Wednesday, July 6, 2011

Sekiranya Ilmu Mereka Tidak Bertambah, Nescaya Mereka telah kehabisan Ilmu


             
       Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Ahmad bin Muhammad bin Abu Nasr, daripada Tha‘labah bin Maimun, daripada Zararah berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s berkata: Sekiranya ilmu kami tidak bertambah, nescaya kami kehabisan ilmu (Laula anna nazdadu la-anfad-na) Aku berkata: Kamu bertambah sesuatu (ilmu) yang tidak diketahui oleh Rasulullah s.a.w? Beliau berkata: Sesungguhnya apabila berlaku sedemikian, ia dibentangkan  ke atas Rasulullah s.a.w, kemudian ke atas para imam a.s[1].
       Daripadanya, daripada al-Hasan bin Ali bin Fadhdhal, daripada Muhammad bin Rabi‘, daripada Abdullah bin Bakir, daripada Abu Basir berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Sekiranya ilmu kami tidak bertambah, nescaya kami kehabisan ilmu, aku berkata: Kamu bertambah sesuatu (ilmu) yang tidak ada di sisi Rasulullah s.a.w (tazdadun syai’an laisa ‘anda rasulillah)? Beliau berkata: Apabila begitu, ia telah mendatangi(ata) Rasulullah s.a.w, lalu memberitahunya, kemudian mendatangi Ali, lalu ia memberitahunya (fa-akhbara-hu), kemudian mendatangi seorang selepas seorang sehingga berakhir kepada Sahib al-Amr[2].
       Musa bin Ja‘far bin Muhammad, daripada bapanya Ja‘far bin Muhammad bin Abdullah, daripada Muhammad bin Isa bin Abdullah al-Asy‘ari, daripada Muhammad bin Sulaiman al-Dailami hamba Abu Abdullah a.s, daripada bapanya Sulaiman, berkata: Aku telah bertanya kepada Abu Abdullah a.s, maka aku berkata kepadanya: Aku telah mendengar anda berkata bukan sekali: Jika ilmu kami tidak bertambah, nescaya kami kehabisan ilmu, beliau berkata: Adapun tentang halal dan haram, maka sesungguhnya Allah telah menerangkannya kepada Nabi-Nya dengan sempurna. Justeru seorang imam tidak ditambah ilmunya tentang halal, dan haram.
       Aku berkata kepadanya: Apakah tambahan itu? Beliau berkata: Semua perkara selain daripada halal dan haram, aku berkata: Kamu menambah sesuatu yang tersembunyi ke atas Rasulullah s.a.w. dan beliau tidak mengetahuinya (tazdadun syai’an yukhfa ‘ala rasulillah s.a.w  wa la ya‘lamu-hu)? Beliau berkata: Tidak, sesungguhnya ilmu keluar dari sisi Allah, maka malaikat membawanya kepada Rasulullah s.a.w, dan berkata: Wahai Muhammad, Tuhan anda memerintahkan anda dengan perkara tertentu, maka beliau berkata: Pergilah  kepada Ali, lalu malaikat membawanya kepada Ali a.s, Ali a.s berkata: Pergilah kepada al-Hasan, demikianlah malaikat membawanya kepada seorang selepas seorang sehingga ia datang kepada kami. Mustahil imam mengetahui sesuatu yang tidak diketahui oleh Rasulullah s.a.w dan imam sebelumnya (wa muhal an ya‘lama al-Imamu syaian lam ya‘lam-hu rasulullah s.aw  wa al-Imam min qabli-hi).
       Muhammad bin Isa bin Ubaid, daripada Yunus bin Abd al-Rahman, daripada sebahagian para sahabatnya, daripada Abu Abdullah a.s, berkata: Tiada sesuatu yang keluar dari sisi Allah a.w sehingga ia bermula dengan Rasulullah s.a.w, kemudian dengan Ali a.s, kemudian dengan seorang selepas seorang supaya yang akhir kami tidaklah lebih mengetahui daripada yang pertama kami (laisa syai’un yakhruju min  ‘indi l-Lahi a.w hatta yabda’u bi-rasulillah s.a.w thumma bi- ali a.s thumma bi-wahidin wahidin li-kaila yakuna akhiru-na a‘lamu min awwali-na).
