Tuesday, July 5, 2011

MAWADDAH QURBA - IKHTISAS

Hadis Rasulullah S.A.W Bersama Para Sahabat Selepas Turun Ayat al-Mawaddah  

       Ja‘far bin al-Husain bin Muhammad bin Abdullah bin Ja‘far al-Humairi telah memberitahuku daripada bapanya daripada Harun bin Muslim daripada Abu Hasan al-Laithi daripada Ja‘far bin Muhammad daripada bapa-bapanya sesungguhnya beliau berkata: Ketika turun ayat ini ke atas Rasulullah s.a.w di dalam Surah al-Syura (42):23 “ Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun selain mencintai dalam kekeluargaan (ku) Rasulullah s.a.w berdiri dan bersabda: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah telah memfardukan untuk aku ke atas kamu satu fardu: adakah kamu akan melaksanakannya?
       Ja‘far berkata: Tidak seorang pun yang menjawabnya. Maka baginda s.a.w pun kembali. Pada hari keesokannya baginda s.a.w. berdiri di kalangan mereka dan bersabda sedemikian tetapi tidak seorang pun yang menjawab. Apabila sampai hari ketiga, baginda s.a.w. berdiri di kalangan mereka dan berkata: Wahai manusia! Ia bukan emas dan perak, bukan makanan dan minuman. Mereka berkata: Beritahu kami mengenainya. Baginda s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah telah menurunkan ke atasku Surah al-Syura (42)23 “Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun selain mencintai dalam kekeluargaan(ku). Mereka berkata: Adapun yang ini ya. Abu Abdullah a.s berkata: Demi Tuhan! Hanya tujuh orang sahaja yang melaksanakannya: Salman, Abu Dhar, Ammar, al-Miqdad, Jabir bin Abdullah, seorang hamba Rasulullah s.a.w  yang dikenali sebagai Syabib dan Zaid bin al-Arqam[1].
                   
Khuzaimah bin Thabit Dhu Al-Syahadatain

       Muhammad bin al-Hasan telah memberitahu kami daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada al-Hasan bin Musa al-Khathab daripada Ghias bin Kalub daripada Ishaq bin Ammar daripada Ja‘far bin Muhammad a.s bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah membeli seekor kuda daripada seorang lelaki Badwi. Baginda s.a.w. amat menyayanginya. Mereka munafik menyimpan perasaan hasad dengki terhadap Rasulullah s.a.w. dan apa yang telah dibelikan oleh Baginda s.a.w.
       Lantas mereka berkata kepada orang Badwi itu: Sekiranya anda membawa kuda itu ke pasar, nescaya anda dapat menjualnya dengan harga berlipat kali ganda. Lantaran itu, lelaki Badwi merasa tamak dan berkata: Bolehkah aku menarik balik penjualan daripadanya?. Mereka berkata: Tidak, tetapi ia adalah seorang lelaki yang soleh. Apabila dia  datang dengan wang anda, maka katakanlah kepadanya: Aku tidak bermaksud menjual kepada anda dengan harga sebanyak ini. Maka dia akan mengembalikan kuda kepada anda. Ketika Nabi s.a.w datang, Baginda s.a.w. mengeluarkan wang untuk membayar harga kuda kepada lelaki Badwi. Namun lelaki Badwi itu berkata: Aku tidak menjual kuda dengan harga ini.
       Nabi s.a.w bersabda: Demi Yang telah mengutus aku dengan kebenaran sesungguhnya anda telah menjualnya kepada aku dengan harga ini. Khuzaimah bin Thabit berdiri dan berkata: Wahai lelaki Badwi! Aku naik saksi bahawa anda telah menjual kuda kepada Rasulullah s.a.w dengan harga ini. Lelaki Badwi berkata: Sesungguhnya aku telah menjualnya, tetapi tiada seorang pun bersama kami ketika itu. Rasulullah s.a.w bersabda kepada Khuzaimah: Bagaimana anda telah naik saksi dengannya (kaifa syahadta bi-hadha)?  Khuzaimah berkata: Wahai Rasulullah s.a.w ! Demi bapa aku, anda dan ibu aku, anda memberitahu kepada kami tentang Allah dan berita-berita  langit, maka kami membenarkan anda dan bagaimana kami tidak membenarkan anda tentang harga ini? Rasulullah s.a.w telah menjadikan penyaksiannya sama dengan penyaksian dua saksi lelaki. Justeru beliau dinamakan Dhu al-Syahadatain.    



[1] Al-Majlisi,  Bihar al-Anwar,  vi, 778

No comments:

Post a Comment