkannya selepas bapanya, maka beliau telah menyebut kepada aku hadis yang panjang bahawa  beliau telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata tentangnya menyalahi apa yang kami telah menyangkanya. Aku telah mendatangi dua lelaki daripada ahli Kufah yang berkata mengenainya. Lalu aku telah memberitahu mereka berdua, maka seorang daripada mereka berdua berkata: Aku telah mendengar, aku telah mentaati dan aku telah meredai.

       Sementara yang lain pula berkata: Tidak, demi Allah, aku tidak mendengar, aku tidak reda dan aku tidak mentaati sehingga aku mendengarnya daripadanya. Kemudian beliau telah keluar menuju Abu Abdullah a.s, lalu aku telah mengikutinya.  Apabila kami berada di pintu, maka mereka berdua telah meminta kebenaran masuk, maka beliau telah membenarkan aku masuk sebelumnya, kemudian beliau telah membenarkannya masuk, manakala beliau masuk, maka Abu Abdullah a.s berkata kepadanya: Wahai polan, adakah setiap seorang daripada kamu dibawa datang dengan kitab yang berterbangan? Sesungguhnya apa yang telah diberitahu kepada anda oleh polan itu adalah benar.

       Maka beliau berkata: Aku telah menjadikan diri aku tebusan anda, sesungguhnya aku suka mendengarnya daripada anda sendiri, lantas beliau berkata: Sesungguhnya  polan itu adalah imam anda, dan sahabat anda selepas aku, iaitu Abu al-Hasan Musa a.s-tidak akan menuntutnya di antara aku dan beliau (Musa a.s) melainkan pembohong, maka beliau telah berpaling kepada seorang lelaki dari Kufah yang pandai berbicara di dalam bahasa Nabatiyyah, maka beliau berkata kepadanya: Dirqihi (ambillah?), lalu Abu Abdullah a.s berkata kepadanya: Dirqihi di dalam bahasa Nabatiyyah, kamu ambillah.

       Muhammad bin Jazak, daripada Yasir al-Khadim berkata: Hamba-hamba  Abu al-Hasan a.s  di rumahnya  terdiri daripada bangsa Slav dan Rom. Abu al-Hasan a.s adalah rapat dengan mereka. Beliau telah mendengar mereka di waktu malam merepek dengan bahasa Slav dan Roman, mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mengeluarkan darah kami di negara kami pada setiap tahun, kemudian kita tidak melakukannya di sini. Pada keesokannya, Abu al-Hasan a.s telah bertemu dengan seorang doktor, lalu beliau berkata kepadanya: Keluarkan darah polan. Kemudian beliau berkata: Wahai Yasir, janganlah anda mengeluarkan darah anda.
       Yasir berkata: Darah aku telah dikeluarkan, lalu tanganku menjadi kehijauan. Maka  beliau a.s berkata: Wahai Yasir, apakah  telah terjadi kepada anda? Maka aku telah memberitahunya, lalu beliau berkata: Tidakkah aku telah melarang anda dari melakukannya, hulurkan tangan anda, lalu beliau menyapukan tangannya ke atas tanganku dan meludahnya (wa tafila fi-ha). Kemudian beliau telah berwasiat kepada aku supaya aku tidak makan malam. Selepas itu aku telah  terlupa, lalu aku makan malam, lantas beliau memukul aku[9].

       Ya‘qub bin Yazid, daripada Muhammad bin Abu ‘Umair, daripada sebahagian lelakinya, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Al-Hasan bin Ali a.s berkata: Sesungguhnya bagi Allah dua bandar; satu di timur dan satu lagi di barat, di atasnya dinding dari besi dan di atas setiap bandar seratus ribu daun dari emas, di dalamnya seratus ribu bahasa, setiap bahasa bercakap berlainan dengan bahasa sahabatnya dan aku mengetahui semua bahasa (ana a‘rifu jami‘ al-Lughat), apa yang ada pada kedua-duanya, di antara kedua-duanya dan hujah di atas kedua-duanya selain daripada aku dan saudaraku al-Husain[10].