       Muhammad bin al-Husain bin Abu al-Khattab, daripada Uthman bin Isa, daripada Sama‘ah bin Mihran, daripada Abu Abdullah a.s, berkata: Sesungguhnya Allah mempunyai dua ilmu; ilmu yang Dia telah memberitahu kepada para malaikat-Nya (‘ilman azhara ‘alai-hi malaikata-hu), para rasul-Nya, dan para nabi-Nya. Semua itu kami telah mengetahuinya (qad ‘alimna-hu), dan ilmu yang Dia tidak memberitahu kepada sesiapa (‘ilman ista’thara bi-hi), tetapi apabila terserlah bagi-Nya sesuatu daripadanya(bada la-hu fi syai’in min-hu), maka Dia memberitahu kami perkara tersebut (a‘lamana dhalika), dan Dia membentangkannya ke atas para imam sebelum kami (wa ‘arada ‘ala al-A’immati al-ladhina kanu qabli-na).            
       Muhammad bin Isa bin ‘Ubaid, daripada Yunus bin Abd al-Rahman, daripada Hisyam bin Salim, daripada Muhammad bin Muslim, berkata: Aku berkata kepada Abu Abdullah a.s: Percakapan yang aku telah mendengarnya daripada Abu al-Khattab, maka beliau berkata: Bentangkannya kepada aku, maka aku berkata: Beliau berkata: Sesungguhnya kamu mengetahui halal dan haram, dan kata pemutus di antara orang ramai, maka beliau diam. Apabila aku mahu berdiri, beliau mengambil tanganku, dan berkata: Wahai Muhammad, demikianlah ilmu al-Qur’an, halal dan haram menjadi sebahagian ilmu yang berlaku pada malam dan siang (yahduthu fi al-Laili wa al-Nahar)[3].
       Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada ‘Umar bin Abd al- ‘Aziz, daripada seorang lelaki, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada Abu Hamzah al-Thumali, daripada Ali bin al-Husain a.s, berkata: Aku berkata kepadanya: Setiap apa yang berada di sisi Rasulullah s.a.w, maka sesungguhnya ia telah diberikan kepada Amir al-Mukminin a.s (kullu ma kana ‘anda rasulillah s.a.w fa-qad  u‘ti-hi amir al-Mu’minin a.s), kemudian al-Hasan a.s selepas Amir al-Mukminin, kemudian al-Husain a.s selepasnya.Kemudian setiap imam sehingga berlakunya Kiamat berserta pertambahan (al-Ziyadah) yang berlaku pada setiap tahun, dan pada setiap bulan? Maka beliau berkata: Ya, demi Allah, pada setiap masa[4].
       Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Husain bin Sa‘id, dan Muhammad bin Khalid al-Barqi, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Yahya bin Imran al-Halab, daripada al-Harith bin al-Mughirah al-Nasri, berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Kamu berhati-hatilah di dalam  percakapan, kerana kami mengetahuinya[5].
       Muhammad bin Isa bin ‘Ubaid, daripada Abu Abdullah Zakaria bin Muhammad al-Mu’min, daripada al-Hakam bin Aiman, daripada al-Harith bin al-Mughirah, dan Abu Bakr Muhammad al-Hadhrami, daripada Abu Abdullah a.s, berkata: Beliau berkata: Tidak berlaku (sesuatu) sebelum kamu melainkan kami telah mengetahui mengenainya (ma yahduthu qabla-kum illa ‘alim-na bi-hi). Aku berkata: Bagaimana begitu? Beliau berkata: “Seorang penunggang” datang memberitahu kami mengenainya (ya’ti-na  bi-hi  rakibun yadhribu).
       Abu al-Hasan Musa bin Ja‘far bin Wahab al-Baghdadi, daripada   Ali bin Ma‘bad, daripada Ali bin  al-Hasan bin Ribat, daripada Ali bin ‘Abd al-‘Aziz, daripada bapanya, berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Manakala Abd al-Malik bin Marwan dilantik menjadi khalifah dengan aman, beliau menulis  surat kepada al-Hajjaj  dengan tulisannya. Beliau menulis padanya: Bismillahi r-Rahmani r-Rahim, daripada Abdullah: Abd al-Malik bin Marwan kepada al-Hajjaj bin Yusuf: Amma ba‘d.             Adapun kemudian daripada itu, cukuplah darah Bani Abd al-Muttalib, kerana aku telah melihat keluarga Abu Sufyan manakala mereka terjebak di dalamnya, mereka tidak dapat bertahan lama, wassalam.
