Tuesday, July 5, 2011

Cara Rawatan Beberapa Penyakit, Peranan Hati, Jantung Dan Paru-Paru daripada al-Raudhah mina l-Kafi oleh al-Kulaini w.328/39 H




                                                                   BAHAGIAN KETUJUH



Cara Rawatan Beberapa Penyakit, Peranan Hati, Jantung Dan Paru-Paru, Rawatan Penyakit Limpa, Rawatan Tali Perut, Rawatan Sakit Sendi, Rawatan Sakit Belakang Dan lain-Lain.

Cara Rawatan Beberapa Penyakit

       217. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada bapanya daripada Abdullah bin al-Mughirah, daripada Ismail bin Muslim daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesiapa yang mengadu kelemahan anggotanya atau sakit kepala atau kencing tidak lancar, maka hendaklah dia meletakkan tangannya di tempat yang sakit dan berkata: Diamilah kediamanmu dengan-Nyalah tenang segala yang ada pada malam dan siang. Dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (uskun sakinata-ka bi lladhi sakana-lahu ma fi al-Laili wa al-Nahaar wa-hua al-Sami‘u al-‘Aliim).

Peranan Hati, Jantung Dan Paru-Paru.

       218. Muhammad bin Yahya daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada Ahmad bin Muhammad ibn Abi Nasr dan al-Hasan bin Ali bin Fadhdhal daripada Abu Jamilah daripada Abu Abdullah a.s berkata: Kecekalan adalah di hati, kasihan belas dan kekasaran di jantung. Sementara perasaan malu di paru-paru. Di dalam hadis yang lain daripada Abu Jamilah: Akal kediamannya di hati.

Rawatan Penyakit Limpa.

       219. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Sahl bin Ziyad daripada Ali bin al-Hasaan daripada Musa bin Bakr berkata: Seorang budak telah mengadu [kesakitannya] kepada Abu al-Hasan a.s, maka dia telah bertanya mengenainya. Ada orang berkata kepadanya: Ia ada kaitan dengan limpa, maka beliau a.s berkata: Berilah makan kepadanya bawang kucai (daun bawang) selama tiga hari, maka kami telah memberi makan kepadanya daun bawang, lalu darahnya berada di paras biasa, kemudian dia sembuh.

Rawatan Tali Perut.

       220. Muhammad bin Yahya daripada beberapa orang, daripada Muhammad bin Isa daripada Muhammad ibn ‘Umru bin Ibrahim berkata: Aku telah bertanya Abu Ja‘far a.s dan aku telah mengadu kepadanya kelemahan tali perutku, maka beliau a.s berkata: Minumlah al-Hizaa’  dengan air sejuk, maka akupun meminumnya. Kemudian aku telah mendapati daripadanya apa yang aku suka.

Rawatan Sakit Sendi.

       221. Muhammad bin Yahya daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada Bakr bin Salih berkata: Aku telah mendengar Abu al-Hasan yang pertama berkata: Daripada angin yang sejuk dan panas serta kesejukan di sendi-sendi, anda mengambil segenggam halia dan segenggam buah tin yang kering, kemudian anda masukkan air dan memasakkannya di dalam periuk yang bersih. Kemudian anda menapisnya. Setelah itu, biarkan ia sejuk. Kemudian anda meminumnya selang sehari sehingga  anda menghabiskan kesemuanya.

Rawatan Sakit Belakang.

       222. Beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad bin Khalid, daripada Muhammad bin Ali daripada Nuh bin Syu‘aib daripada golongan yang telah menyebutnya daripada Abu al-Hasan a.s berkata: Sesiapa yang merasa sakit di belakangnya, maka hendaklah dia memanfaatkan susu segar dan madu.

Membekam.

       223. Al-Husain bin Muhammad daripada Mu‘alla bin Muhammad daripada Muhammad bin Jamur daripada Hamraan berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Pada apakah orang ramai berselisih faham? Aku berkata: Mereka menyangka bahawa membekam (al-Hijaamah) pada hari Selasa adalah lebih baik. Beliau a.s berkata: Apakah alasan mereka? Aku berkata: Mereka menyangka ia adalah hari darah. Maka beliau a.s berkata: Mereka adalah benar. Tetapi adalah lebih baik jika mereka tidak mengeluarkan darah dengan banyak pada hari selasa. Tidakkah mereka mengetahui bahawa pada hari Selasa ada ketikanya jika seorang itu melakukannya, maka darahnya tidak mengalir dengan baik dan ia akan menyebabkan kematiannya atau apa yang dikehendaki Allah.