       Musa bin ‘Umar bin Yazid al-Saiqal, daripada Ali bin Ismail al-Maithami, daripada Sama‘ah bin Mihran daripada seorang syeikh di kalangan sahabat kita, daripada Abu Ja‘far a.s, berkata: Kami telah datang kerana ingin bertemu dengannya. Apabila kami sampai di Dahliz, kami telah mendengar bacaan di dalam bahasa Siryaniyyah dengan suara yang baik, dibaca dan ditangisi sehingga sebahagian kami turut menangis.[11]

Di Sisi Mereka Kitab-kitab Para Nabi
            
       Ibrahim bin Hasyim, daripada al-Hasan bin Ibrahim, daripada Yunus, daripada Hisyam bin al-Hakam di dalam satu hadis tentang Barihah; seorang Nasrani yang telah datang bersama Hisyam sehingga beliau bertemu dengan Abu al-Hasan a.s, maka beliau berkata: Wahai Barihah, bagaimana keilmuan anda tentang kitab anda? Beliau berkata: Aku mengetahui dengannya (an bi-hi alimun). Beliau berkata: Bagaimana kepercayaan anda dengan takwilnya? Aku tidak yakin keilmuanku tentangnya. Lalu Musa a.s mula membaca Injil, Barihah berkata: Al-Masih telah membaca sedemikian dan bacaan ini tidak dibaca melainkan oleh al-Masih a.s. Kemudian Barihah berkata: Aku telah mencarinya selama lima puluh tahun, lalu beliau menerima Islam di tangannya[12].

       Muhammad bin al-Husain bin Abu al-Khattab, daripada Ahmad bin al-Hasan al-Maithami, daripada Abban bin Uthman al-Fazari, daripada Musa bin Akil al-Namiri, berkata: Kami telah datang di pintu Abu Ja‘far a.s, lalu kami meminta kebenarannya, tiba-tiba kami telah mendengar suara dibaca di dalam bahasa Ibrani, lantas kami menangis apabila kami mendengar suaranya, kami telah menyangka  bahawa beliau telah mengutus  kepada seorang lelaki ahlu l-Kitab untuk membaca ke atasnya. Maka kami telah masuk, tetapi kami tidak melihat seorang pun di sisinya, kami berkata: Aslaha-ka l-Lahu, kami telah mendengar di dalam bahasa Ibrani, kami telah menyangka bahawa anda telah mengutus kepada seorang lelaki di kalangan ahlu l-Kitab supaya membacanya untuk anda.

       Beliau berkata: Tidak, tetapi aku telah menyebut munajatnya, maka aku telah menangis kerananya, kami berkata: Apakah munajatnya? Beliau berkata: Wahai Tuhanku, adakah Engkau akan mengazabkan aku selepas segala ibadat aku yang berpanjangan kepada Engkau (ya rabb a tura-ka mu‘adhdhibi ba‘da tuli qiyami la-ka wa ‘ibadati iyya-ka), Engkau akan menyeksa aku selepas solatku kepada-Mu(wa mu‘adhdhibi  ba‘da salati la-ka), beliau mulai menghitung amalan-amalannya, maka Allah telah mewahyukan kepadanya bahawa Aku tidak akan mengazabkan kamu, lalu beliau berkata: Wahai Tuhanku, apakah yang menghalang Engkau berfirman: Tidak, selepas ya, sedangkan aku adalah hamba Engkau (ana ‘abdu-ka) dan di dalam genggaman Engkau. Maka Allah telah mewahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya Aku apabila Aku berfirman sesuatu, maka Aku menunaikannya (inni idha qultu qaulan wafai-tu)[13].
                      
Mereka Mengetahui Percakapan Burung
            
       Ya‘qub bin Yazid, daripada al-Hasan bin Ali al-Wasya’, daripada mereka yang meriwayatkannya, daripada Ali bin Ismail al-Maithami, daripada Mansur bin Yunus, daripada Hamzah al-Thumali berkata: Aku telah berada bersama-sama Ali bin al-Husain a.s di rumahnya. Dan di rumahnya terdapat pohon di mana di atasnya burung-burung sedang berkicau, beliau berkata: Adakah anda mengetahui apakah yang dikatakan mereka? Aku berkata: Aku tidak mengetahuinya, beliau berkata: Mereka sedang bertasbih kepada Tuhan mereka dan sedang mencari rezeki mereka (yusabbihna rabba-hunna wa yatlubna rizqqa-hunna)[14].

       Ahmad bin Muhammad bin Isa dan Muhammad bin Ismail bin Isa, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Malik bin ‘Atiyyah, daripada Abu Hamzah al-Thumali berkata: Aku telah berada bersama-sama Ali bin al-Husain a.s. Apabila burung-burung berterbangan dan berkicauan, maka beliau berkata: Wahai Abu Hamzah, adakah anda mengetahui apakah yang dikatakan oleh mereka? Aku berkata: Aku tidak mengetahuinya. Beliau berkata: Mereka sedang mentakdiskan Tuhan mereka dan memohon kepada-Nya makanan harian mereka(quta yaumi-hinna). Kemudian beliau berkata: Wahai Abu Hamzah, kami telah diajar percakapan burung dan dikurniakan kepada kami setiap sesuatu (‘Ullamna mantiqa al-Tairi wa uti-na  min kulli syai’in)[15].

       Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Khalid bin Muhammad al-Barqi, daripada sebahagian daripada lelakinya secara marfu‘ daripada Abu Abdullah a.s, berkata: Seorang lelaki telah membaca ayat di dalam Surah al-Naml (27 : 16 “Kami diajar percakapan burung dan kami diberi segala sesuatu”. Abu Abdullah a.s berkata: Tidak ada padanya “min”, tetapi ia adalah “uti-na kulla syai’in”.
       Daripadanya, daripada Ahmad bin Yusuf, daripada Ali bin Daud al-Haddad, daripada Fudhail bin Yassar, daripada Abu Abdullah a.s, berkata: Aku telah berada di sisinya, tiba-tiba  aku melihat kepada sepasang burung merpati di sisinya; yang jantan telah mengeluarkan kata dengan manja dan lembut kepada yang betina (hadala al-Dhakaru  ‘ala al-Untha). Maka beliau berkata: Adakah anda mengetahui apakah yang dikatakan oleh merpati jantan itu? Ia berkata: Wahai sayangku, dan isteriku, Allah tidak mencipta makhluk yang paling aku cintai daripada anda melainkan maulaku Ja‘far bin Muhammad a.s[16].

       Ali bin Ismail bin Isa, daripada Muhammad bin ‘Umru bin Sa‘id al-Zayyat, daripada bapanya, daripada al-Faidh bin al-Mukhtar, berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya Sulaiman bin Daud a.s berkata: “kami diajar percakapan burung, dan kami dikurniakan daripada setiap sesuatu (min kulli syai’in)”. Demi Allah, kami diajar percakapan burung dan kami dikurniakan setiap sesuatu (kulla syai’in)
       Muhammad bin al-Husain bin Abu al-Khattab, daripada al-Nadhar bin Syu‘aib, daripada ‘Umar bin Khalifah, daripada Syaibah, daripada al-Faidh, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s berkata: Wahai manusia, kami telah diajar percakapan burung dan kami dikurniakan setiap sesuatu, sesungguhnya ini adalah kelebihan yang besar.

       Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Ali bin Ahmad bin Muhammad bin Abu Nasr, daripada sebahagian daripada sahabatnya berkata:Abu Abdullah a.s telah dihadiahkan dengan tiga ekor burung; fakhitah, wirsyan dan ra‘ibi, burung yang pertama berkata: Aku telah kehilangan kamu, aku telah kehilangan kamu, maka jauhilah ia sebelum ia meninggalkan kamu, Abu Ja‘far a.s telah memerintahkan supaya ia disembelih. Adapun burung yang kedua berkata: Kamu telah disucikan, kamu telah disucikan, lantas beliau telah memberikannya kepada seorang sahabatnya. Adapun burung yang ketiga, maka  ia berada di sisiku, aku menemaninya.

Mereka Mengetahui Percakapan Binatang-Binatang Yang Lain
            
       Ahmad bin Muhammad bin Isa dan Ahamad bin al-Hasan bin Ali bin Fadhdhal, daripada Abdullah bin Bakir, daripada Zararah, daripada Abu Abdullah a.s, berkata: Seekor unta milik seorang lelaki Madinah, apabila ia lanjut usia, seorang daripada mereka berkata: Bagaimana jika kita menyembelihnya? Unta  itu kemudian datang kepada Rasulullah s.a.w. dan mulai mengeluarkan suaranya. Lantas Rasulullah s.a.w mengutus kepada pemiliknya. Apabila beliau datang, maka Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Unta ini telah menyangka bahawa ia pada usia muda sehingga lanjut usianya telah bekerja keras untuk kamu, kemudian kamu mahu menyembelihnya pula, pemiliknya berkata:Ia benar, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu menyembelihnya, maka tinggalkannya dan tinggalkannya[17].

       Daripadanya, daripada al-‘Abbas bin Ma‘ruf, daripada Abu al-Qasim Abd al-Rahman bin Hammad al-Kufi, daripada Muhammad bin al-Hasan bin Abu Khalid, berkata: Aku telah keluar  bersama Ali bin al-Husain a.s ke Makkah. Apabila kami telah memasuki al-Abwa’, beliau masih di atas kenderaannya dan aku terus berjalan. Beliau a.s telah terserempak dengan seekor kambing jantan, tiba-tiba seekor kambing betina telah tertinggal dari kumpulan kambing jantan, ia telah mengembek dan berpaling, tiba-tiba seekor anak kambing betina  telah mengembek untuk mendapatinya, manakala anak kambing betina berdiri, maka kambing betina mengembek, lalu diikuti oleh anak kambing betina itu, maka Ali bin al-Husain a.s berkata: Wahai Abd al-Aziz, apakah yang telah dikatakan oleh kambing betina (al-Na‘jatu) itu? Beliau berkata: Tidak, demi Allah, aku tidak mengetahuinya Beliau berkata: Sesungguhnya ia berkata: Pergilah bersama-sama kambing jantan itu, kerana saudara betinanya pada tahun pertamanya telah tertinggal pada tempat ini, lalu ia telah dimakan oleh serigala (fa-akala-ha al-Dhi’bu)[18].