       Beliau telah menulis surat ini secara rahsia, tidak diketahui oleh seorang pun. Beliau mengirimnya melalui pos, berita ini telah sampai kepada Ali bin al-Husain a.s pada masa itu juga, lalu beliau memberitahu kepada Abd al-Malik bahawa masa kerajaannya ditambah sedikit, kerana beliau telah menghentikan kezaliman terhadap Bani Hasyim, beliau telah memerintahkan supaya  ditulis kepada Abd al-Malik, dan memberitahunya bahawa Rasulullah s.a.w telah datang kepadanya di dalam tidurnya memberitahunya akan perkara tersebut, Ali bin al-Husain a.s telah menulis kepada Abd al-Malik tentang perkara tersebut[6].
       Ahmad bin Muhammad bin Isa, dan Muhammad bin Ismail bin Isa, daripada Ali bin al-Hakam, daripada ‘Urwah ibn Musa al-Ja‘fi, berkata: Pada suatu hari Abu Abdullah a.s telah berkata kepada kami, dan kami sedang bercakap-cakap di sisinya: Pada hari ini mata Hisyam bin Abd al-Malik telah pecah di dalam kuburnya, kami berkata: Bilakah beliau mati? Beliau berkata: Pada hari yang ketiga, maka cukuplah bagi kami kematiannya (fa-hasbu-na mautu-hu). Kami telah meminta perkara itu, maka ia telah berlaku.

                       

Bumi Dilipatkan Untuk Mereka A.S           

            
       Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Yusuf bin ‘Umairah, daripada Daud bin Furqad, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya seorang lelaki di kalangan kami telah mengerjakan solat ‘atamah (satu pertiga malam) di Madinah dan beliau telah datang kepada kaum Musa di dalam satu urusan di mana mereka telah bertengkar mengenainya di kalangan mereka. Dan beliau kembali pada malamnya, lalu mengerjakan solat al-Ghadat (pagi) di Madinah (Inna rajulan minna salla al-‘Atamata bi al-Madinati wa ata qauma musa fi amrin fa-tasyajaru fi-hi fi-ma baina-hum wa ‘ada min lailati-hi fa-salla al-Ghadata bi al-Madinati )[7].
       Ali bin Ismail bin Isa daripada Muhammad bin  ‘Umru bin Sa‘id al-Zayyat, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada Abu Hamzah al-Thumali, daripada Jabir bin Yazid, berkata: Pada suatu hari aku telah duduk di sisi Abu Ja‘far a.s, lalu beliau berpaling kepadaku, dan berkata: Wahai Jabir, adakah anda mempunyai keldai untuk anda naiki, anda dapat berjalan di antara timur dan barat di dalam satu malam? Aku berkata: Tidak, maka beliau berkata: Aku benar-benar mengetahui seorang lelaki di Madinah yang mempunyai keldai yang beliau naiki, lalu beliau datang ke timur dan barat di dalam satu malam (Inni la-a‘rifu rajulan bi al-Madinati la-hu himarun yarkabu-hu fa-ya’ti al-Masyriqa wa al-Maghriba fi lailatin )[8].
       Abdullah bin ‘Amir bin Sa‘id, daripada al-Rabi‘, daripada Ja‘far bin Basyir al-‘Ajali, daripada Yunus bin Ya‘qub, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya seorang lelaki daripada kami telah datang kepada kaum Musa di dalam suatu perkara di kalangan mereka, lalu beliau mendamaikan di antara mereka dan kembali (inna rajulan minna ata qauma musa fi syai’in kana baina-hum fa-aslaha baina-hum wa raja‘a)
       Ahmad bin Muhammad bin Isa, dan Ahmad bin al-Hasan bin Ali bin Fadhdhal, daripada al-Hasan bin Ali bin Fadhdhal, daripada Abdullah bin Bakir, daripada Zararah berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s berkata: Sesungguhnya di Madinah seorang lelaki telah datang di  tempat anak Adam, maka beliau telah melihatnya terpasung (ma‘qulan) bersama-samanya sepuluh orang yang diwakilkan untuk mengawalnya. Pada musim panas mereka menghadapi matahari bersama-samanya, dan menyalakan api di sekelilingnya (wa yuqidun haula-hu al-Nar). Dan pada musim sejuk mereka mencurahkan air sejuk ke atasnya (fa-idha kana al-Syita’ sabbau ‘alai-hi al-Ma’ al-Barid). Setiap kali seorang lelaki daripada sepuluh itu mati, penduduk kampung akan mengeluarkan seorang lelaki bagi menggantikan tempatnya, maka beliau berkata kepadanya: Wahai hamba Allah, apakah cerita anda, kenapakah anda diuji sebegini? Maka beliau berkata: Anda telah bertanya kepada aku tentang satu masalah yang tidak seorang pun bertanya kepada aku sebelum anda, sesungguhnya anda adalah seorang yang paling bodoh (la-ahmaq) atau anda seorang yang paling cerdik (la-akyasu). Maka Aku berkata kepada Abu Ja‘far a.s: Adakah beliau akan diazabkan di akhirat?  Beliau berkata:  Beliau berkata:  Allah akan mengumpulkan ke atasnya azab dunia dan akhirat[9].
