Monday, July 18, 2011

DIALOG MENGENAI SIFAT TUHAN DALAM MUKTAMAR BAGHDAD

.Mb.

Sifat Tuhan

       Al-‘Alawi berkata: Ahl al-Sunnah mengaitkan kepada Allah perkara yang tidak layak dengan kebesaran-Nya.

       Al-‘Abbasi berkata: Seumpama apa?

       Al-‘Alawi berkata: Umpamanya mereka berkata: Sesungguhnya Allah mempunyai jisim seperti manusia ketawa dan menangis, bagi-Nya tangan, kaki, mata, aurat dan kemasukan satu kaki-Nya ke dalam neraka pada hari Kiamat[1], sesungguhnya Dia turun dari langit kepada langit dunia di atas seekor keldai kepunyaan-Nya!

       Al-‘Abbasi berkata: Apakah yang menghalangnya daripada perkara tersebut sedang al-Qur’an menjelaskannya di dalam Surah al-Fajr (89):22 “Dan datanglah Tuhan mu; sedang malaikat berbaris”, Firman Allah di dalam Surah al-Qalam (68): 42 “Pada hari betis disingkapkan” dan firman Allah di dalam Surah al-Fath (48):10 “Tangan Allah di atas tangan mereka”. Hadis telah menceritakan bahawa sesungguhnya Allah memasukkan satu kaki-Nya pada neraka!

       Al-‘Alawi berkata: Adapun hadis tersebut adalah batil di sisi kami, satu pembohongan dan rekaan semata-mata, kerana Abu Hurairah dan orang seumpamanya telah membohongi Rasulullah  (s.a.w) sehingga Umar telah melarang Abu Hurairah dari memindahkan hadis dan mencegahnya[2].

Raja Meminta Penjelasan
      
       Raja berkata kepada wazir-: Adakah benar bahawa Umar telah melarang Abu Hurairah dari memindahkan hadis?

       Wazir berkata: Ya, dia telah melarangnya sebagaimana di dalam kitab-kitab Tawaarikh.

       Raja berkata: Bagaimana kita berpegang dengan hadis Abu Hurairah?

       Wazir berkata: Kerana ulama telah berpegang kepada hadis-hadisnya.

       Raja berkata: Jikalaulah begitu, ulama mesti lebih alim daripada Umar, kerana Umar telah melarang Abu Hurairah dari memindahkan hadis kerana pembohongannya terhadap Rasulullah, tetapi ulama mengambil hadis-hadisnya yang bohong?!

       Al-‘Abbasi berkata: Lihatlah, wahai al-‘Alawi, sekiranya hadis-hadis tentang Allah tersebut tidak benar, tetapi apakah yang anda lakukan dengan ayat-ayat al-Qur’an tadi?

Muhkamah Dan Mutasyaabihah
      
       Al-‘Alawi berkata: Al-Qur’an ada ayat-ayat Muhkamaah yang merupakan Ummu al-Kitab dan ada ayat-ayat Mutasyaabihaah, ada zahir dan batin. Justeru itu, ayat Muhkamah yang zahir diamalkan menurut zahirnya. Adapun ayat Mutasyaabihah diturunkan di dalam bentuk majaaz dan kinaayah. Jikalau tidak,  maka maknanya tidak sah pada  akal dan syarak. Umpamanya apabila anda membawa pengertian firman Allah di dalam Surah al-Fajr (89):22 “Dan datanglah Tuhan mu; sedang malaikat berbaris” di atas pengertian zahirnya, maka anda bertentangan dengan akal dan syarak, kerana akal dan syarak menghukum kewujudan Allah pada setiap tempat dan setiap tempat tidak sunyi daripada-Nya selama-lamanya. Ayat tersebut pada zahirnya menunjukkan Allah itu berjisim dan jisim baginya ruang dan tempat. Ini bererti jika Allah berada di langit, maka Dia tidak berada di bumi. Jika Dia berada di bumi, maka Dia tidak berada di langit, ini adalah tidak benar pada akal dan syarak.
       Al-‘Abbasi telah gementar di hadapan logik ini dan tercengang untuk menjawabnya. Kemudian dia berkata: Aku tidak boleh menerima percakapan ini dan wajib di atas kita mengambil pengertian zahir kesemua ayat al-Qur’an.

       Al-‘Alawi berkata: Apakah anda lakukan dengan ayat-ayat Mutasyaabihah? Anda tidak boleh mengambil pengertian semua ayat al-Quran secara zahir, jika tidak, sahabat anda yang sedang duduk di sisi anda bernama syeikh Ahmad Uthman (Seorang yang buta penglihatannya, di kalangan sepuluh wakil Ahli al-Sunnah) daripada ahli neraka?

       Al-‘Abbasi berkata: Kenapa?

       Al-‘Alawii berkata: Kerana Allah berfirman di dalam Surah al-Israa’ (17) 72 “Dan barangsiapa yang buta di dunia ini, nescaya di akhirat nanti ia akan lebih buta dan lebih tersesat dari jalan (yang benar)”, syeikh Ahmad adalah seorang buta di dunia, maka dia di akhirat akan lebih buta dan lebih tersesat dari jalan yang benar,  adakah anda reda dengan perkara ini, wahai syeikh Ahmad?

       Syeikh Ahmad berkata: Tidak sekali-kali, sesungguhnya apa yang dimaksudkan dengan orang yang buta  (al-A‘maa) di dalam ayat: Orang yang menyeleweng dari kebenaran.

       Al-‘Alawi berkata: Jikalaulah  begitu keadaannya, maka tetaplah bahawa manusia tidak boleh beramal dengan semua ayat al-Qur’am secara zahir.

Raja Meminta Pertukaran Tajuk
  
       Dari sini perdebatan sekitar zahir al-Qur’an telah berlaku dengan hangat. Al-‘Alawi telah mengalahkan al-‘Abbasi dengan dalil dan hujah sehingga raja berkata: Tinggalkan tajuk ini dan tukarlah kepada tajuk yang lain.



[1] “Sesungguhnya neraka Jahannam tidak akan penuh sehingga Allah meletakkan kaki-Nya, maka neraka Jahannam berkata:”cukup, cukup” Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, iii, hlm.314, al-Bukhari, Sahih, iii, hlm.127, Muslim, Sahih, ii, hlm.482.
[2] Ibn ‘Abd al-Rabbih, al-‘Add al-Fariid, I, 26, Ibn Kathir,Tarikh, viii, hlm 113,

No comments:

Post a Comment