       Ahmad bin Muhammad bin Isa dan Ahmad bin al-Hasan bin Fadhdhal daripada Abdullah bin Bakir, daripada sebahagian daripada  sahabat kami, daripada Abu Abdullah a.s, berkata: Sesungguhnya beberapa ekor serigala telah datang kepada Rasulullah s.a.w kerana menuntut rezekinya (makanannya). Maka beliau s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya: Jika kamu setuju maka aku akan  menyelesaikan hal ini dengan cara kamu menyempurnakan tuntutan serigala ini. Dengan itu, ia tidak akan memusnahkan harta kamu walaupun sedikit. Tetapi jika kamu enggan memenuhinya maka ia akan menggangu kamu. Oleh itu, kamu hendaklah mengawal harta kamu? Sahabat berkata: Malah kami enggan sekalipun ia akan menggangu kami sebagaimana yang ia telah lakukan. Kami akan mengawalnya menurut apa yang kami mampu[19].

       Ali bin Muhammad bin al-Hijjal, daripada al-Hasan bin al-Husain al-Lu’lu’, daripada Muhammad bin Sinan, daripada Abu al-Jarud, daripada Ali bin Thabit, daripada Jabir bin Abdullah al-Ansari berkata: Apabila kami duduk bersama-sama Rasulullah s.a.w, tiba-tiba seekor unta datang berlutut di hadapannya dan mengeluarkan suaranya, serta berlinang air matanya, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Siapakah yang memiliki unta ini? Ada orang berkata: Ia adalah milik seorang Ansar, maka beliau berkata:  Ia milik aku, lalu ia diberikan kepadanya.

       Beliau s.a.w bersabda: Unta anda mengadu dan berkata sesuatu, pemiliknya berkata: Apakah yang dikatakannya? Ia berkata: Anda sentiasa menekannya supaya bekerja keras dan membuatnya lapar, beliau berkata: Wahai Rasulullah s.a.w, kami akan meringankannya dari kerjanya dan akan mengenyangkannya. Ia benar, wahai Rasulullah s.a.w, kami tidak memiliki unta yang lain selain daripadanya dan aku adalah seorang  lelaki yang banyak tanggungan. Beliau s.a.w bersabda: Ia berkata kepada anda: Perintahlah aku supaya bekerja keras dan kenyangkanlah aku, pemiliknya berkata: Ya, wahai Rasulullah s.a.w, kami akan meringankannya dari kerjanya dan akan mengenyangkannya (nukhaffifu ‘an-hu wa nusybi‘-hu), maka unta itu pun berdiri dan pergi.
       Dengan sanad-sanad ini, daripada Jabir bin Abdullah berkata: Pada suatu hari kami telah berada di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba seekor unta datang sehingga berlutut di hadapan Rasulullah s.a.w, mengeluarkan suaranya dan air matanya mengalir. Beliau bersabda: Siapakah pemilik unta ini? Mereka berkata: Milik polan. Beliau bersabda: Bawa ia datang ke sini, lalu ia datang, beliau bersabda kepadanya: Unta kamu  menyangka bahawa kamu memeliharanya pada masa kecil, kemudian pada masa besar, kamu memaksanya bekerja, kemudian kamu mahu menyembelihnya pula, maka beliau berkata kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah s.a.w, sesungguhnya kami ada walimah, maka kami mahu menyembelihnya pada walimah tersebut. Beliau  bersabda: Tinggalkannya untuk aku, tinggalkannya untuk aku, lalu Rasulullah s.a.w melepaskannya (i‘taqa-hu). Kemudian ia digemukkan sehingga  kulitnya tidak mempunyai ruang lagi.

       Al-Hasan bin Musa al-Khasysyab, daripada Ali bin Hassan, daripada Abd al-Rahman bin Kathir, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Rasulullah s.a.w pada suatu hari duduk di kalangan para sahabatnya, tiba-tiba seekor unta telah mendatanginya sehingga ia telah memukul bahagian depan tengkuknya (jirani-hi) ke bumi dan mengeluarkan suara, maka seorang lelaki di kalangan sahabat berkata: Wahai Rasulullah, adakah unta ini sujud kepada anda? Jika ia sujud kepada anda, maka kami adalah berhak untuk melakukannya, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak, malah sujudlah kepada Allah.