       Salmah bin al-Khattab, daripada Sulaiman bin Sama‘ah, dan Abdullah bin Muhammad, daripada Abdullah bin al-Qasim ibn al-Harith, daripada Abu Basir, berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Sesunggunya para wasi dilipatkan bumi untuk mereka dan mereka mengetahui apa yang ada di sisi para sahabat mereka (inna al-Ausiya’  la-tutwa lahum al-Ard wa ya‘lamuna ma ‘anda ashabi-him )[10].
       Ali bin Muhammad al-Hijjal, daripada al-Hasan bin al-Husain al-Lu’lu’, daripada Muhammad bin Sinan, daripada al-‘Ala bin Razin, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya aku benar-benar mengetahui seorang lelaki daripada penduduk Madinah telah diambil dari bahagian bukit kepada golongan yang difirmankan Allah a.w di dalam kitab-Nya Surah al-A‘raf (7 ) :159 “Dan di antara kaum Musa itu terdapat suatu umat yang memberi petunjuk dengan hak dan dengan yang hak itulah mereka menjalankan keadilan, kerana pertengkaran yang telah berlaku di antara mereka, kemudian beliau kembali[11].
       Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Abu Abdullah Muhammad bin Khalid al-Barqi, daripada sebahagian para sahabat kami, daripada Yunus bin Ya‘qub, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya seorang lelaki daripada kami telah mendatangi kaum Musa di dalam suatu perkara di antara mereka, lalu beliau telah mendamaikan di antara mereka, kemudian beliau telah melalui seorang lelaki yang dipasung (bi-rajulin ma‘qul) di atasnya pakaian yang bersih bersertanya sepuluh orang yang diwakilkan untuk mengawalnya di mana pada musim sejuk,mereka mencurahkan air sejuk ke atasnya, dan pada musim panas, mereka menyalakan api di sekelilingnya.
       Apabila seorang daripada sepuluh mati, maka penduduk kampung akan menggantikannya dengan lelaki yang lain, lantaran itu, orang ramai akan mati, dan sepuluh tidak akan berkurangan, maka beliau berkata kepadanya: Apakah urusan anda? Beliau berkata: Jika anda seorang yang alim, maka aku tidak akan memperkenalkan diri aku, al-‘Ala’ berkata: Muhammad bin Muslim berkata: Mereka berpendapat bahawa ia adalah anak lelaki Adam, dan mereka juga berpendapat bahawa ia adalah Abu Ja‘far a.s Sahib hadha al-Amr.
       Muhammad bin al-Husain bin Abu al-Khattab, daripada Muhammad bin Sinan, daripada ‘Ammar bin Marwan, daripada al-Mankhal ibn Jamil, daripada Jabir bin Yazid, daripada Abu Ja‘far a.s berkata: Wahai Jabir, adakah anda memiliki keldai yang akan membawa anda dari timur ke barat di dalam masa satu hari? Aku berkata: Aku telah menjadikan diri aku tebusan, wahai Abu Ja‘far, bagaimanakah untuk aku semua ini? Abu Ja‘far a.s berkata: Itulah Amir al-Mukminin a.s, tidakkah anda mendengar sabda Rasulullah s.a.w  tentang Ali a.s: Demi Allah, anda akan sampai kepada sebab-sebab-nya, dan demi Allah, anda akan menaiki awan (la-tablughanna al-Asbab wa-l-Lahi la-tarkabanna al-Sahab).