Membekam Pada Hari Selasa.

       224. Beberapa orang sahabat kami, daripada Sahl bin Ziyad daripada Ya‘qub bin Yazid daripada seorang lelaki Kufah, daripada Abu ‘Urwah saudara Syu‘aib atau Syu‘aib al-‘Aqarqufi berkata: Aku telah berjumpa dengan Abu al-Hasan yang pertama a.s ketika beliau a.s sedang membekam pada hari Selasa di dalam tahanannya. Lalu aku berkata kepadanya: Hari ini, orang ramai berkata: Sesiapa yang membekam pada hari ini, maka dia akan ditimpa penyakit kanser. Maka beliau a.s berkata: Hanya orang yang takut mengenai perkara itu adalah orang yang dikandung oleh ibunya semasa haidhnya.

Membekam Pada Hari Jumaat.

       225. Muhammad bin Yahya daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin Ismail daripada Salih bin ‘Uqbah daripada Ishaq bin ‘Ammar, daripada Abu Abdullah a.s berkata:  Janganlah kamu membekam pada hari Jumaat ketika tergelincir matahari. Sesiapa yang melakukannya sedemikian, maka dia akan ditimpa sesuatu. Justeru janganlah dia mencela dirinya.

Penawar Ada Empat.

       226. Muhammad bin Yahya daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada al-Hasan bin Ali daripada Abu Salmah, daripada Mu‘tab daripada Abu Abdullah a.s berkata:  Penawar ada empat: Tembakau serbuk yang dimasukkan ke dalam hidung (al-Su‘uut), membekam (al-Hijaamah), batu kapur (al-Nuurah) dan suntikan di bawah kulit (huqnah atau hypodermic).

Rawatan Batuk.

       227. Ali bin Ibrahim daripada bapanya daripada ibn Abi ‘Umair daripada ‘Umar bin Adhinah berkata: Seorang lelaki telah mengadu kepada Abu Abdullah a.s mengenai batuk ketika aku hadir bersamanya, maka beliau a.s berkata kepadanya: Ambillah ketika anda beristirahat sedikit gula atau seumpamanya dan menghisapnya selama satu atau dua hari. Ibn Adhinah berkata: Aku telah berjumpa dengan lelaki itu selepas itu, maka dia berkata: Aku telah melakukannya sekali sahaja sehingga batukku hilang.

Kelembapan Tubuh.

       228. Muhammad bin Yahya daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada Sa‘id bin Jinah daripada seorang lelaki daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya Musa bin Imran telah mengadu kepada Tuhannya mengenai kelembapan tubuh, lalu Allah telah memerintahkan supaya beliau a.s mengambil al-Halilaj (mycroban), al-Balilaj dan al-Amlaj. Kemudian mengisarkannya dengan madu lebah dan memakannya. Kemudian Abu Abdullah a.s berkata: Kamu menamakannya al-Tarifal.

Rawatan Luka Dengan Api.

       229. Muhammad bin Yahya daripada Ahmad bin Muhammad daripada Muhammad Khalid daripada Muhammad bin Yahya daripada saudaranya al- ‘Ala’ daripada Ismail bin al-Hasan al-Mutatabbib berkata: Sesungguhnya aku adalah seorang lelaki Arab yang berpengalaman di dalam ilmu perubatan Arab, kami merawat luka dan menyelarnya dengan api? Beliau a.s berkata: Tidak mengapa. Aku berkata: Kami memberikan kepadanya racun al-Ismhiqun dan al-Ghariqun?
        Beliau a.s berkata: Tidak mengapa, aku berkata: Kemungkinan dia mati? Maka beliau a.s berkata: Sekalipun dia mati, aku berkata, adakah kami memberi kepadanya al-Nabiz (arak)? Beliau a.s berkata: Tiada penawar pada perkara yang haram. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengadu (kesakitan), maka ‘Aisyah berkata kepadanya: Anda ada penyakit radang selaput paru-paru? Maka baginda s.a.w bersabda: Aku adalah lebih mulia di sisi Allah dari mengujiku dengan penyakit radang selaput paru-paru. Kemudian baginda s.a.w memerintahkan supaya diberi minum air dari kayu gaharu.

Meminum Ubat Dan Memotong Uratnya Yang Sakit.