       Sesungguhnya unta ini telah datang kerana ia mengadu tentang pemilik-pemiliknya; mereka telah memeliharanya di masa  kecil dan menggunakannya apabila ia besar dan apabila umurnya meningkat, mereka mahu menyembelihnya pula, lantaran itu, ia telah mengadu perkara tersebut. Maka seorang lelaki di kalangan sahabat telah mengingkari kata-kata Rasulullah s.a.w, lalu Abu Basir berkata: Adakah lelaki itu ‘Umar? Beliau berkata: Anda yang berkata sedemikian. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Jika aku telah memerintahkan sesuatu  supaya ia sujud kepada sesuatu, nescaya aku telah memerintahkan seorang isteri supaya sujud kepada suaminya, kemudian Abu Abdullah a.s mulai berkata: Tiga binatang yang telah bercakap pada masa Rasulullah s.a.w: Unta, serigala dan lembu betina. Adapun unta, maka percakapannya anda telah mendengarnya. Adapun serigala, maka ia telah datang kepada Rasulullah s.a.w, lalu mengadu tentang kelaparannya.

       Lantaran itu, beliau telah menyeru para sahabatnya. Beliau s.a.w. telah bercakap kepada mereka mengenai keperluan serigala itu, tetapi sahabat kedekut memenuhi keperluannya(fa-syahhu). Kemudian serigala itu datang pada kali kedua. Lalu ia telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w. Beliau s.a.w. menyeru sahabatanya. Mereka juga kedekut memenuhi keperluan serigala itu. Kemudian ia telah datang pada kali ketiga, lalu mengadu. Maka beliau s.a.w. menyeru sahabatnya. Tetapi mereka kedekut untuk memenuhi keperluannya. Kemudian Rasulullah s.a.w menyeru pemilik-pemilik kambing dan bersabda sebanyak tiga kali: Berilah sesuatu kepada serigala. Tetapi mereka juga kedekut memenuhi tuntutan itu. Maka beliau  s.a.w. bersabda kepada serigala: Ambillah. Adapun lembu betina, kerana ia telah berkata  kepada Nabi s.a.w di kebun kurma Bani Salim, maka ia berkata: Wahai ali Dhuraih, amalan yang berjaya, di dalam bahasa Arab yang fasih; tiada tuhan melainkan Allah, Tuhan semesta alam dan  Muhammad adalah Rasulullah, serta Ali adalah penghulu para wasi, selawat Allah ke atas mereka berdua.

       Ya‘qub bin Yazid, daripada Abd al-Hamid bin Salim al-‘Attar, daripada Harun bin Kharijah atau orang yang selain daripadanya, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Seekor unta betina telah berkata: Mereka telah mengejar Nabi s.a.w (nafaru bi-al-Nabi) pada suatu malam: Tidak, demi Allah, aku sentiasa stabil jika aku dipotong kepada beberapa keratan.

       Abdullah bin Muhammad, daripada Muhammad bin Ibrahim berkata: Basyir dan Ibrahim bin Muhammad telah memberitahuku, daripada bapa mereka berdua, daripada Hamraan bin A‘yan, daripada Abu Muhammad Ali bin al-Husain a.s berkata: Beliau telah duduk bersama-sama sekumpulan para sahabatnya, tiba-tiba seekor kijang betina telah datang kepadanya, lalu ia telah menggerakkan ekornya dan telah memukul dengan dua tangannya, maka Abu Muhammad a.s berkata: Adakah kamu mengetahui apakah yang dikatakan oleh kijang betina ini? Mereka berkata: Tidak, beliau berkata: Kijang betina ini menyangka bahawa polan bin polan adalah seorang lelaki daripada Quraisy yang telah memburu anaknya yang baru berjalan pada hari ini.

       Sesungguhnya ia telah datang pada hari ini supaya aku meminta pemburu meletakkan anak kecilnya (al-Khasyfu) di hadapannya bagi menyusukannya. Kemudian Abu Muhammad berkata kepada para sahabatnya: Berdirilah bersama kami, lalu mereka berdiri. Kemudian mereka membawa pemburu itu datang, lalu berkata kepada Abu Muhammad: Bapa aku dan ibu aku menjadi tebusan anda, apakah yang telah membuat anda datang ke mari? Beliau berkata: Aku meminta dengan hak aku ke atas anda melainkan anda mengeluarkan kepada aku anak kijang yang anda telah memburunya pada hari ini, lalu beliau mengeluarkannya dan meletakkannya di hadapan ibunya, lantas ia menyusukannya.
       Ali bin al-Husain a.s berkata: Aku memohon anda supaya memberi anak kijang itu kepada kami, beliau berkata: Aku telah melakukannya, lalu beliau telah menghantar anak kijang itu bersama ibunya, kemudian kijang betina itu pergi sambil menggerakkan ekornya, Ali bin al-Husain berkata: Adakah kamu mengetahui apakah yang dikatakan oleh kijang betina itu? Mereka berkata: Tidak, beliau a.s berkata: Ia berkata:Allah akan kembalikan ke atas kamu setiap yang hilang daripada kamu dan Dia mengampuni Ali bin al-Husain sebagaimana beliau telah mengembalikan kepadaku anakku[20].

