Wednesday, July 6, 2011

Penyaksian ucapan Nabi Saw. pada Hari Ghadir Khum mengenai hak Ali a.s.


       Ali a.s. telah tampil di hadapan mereka seraya berkata: Wahai Muslimin, Muhajirin dan Ansar! Aku menyeru kalian dengan nama Allah, adakah kalian telah mendengar Rasulullah Saw. berkata pada Hari Ghadir Khum,[1] demikian, demikian sehingga beliau tidak meninggalkan sesuatu apapun perkara yang telah diucapkan oleh Rasulullah Saw., sebagai pemberitahuan kepada orang ramai. Merekapun menjawab: Ya.
       Apabila Abu Bakr berasa takut bahawa orang ramai akan membantu Ali (a.s.) dan menghalangnya (Abu Bakr), diapun berkata: Apa yang anda katakan itu adalah betul. Sesungguhnya kami telah mendengarnya dengan telinga kami dan hati kami mengingatinya. Tetapi aku telah mendengar Rasulullah bersabda selepas itu: Kami Ahl al-Bait telah dipilih oleh Allah di mana Dia telah memuliakan kami dan memilih untuk kami Akhirat ke atas Dunia. Dan sesungguhnya Allah tidak mahu menghimpunkan untuk kami Ahl al-Bait kenabian dan khilafah.
       Ali a.s. berkata: Adakah seseorang daripada sahabat Rasulullah Saw. telah menyaksikannya bersama anda? Umar berkata: Benar apa yang dikatakan oleh Khalifah Rasulullah bahawa sesungguhnya aku telah mendengarnya sebagaimana yang dikatakan olehnya. Abu Ubaidah, Salim maula Abi Hudhaifah dan Mu‘adh bin Jabal berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarnya daripada Rasulullah.
       Ali a.s. berkata: Sesungguhnya kalian telah menunaikan perjanjian yang terkandung di dalam Sahifah di mana kalian menandatanganinya di hadapan Ka‘bah bahawa jika Muhammad mati atau terbunuh, kami akan menjauhkan urusan khilafah daripada kami Ahl al-Bait. Abu Bakr berkata: Bagaimanakah anda mengetahui tentangnya? Kami tidakpun memberitahu anda mengenainya!
       Ali a.s. berkata: Anda wahai Zubair, Salman, Abu Dhar dan al-Miqdad, aku menyeru kalian dengan nama Allah dan Islam, adakah anda telah mendengar Rasulullah Saw. berkata sedemikian? Dan adakah kalian telah mendengar bahawa si fulan dan si fulan sehingga beliau menyebutkan kelima-lima nama mereka (yang mendakwa mendengar sabda Rasulullah), kerana mereka telah menulis sebuah perjanjian bersama mereka?
       Mereka menjawab: Ya. Kami telah mendengar Rasulullah Saw. bersabda sedemikian kepada anda. Sesungguhnya mereka telah membuat perjanjian untuk mereka laksanakan dan menulis sebuah perjanjian bersama mereka: Sekiranya aku dibunuh atau mati, mereka akan menjauhkan khilafah daripada anda, wahai Ali! Akupun bertanyakan Rasulullah Saw: Dengan nama bapaku, anda dan ibuku, wahai Rasulullah! Jika berlaku sedemikian, apakah yang anda perintahkan untuk kulakukan? Maka Rasulullah Saw. berkata: Sekiranya anda mendapati pembantu-pembantu, maka perangilah mereka. Dan sekiranya anda tidak mendapati pembantu-pembantu, maka berilah bai‘ah dan jagalah darah anda.
       Ali a.s. berkata: Demi Allah! Sekiranya empat puluh orang lelaki yang memberi bai’ah kepadaku setia kepadaku, nescaya aku memerangi mereka kerana Allah. Tetapi tidak seorangpun daripada keturunan mereka berdua akan menduduki jawatan khalifah sehingga Hari Kiamat. Adapun ucapan mereka yang membohongi kalian tentang Rasulullah Saw., maka firman-Nya dalam Surah al-Nisa’ (4): 54 ada menerangkan. ‘‘Bahkan mereka dengki kepada manusia kerana Allah memberi kurniaan kepadanya? Maka sesungguhnya Kami telah mengurniakan keluarga Ibrahim akan al-Kitab dan al-Hikmah dan Kami kurniakan kepada mereka kerajaan yang besar”. Maka Al-Kitab adalah al-Nubuwwah (kenabian), al-Hikmah adalah al-Sunnah dan Al-Mulk adalah al-khilafah. Dan kamilah keluarga Ibrahim.[2]



[1] Ibn Qutaibah, Kitab al-Ma‘arif, hlm. 251-2. Al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, ii, hlm. 298.
[2] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi‘ al-Mawaddah, hlm. 120-1.

No comments:

Post a Comment