Thursday, July 14, 2011

Dialog Mukmin al-Taq Bersama Abu Hanifah Tentang Talak


     
                                           
Ya‘qub bin Yazid al-Baghdadi daripada Muhammad bin Abu Umair berkata: Abu Hanifah telah berkata kepada Abu Ja‘far Mukmin al-Taq: Apakah pendapat anda tentang talak tiga? Mukmin al-Taq berkata: Adakah di atas dasar menyalahi kita dan sunnah?  Abu Hanifah berkata: Ya. Mukmin al-Taq berkata: Ianya tidak boleh (la yajuzu). Abu Hanifah berkata: Kenapa tidak boleh? Mukmin al-Taq berkata: Kerana pernikahan adalah akad yang dilakukan berdasar ketaatan. Justeru ia tidak dibolehkan dengan maksiat. Jika tidak boleh pernikahan dilakukan di pihak maksiat. Maka talak juga tidak boleh dilakukan di pihak maksiat. Jika membolehkan ianya berlaku dengan maksiat, bererti menghina Allah a.w tentang apa yang diperintahkannya dan menghina Rasul-Nya tentang apa yang telah disunatkannya, kerana melakukan perkara yang menyalahi kedua-duanya, tidak ada erti bagi kedua-duanya, kerana  ternyata di dalam kata-kata kami: Siapa yang menyalahi kedua-duanya, maka ia dikembalikan kepada kedua-duanya di dalam keadaan hina (man syazza   ‘an-huma rudda ilai-hima wa huwa saghirun) .


Abu Hanifah berkata: Para ulama telah  mengharuskannya. Mukmin al-Taq berkata: Sejahat-jahat ulama adalah ulama yang telah membolehkan bagi hamba beramal dengan  maksiat dan mengamalkan sunnah syaitan di dalam agama Allah. Tidak ada yang lebih alim daripada kitab dan sunnah, kenapa kamu membolehkan bagi hamba Allah menghimpunkan apa yang telah dipisahkan Allah tentang talak tiga pada satu masa sedangkan kamu tidak membolehkan baginya menghimpunkan apa yang telah dipisahkan oleh Allah tentang solat yang lima? Pada membolehkan sedemikian, adalah suatu pembekuan terhadap kitab Allah dan merosakkan sunnah. Allah telah berfirman di dalam Surah al-Talaq (65):1 “Sesiapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri”  

   
Justeru orang yang melanggar hukum-hukum Allah adalah dengan memisahkannya.


Apakah pendapat anda, wahai Abu Hanifah, tentang seorang lelaki yang telah menceraikan isterinya menurut sunnah syaitan? Adakah harus baginya talak tersebut?


Abu Hanifah berkata: Dia telah menyalahi sunnah dan isterinya tercerai secara ba’in, dan dia telah menderhaka  Tuhannya.


Mukmin al-Taq berkata: Ia sebagaimana kami telah katakan bahawa apabila dia telah menyalahi sunnah Allah, maka dia telah beramal dengan sunnah syaitan, siapa yang berjalan di atas sunnahnya (syaitan), maka dia adalah di atas agamanya dan tidak ada bahagiannya lagi di dalam agama Allah.


Abu Hanifah berkata: Ini ‘Umar bin al-Khattab. Dia adalah imam muslimin yang terbaik berkata: Sesungguhnya Allah s.w.t telah menjadikan bagi kamu talak berperingkat-peringkat, tetapi kamu telah meminta ia dipercepatkannya, maka kami telah membolehkannya untuk kamu menurut apa yang kamu kehendaki[1].


Mukmin al-Taq berkata: Sesungguhnya  ‘Umar tidak mengetahui hukum-hukum agama. Abu Hanifah berkata: Bagaimana begitu? Mukmin al-Taq berkata: Apa yang aku katakan mengenainya, janganlah anda mengingkarinya. Adapun pertamanya ‘Umar berkata: Seorang lelaki di dalam junub tidak boleh mengerjakan solat sehingga dia mendapati air sekalipun setahun. Sedangkan umat menyalahi  pendapatnya.


Abu Kaif al ‘Aidi datang kepadanya dan berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Aku telah menghilangkan diri, kemudian aku telah kembali, tetapi aku dapati isteri aku telah berkahwin? Umar berkata: Jika dia (suaminya) telah melakukan persetubuhan dengannya, maka dia lebih berhak dengannya. Dan jika dia belum melakukan persetubuhan dengannya, maka anda adalah lebih berhak dengannya. Ini adalah hukum yang dia tidak ketahui sedangkan umat menyalahinya.


Umar juga memberi hukuman tentang seorang lelaki yang telah menghilang diri daripada keluarganya (ghaba) selama empat tahun. Dalam hal ini dia mengatakan isterinya itu boleh berkahwin jika dia mahu, sedangkan umat menyalahinya dan berpegang bahawa isterinya itu tidak boleh berkahwin selama-lamanya sehingga terbukti suaminya telah mati atau telah menjadi kafir atau telah menceraikannya.


Umar juga telah membunuh tujuh orang daripada penduduk Yaman dengan seorang lelaki dan berkata: Jika penduduk San‘a’ tidak diambil kira, nescaya aku membunuh mereka semua dengannya sedangkan umat menyalahinya.


Dibawa kepada ‘Umar seorang perempuan yang hamil. Pembawa telah memberi penyaksian bahawa perempuan itu telah melakukan zina. Umar memerintahkan supaya ia direjam. Ali a.s berkata: Jika anda ada jalan ke atasnya, maka apakah jalan anda ke atas kandungannya? Umar berkata: Jika tidak ada Ali, nescaya binasalah ‘Umar.


Seorang perempuan gila  telah berzina dan dibawa kepada Umar. Dia memerintahkan supaya perempuan gila itu direjam. Ali a.s berkata: Tidakkah anda mengetahui bahawa al-Qalam (taklif) diangkat daripadanya sehingga ia sembuh. Maka ‘Umar berkata: Jika tidak ada Ali, nescaya binasalah  ‘Umar.


Umar tidak mengetahui al-Kalalah, maka dia bertanya Nabi s.a.w tentangnya. Baginda s.a.w. telah memberitahunya, tetapi ‘Umar tidak  memahaminya. Selepas itu Umar memerintahkan anak perempuannya bertanya Nabi s.a.w mengenai al-Kalalah. Lalu  anaknya bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w.   Baginda s.a.w. berkata: Bapa anda telah memerintahkan anda supaya bertanya aku? Dia menjawab: Ya. Baginda s.a.w. berkata: Bapa anda tidak akan memahaminya sehingga dia mati. Justeru siapa yang tidak mengetahui al-Kalalah, maka bagaimana dia mengetahui hukum-hukum agama? [2]          


[1] Muslim, Sahih, I, 574, Ibn Hanbal,  al-Musnad,  I, 31, al-Hakim, al-Mustadrak, ii,  196,  al-Qurtubi,  al-Tafsir,  iii,  130
[2] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  iv,  144
(DIKUTIP DARI AL IKHTISAS)

No comments:

Post a Comment