       Muhammad bin al-Husain bin Abu al-Khattab, daripada Abd al-Rahman bin Abu Hasyim, daripada Abu Sulaiman Salim bin Mukarram al-Jamal, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Ali bin al-Husain a.s bersama-sama para sahabatnya di dalam perjalanan ke Makkah, tiba-tiba seekor serigala telah melalui di hadapannya, dan para sahabatnya sedang makan, Ali bin al-Husain a.s berkata kepada mereka: Adakah kamu akan memberi janji kepada Allah bahawa kamu tidak akan mengancam serigala ini sehingga aku menyerunya datang kepada kita? Mereka telah berjanji kepadanya, maka beliau berkata: Wahai serigala, datanglah, lantas serigala itu datang berlutut di hadapannya

       Kemudian beliau mencampakkan makanan kepadanya, lalu ia berpaling untuk memakannya, lantas beliau berkata kepada mereka: Adakah kamu akan memberi kepada aku janji daripada Allah bahawa kamu tidak mengancamnya dan aku akan menyerunya supaya ia datang lagi, mereka telah memberi janji kepadanya, lalu beliau telah menyerunya, kemudian ia datang, seorang daripada para sahabatnya telah bermasam muka, lalu Ali bin al-Husain a.s berkata: Siapakah di kalangan kamu yang telah menyalahi janji aku? Maka seorang lelaki di kalangan mereka berkata: Wahai anak Rasulullah s.a.w, akulah  yang telah bermasam muka, tetapi aku tidak memahaminya aku memohon keampunan Allah, lalu beliau a.s diam[21].

       Ahmad bin al-Hasan, daripada Ahmad bin Ibrahim, daripada Abdullah bin Bakir, daripada ‘Umar bin Taubat, daripada Sulaiman bin Khalid berkata: Manakala Abu Abdullah al-Balkhi bersama-sama Abu Abdullah a.s, kami telah berada di sisinya, tiba-tiba seekor kijang jantan telah menggerakkan ekornya, maka Abu Abdullah a.s berkata kepadanya: Lakukanlah jika Allah kehendaki, kemudian datanglah kepada kami (if‘al in sya’ Allah thumma iqbal ‘alai-na) Maka Abu Abdullah a.s berkata: Adakah kamu mengetahui apakah yang dikatakan oleh kijang jantan itu? Allah, Rasul-Nya dan anak lelaki Rasul-Nya yang lebih mengetahui.

       Beliau berkata: Sesungguhnya ia telah datang kepada aku dan memberitahu aku bahawa sebahagian penduduk Madinah telah mengenakan perangkap kepada kijang betinanya, lalu beliau telah mengambilnya sedangkan ia mempunyai dua ekor anak kecil yang masih tidak dapat berdiri dan tidak mampu mencari makan sendiri. Maka ia telah meminta aku supaya mereka melepaskan kedua-duanya, dan ia telah berjanji kepada aku bahawa apabila ia menyusu kedua-duanya sehingga boleh berdiri dan kuat, maka ia akan memulangkan kedua-duanya kepada mereka, beliau a.s berkata: Aku telah memintanya bersumpah di atas perkara tersebut. Maka kijang jantan itu berkata: Aku bebaskan diri aku daripada wilayah kamu Ahlu l-Bait jika aku tidak melaksanakannya (bari‘-tu min wilayati-kum in lam ufi) dan aku akan melakukannya jika Allah kehendaki (wa ana fa‘ilu dhalika in sya’ Allah). Al-Balkhi berkata kepadanya: Inilah sunnah kepada kamu seperti  sunnah Sulaiman a.s.[22]