       Ali bin Muhammad al-Hijjal, daripada al-Hasan bin al-Husain al-Lu’lu’, daripada Muhammad bin Sinan, daripada Abdullah bin Maskan, daripada Sudair al-Sairafi berkata: Abu Ja‘far a.s berkata: Wahai Abu al-Fadhl, sesungguhnya aku benar-benar mengetahui seorang lelaki daripada  penduduk Madinah diambil sebelum terbitnya matahari, dan sebelum tenggelamnya matahari kepada golongan yang difirmankan oleh Allah s.w.t di dalam Surah al-A‘raf (7) :159 “ Dan di antara kaum Musa itu terdapat suatu umat yang memberi petunjuk dengan hak dan dengan yang hak itulah mereka menjalankan keadilan, kerana pertengkaran yang berlaku di antara mereka. Lalu beliau telah mendamaikan di kalangan mereka (fa-aslaha baina-hum), dan kembali tanpa duduk (wa raja‘a wa lam yaq‘ud). Lantas beliau melalui air kamu, kemudian meminumnya(fa-marra bi-nutfi-kum fa-syariba min-hu), dan terus melalui di pintu anda, lalu mengetuk lingkaran pintu anda (wa marra ‘ala babi-ka fa-daqqa ‘alaika halqata babi-ka), kemudian beliau kembali ke rumahnya tanpa duduk (thumma raja‘a ila manzili-hi wa lam yaq‘ud)[12].
       Ali bin Ismail bin Isa, daripada ‘Umru Sa‘id al-Zayyat, daripada bapanya, daripada Abdullah bin Maskan, daripada Sudair al-Sairafi berkata: Aku telah mendengar Abu Ja‘far a.s berkata: Sesungguhnya aku benar-benar mengetahui seorang lelaki daripada penduduk Madinah yang telah diambil dari bahagian bukit bumi kepada golongan yang difirmankan Allah a.w di dalam kitab-Nya Surah al-A‘raf (7) :159 “ Dan di antara kaum Musa itu terdapat suatu umat yang memberi petunjuk dengan hak dan dengan yang hak itulah mereka menjalankan keadilan, kerana pertengkaran yang telah berlaku di antara mereka, kemudian beliau kembali tanpa duduk, kemudian beliau melalui air kamu, lalu meminumnya-Iaitu air Furat- Kemudian datang kepada anda, wahai Abu al-Fadhl, lalu mengetuk pintu anda, dan beliau juga telah melalui seorang lelaki yang dipasung kerana pembunuhan(ma‘qul), di atasnya kain yang bersih bersama-samanya sepuluh orang yang diwakilkan untuk mengawalnya.       
       Pada musim panas mereka menyalakan api di sekelilingnya, dan memusingkannya menurut pergerakan matahari. Setiap seorang daripada  sepuluh itu mati, penduduk  kampung akan menggantikannya dengan seorang yang lain. Lantaran itu, orang ramai akan mati, dan sepuluh orang tidak akan berkurangan, maka seorang lelaki tertentu telah melalui di hadapannya dan berkata kepadanya: Apakah cerita anda? Lelaki yang dipasung itu berkata: Jika anda seorang yang alim, maka aku tidak akan memperkenalkan diriku, dan urusanku. Dikatakan bahawa beliaulah anak lelaki Adam yang menjadi pembunuh (inna-hu ibn adama al-qatilu). Muhammad bin Muslim berkata: Lelaki seorang lagi itu adalah Abu Ja‘far a.s (wa kana al-Rajulu aba Ja‘far a.s.)[13]
       Muhammad bin al-Husain bin Abu al-Khattab, daripada Musa bin Sa‘dan, daripada Abdullah bin al-Qasim al-Hadhrami, daripada ‘Umar bin Abban al-Kalbi, daripda Abban bin Taghlab berkata: Aku telah berada di sisi Abu Abdullah a.s, maka seorang lelaki daripada ulama ahli Yaman telah datang kepadanya, maka Abu Abdullah a.s berkata kepadanya: Wahai Yamani! Adakah pada kamu para ulama? Beliau berkata: Ya, beliau berkata: Apakah kadar keilmuan orang alim kamu? Beliau berkata: Sesungguhnya beliau berjalan pada satu malam kadar perjalanan sebulan (inna-hu yasiru fi lailatin wihidatin masirata syahrin), menahan burung terbang dan menjejaki segala kesan.