       Al-Hasan bin Muhammad al-Qasyani, daripada Abu al-Ahwas Daud bin asad al-Misri, daripada Muhammad bin Jamil berkata: Ahmad bin Harun bin Muwaffaq maula Abu al-Hasan a.s telah memberitahu aku, berkata: Aku telah mendatangi Abu al-Hasan a.s untuk memberi salam kepadanya, maka beliau telah berkata kepada aku: Naiklah(irkab), kami berjalan-jalan mengelilingi harta-hartanya.
       Beliau berkata: Aku telah menaiki binatang tunggangan, lalu aku telah sampai ke tempat simpanan hartanya, aku telah sampai ke tempat pengaliran air  dan di sisinya tanaman yang menghijau. Aku telah duduk sehingga beliau datang dengan menaiki seekor kuda, aku pun berdiri, lalu aku mengucup pahanya dan apabila beliau turun daripada kudanya, aku telah cuba mengambil tali kudanya, tetapi beliau enggan, beliau sendiri yang telah melakukannya. Kemudian beliau telah duduk, dan bertanya kepada aku tentang kedatangan aku pada masa itu waktu maghrib, maka aku telah memberitahu kepadanya bahawa aku telah datang pada waktu asar, kemudian Abu al-Hasan a.s berkata: Tidak dikurniakan kepada Daud dan keluarganya sesuatu melainkan dikurniakan kepada Muhammad, malah keluarga Muhammad lebih banyak (lam yu‘ta Daud wa ali Daud syai’un illa wa qad u‘tia Muhammad wa ali Muhammad aktharu)[23].

       Muhammad bin al-Husain bin Abu al-Khattab, daripada Muhammad bin Ali, daripada Ali bin Muhammad al-Hannat, daripada Muhammad bin Sakin, daripada ‘Umru bin Syamr, daripada Jabir bin Yazid, daripada Abu Ja‘far a.s, berkata: Manakala Ali bin al-Husain a.s bersama-sama para sahabatnya, tiba-tiba seekor kijang betina datang dari padang pasir sehingga ia berdiri dan mengeluarkan suaranya. Seorang daripada sahabatnya berkata: Wahai anak lelaki Rasulullah, apakah yang dikatakan oleh kijang betina ini? Beliau berkata: Seorang Quraisy telah mengambil anak kecilnya (khasyfa-ha) kelmarin dan ia tidak menyusunya semenjak kelmarin. Ali bin al-Husain a.s telah mengutus kepada lelaki tersebut supaya menghantarkannya kepadanya, lalu lelaki itu menghantarkannya kepadanya. Apabila ia melihat anak kecilnya, ia mengeluarkan suaranya dan memukul dengan tangannya, lalu dilepaskannya bersama-sama anak kecilnya. Mereka berkata kepadanya: Wahai anak lelaki Rasulullah, apakah yang dikatakan olehnya? Beliau berkata: Ia telah menyeru kepada Allah untuk kamu, dan membalas kepada kamu kebaikan[24].

       Al-Sanadi bin Muhammad al-Bazzaz, daripada Abban bin ‘Uthman, daripada ‘Umru bin Sahban, daripada Abdullah bin al-Fadhl, daripada Jabir bin Abdullah berkata: Apabila Rasulullah s.a.w pulang daripada peperangan Bani Tha‘labah bin Ghatafan, tiba-tiba seekor unta datang kepada Rasulullah s.a.w dari celah-celah rumah, lalu meletakkan bahagian tengkuknya ke tanah, kemudian mengeluarkan suaranya. Rasulullah s.a.w bersabda: Adakah kamu mengetahui apakah yang dikatakan oleh unta ini? Mereka berkata: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui, beliau bersabda: Sesungguhnya ia telah memberitahu aku bahawa pemiliknya telah menggunakannya sehingga lanjut usia. Sekarang mahu menyembelihnya, dan menjual dagingnya pula.

       Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Jabir, pergi bersama-samanya kepada pemiliknya, dan datang bersama-samanya, aku berkata: Aku tidak mengetahui pemiliknya, beliau bersabda: Ia akan menunjukkannya kepada anda, beliau berkata: Aku telah keluar bersama-samanya sehingga aku berakhir di perkampungan Bani Waqif. Lalu ia memasuki di celah-celah lorong, tiba-tiba aku dapati aku berada di dalam satu majlis, mereka berkata: Wahai Jabir, kenapakah anda telah meninggalkan Rasulullah s.a.w, dan bagaimana anda telah meninggalkan Muslimin? Aku berkata: Mereka berada di dalam keadaan baik, tetapi siapakah di kalangan kamu pemilik unta ini?              
       Seorang daripada mereka berkata: Aku, maka aku berkata: Sahutlah seruan Rasulullah s.a.w Beliau berkata: Kenapa dengan aku? Unta anda telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w, maka  aku, unta dan pemiliknya datang kepada Rasulullah s.a.w, lalu beliau bersabda kepadanya: Sesungguhnya unta anda telah memberitahu aku bahawa anda telah menggunakannya di dalam pekerjaan anda sehingga lanjut usianya, dan sekarang anda mahu menyembelihnya dan menjual dagingnya pula, lelaki itu berkata: Ia benar, wahai Rasulullah, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Juallah ia kepada aku, lelaki itu berkata: Ia adalah untuk anda wahai Rasulullah, beliau berkata: Malah juallah ia kepada aku, maka Rasulullah s.a.w telah membelinya daripadanya. Kemudian beliau telah memukul di bahagian mukanya, kemudian beliau meninggalkannya hidup di luar Madinah.

       Muhammad bin al-Husain bin Abu al-Khattab, daripada Musa bin Sa‘dan, daripada Abdullah bin al-Qasim al-Hadhrami, daripada Hisyam bin Salim al-Jawaliqi, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Aku telah berada bersama-sama Abu Ja‘far a.s di antara Makkah dan Madinah. Aku menjadi tawanan di atas keldai aku sementara beliau di atas baghal betinanya, tiba-tiba seekor serigala datang dari puncak bukit sehingga berakhir kepada Abu Ja‘far a.s, lalu beliau menghentikan baghalnya, kemudian serigala telah menghampirinya sehingga beliau telah meletakkan tangannya di atas pelana keldainya, dan memanjangkan tengkuknya kepada telinganya, lalu beliau telah mendekatkan telinganya beberapa ketika.

       Kemudian beliau berkata kepadanya: Pergilah,  aku telah melakukannya. Aku berkata kepadanya: Aku telah melihat perkara yang pelik, beliau berkata: Anda mengetahui apakah yang  dikatakan olehnya? Aku berkata: Allah, Rasul-Nya, dan anak lelaki Rasul-Nya lebih mengetahui. Beliau berkata: Serigala berkata: Sesungguhnya isteriku di atas bukit itu menghadapi kesukaran beranak, lantaran itu berdoalah kepada Allah supaya membebaskannya  dan janganlah Dia membiarkan keturunan aku menguasai ke atas seorang pun di kalangan syi‘ah kamu, maka aku berkata: Aku telah melakukannya[25].
       Ahmad bin Muhammad bin Isa, dan Ahmad bin al-Hasan bin Ali bin Fadhdhal, daripada Abdullah bin Bakir, daripada Zararah berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s berkata: Ali bin al-Husain a.s  telah memiliki unta betina di mana beliau telah menaikinya di dalam mengerjakan haji sebanyak dua puluh dua kali haji, ia tidak pernah menyerang sesiapa. Beliau berkata: Ia tidak  datang kepadaku selepas kematiannya melainkan sebahagian Mawali telah mendatangi aku. Mereka berkata: Sesungguhnya unta betina telah keluar, lalu mendatangi kubur Ali bin al-Husain a.s, kemudian ia berlutut di atasnya, dan memasukkan bahagian tengkuknya sambil mengeluarkan suaranya, aku berkata: Dapatkannya, dapatkannya, bawakan ia kepada aku sebelum  mereka   mengetahuinya atau melihatnya. Kemudian Abu Ja‘far a.s berkata: Unta betina itu tidak pernah melihat kuburnya sebelumnya[26].

       Daripadanya, daripada al-Husain bin Sa‘id dan Muhammad bin Khalid al-Barqi, daripada Muhammad bin abu ‘Umair daripada Hafs bin al-Bukhturi  daripada mereka yang telah menyebutnya, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Manakala Ali bin al-Husan a.s telah mati, seekor unta betina miliknya telah datang dari tempat ternakannya ke kuburnya, lalu memukul kuburnya dengan bahagian tengkuknya, dan berguling di atasnya. Sesungguhnya bapa aku telah pergi haji dan umrah dengan menaikinya, dan ia tidak pernah menyerang sesiapa[27].



[1] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  vii,  288
[2] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  vii,  292
[3] Ibid
[4] Ibid
[5] Ibid
[6] Ibid
[7] Ibid
[8] Selain daripada bahasa  atau bangsa Arab
[9] Al-Majlisi, Bihar al-Anwar,  vii,  321
[10] Ibid
[11] Ibid
[12] Al-Majlisi, Bihar al-Anwar,  vii, 319
[13] Ibid
[14] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  vii,  415
[15] Ibid
[16] Ibid
[17] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  xiv,  660
[18] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar, xi, 8
[19] Ibid
[20] Al-Majlisi, Bihar al-Anwar,  xi, 9
[21] Ibid, xiv,  749
[22] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar, vii,  415
[23] Ibid
[24] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  xi,  9
[25] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  xi,  67
[26] Ibid, vii,  416
[27] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  xiv,  14

No comments:

Post a Comment