       Beliau berkata kepadanya: Orang alim di Madinah lebih alim daripada orang alim kamu, beliau berkata: Apakah kadar keilmuan orang alim Madinah (‘ilmu ‘alim al-Madinah)? Beliau berkata: Beliau berjalan satu pagi kadar perjalanan setahun (inna-hu yasiru fi sabahin wahidin masirarata sanatin) seperti matahari apabila diperintah, sesungguhnya matahari pada hari ini tidak diperintah, tetapi apabila diperintah, ia akan melintasi dua belas maghrib (idha umirat taqta‘ ithna ‘asyara maghriban), dua belas masyrik, dua belas matahari, dua belas bulan, dua belas daratan, dan dua belas alam, beliau berkata:Apa yang ada lagi pada tangan orang Yaman itu, aku sendiri tidak mengerti apa yang dikatakan olehnya, lalu Abu Abdullah a.s telah menahan dirinya dari bercakap[14].
       Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada al-Husain bin Sa‘id, daripada Muhammad bin Abu ‘Umair, daripada Abu Ayyub Ibrahim bin Uthman al-Khazzaz, daripada Abban bin Taghlab berkata: Aku telah berada di sisi Abu Abdullah a.s, tiba-tiba seorang lelaki daripada penduduk Yaman telah datang kepadanya, maka beliau berkata kepadanya: Wahai saudara Yaman, adakah di sisi kamu para ulama? Beliau berkata: Ya, beliau berkata: Apakah kadar keilmuan orang alim kamu? Beliau berkata: Beliau berjalan satu malam kadar perjalanan satu bulan, beliau dapat menahan burung terbang dan menjejaki segala kesan.
       Maka Abu Abdullah a.s berkata kepadanya: Orang alim Madinah adalah lebih alim daripada orang alim kamu, beliau berkata: Apakah kadar keilmuan orang alim Madinah? Beliau berkata: Beliau berjalan satu jam di siang hari kadar perjalanan matahari satu tahun (yasiru fi sa‘atin min al-Nahar masirata al-Thamsyi sanatan) sehingga beliau melintasi dua belas alam seperti alam kamu ini, mereka tidak mengetahui bahawa sesungguhnya Allah telah mencipta Adam dan Iblis, beliau berkata: Maka mereka mengetahui kamu (fa-ya‘rifuna-kum )? Beliau berkata: Ya, Allah tidak mewajibkan ke atas mereka selain daripada wilayah kami (wilayata-na) dan pembebasan daripada musuh kami (wa al-Bara’ata min ‘aduwwi-na)[15].
       Ahmad bin al-Husain berkata: Al-Hasan bin al-Barra’ , daripada Ali bin Hassan, daripada Abd al-Rahman bin Kathir berkata: Aku telah berada di sisi Abu Abdullah a.s, tiba-tiba seorang lelaki daripada penduduk Yaman telah memberi salam, maka beliau telah menjawab salamnya, kemudian beliau berkata kepadanya: Apakah kadar keilmuan orang alim kamu? Beliau berkata: Beliau dapat menahan burung terbang, dan menjejaki segala kesan di dalam satu jam kadar perjalanan satu bulan bagi penunggang yang cergas.
       Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya orang alim Madinah adalah lebih alim daripada orang alim kamu, beliau berkata: Apakah kadar keilmuan orang alim kamu?  Beliau berkata: Orang alim Madinah bukan sahaja dapat menjejaki segala kesan, dan menahan burung terbang, malah mengetahui di dalam satu detik kadar perjalanan matahari, melintasi dua belas planet, dua belas daratan, dua belas lautan, dan dua belas alam, maka orang Yaman itu berkata kepadanya: Aku jadikan diri aku tebusan anda, aku tidak fikir orang lain mengetahui perkara ini dan aku tidak mengerti apakah itu semua, lalu beliau keluar[16]

(IKHTISAS)


[1] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  vii, 298
[2] Ibid, vii,  296
[3] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar, vii, 318
[4] Ibid, 297
[5] Ibid,  xi, 34
[6] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  vii,  147
[7] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  vii,  270
[8] Ibid
[9] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  xi,  68
[10] Ibid,  vii, 270
[11] Ibid
[12] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  xi,  68
[13] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  xi,  68
[14] Ibid,  vii , 270
[15] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  vii, 20
[16] Ibid, vii,  368

No comments:

Post a Comment