       230. Ali bin Ibrahim daripada bapanya daripada Ibn Abi ‘Umair, daripada Yunus bin Ya‘qub berkata: Aku telah berkata kepada Abu Abdullah a.s bahawa seorang lelaki meminum ubat dan memotong uratnya yang sakit. Kemungkinan dia memanfaatkannya atau membunuhnya? Beliau a.s berkata: Dia memotongnya dan meminumnya.

Rawatan Gusi Dan Mulut.

       231. Ahmad bin Muhammad al-Kufi, daripada Ali bin al-Hasan al-Fadhdhal, daripada Muhammad bin Abd al-Hamid, daripada al-Hakam bin Miskin daripada Hamzah bin Tayyar berkata: Aku telah berada di sisi Abu al-Hasan a.s, lalu beliau a.s melihatku merintih, maka beliau a.s berkata: Apa dengan anda? Aku berkata: Gusiku, maka beliau a.s berkata: Kenapa anda tidak membekam? Maka akupun berbekam, maka gusiku menjadi tenang. Kemudian aku memberitahunya mengenainya, maka beliau a.s berkata kepadaku: Orang ramai tidak mengubati dengan sesuatu yang lebih baik daripada segumpal darah atau sesudu madu lebah (maz‘ah al-‘Asal). Aku berkata: Aku jadikan diriku tebusan anda, apakah itu maz‘ah al-‘Asal ? Beliau a.s berkata: Sesudu madu lebah.

Penawar Sakit Gusi.

       232. Beberapa orang sahabat kami, daripada Sahl bin Ziyad daripada Bakr bin Salih, daripada Sulaiman ibn Ja‘far al-Ja‘fari berkata: Aku telah mendengar Abu al-Hasan Musa a.s berkata: Penawar penyakit gusi anda mengambil buah peria (hanzalah),  anda membuang kulitnya, kemudian anda mengeluarkan minyaknya. Sekiranya gusinya berlubang, anda memasukkan beberapa titik minyak peria kedalamnya. Kemudian simpanlah beberapa titik di dalam kapas dan meletaknya di pangkal gusi. Pengidapnya hendaklah tidur telentang. Dia mengambil penawar ini selama tiga malam. Sekiranya gusinya tidak berlubang, tetapi berbau, maka dititik pada telinga yang berhadapan dengan gusinya selama tiga malam dan pada setiap malam dua titik atau tiga titik, maka ia akan sembuh dengan izin Allah.
       Aku telah mendengarnya berkata bagi penyakit mulut dan darah yang mengalir dari gigi serta kemerahan yang berlaku di gigi, hendaklah anda mengambil buah peria basah yang berwarna kuning. Kemudian anda mengambil tanah dan membuat lubang padanya, memasukkan pisau di dalamnya, kemudian anda membukanya dengan perlahan-lahan, lalu anda memasukkan cuka makan yang paling masam. Kemudian anda meletakkannya di atas api sehingga ia masak. Kemudian dia mengambilnya dan berkumur dengannya. Jika dia mahu meletakkan peria di dalam botol, maka dia boleh melakukannya. Dan pada setiap kali cuka itu rosak, maka kembalikannya kepada tempatnya. Dan setiap kali ia segar, maka ia adalah lebih baik baginya , insya’ Allah.

Pandangan Mengenai Ilmu Bintang-Bintang.

       233. Beberapa sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad bin Khalid, daripada Ibn Fadhdhal, daripada al-Hasan bin Asbat daripada Abd al-Rahman bin Siyabah berkata: Aku telah berkata kepada Abu Abdullah a.s: Aku jadikan diriku tebusan anda, Sesungguhnya orang ramai berkata bahawa bintang-bintang adalah tidak halal melihat kepadanya sedangkan ia mengagumkan aku. Jika ia merosakkan agamaku, maka aku tidak perlu kepada sesuatu yang merosakkan agamaku. Jika ia tidak merosakkan agamaku, demi Allah, aku menyukainya dan aku suka melihatnya.
       Abu Abdullah a.s berkata: Ia bukanlah seperti mereka katakan. Ia tidak akan merosakkan agamamu. Kemudian beliau a.s berkata: Kamu menunggu perkara di mana banyaknya tidak boleh dicapai dan sedikitnya tiada manfaat. Adakah kamu mengira mengenai tempat naiknya matahari? Kemudian beliau a.s berkata: Adakah anda mengetahui berapa minitkah di antara al-Musytari dan Zuhrah? Aku berkata: Tidak, demi Allah, beliau a.s berkata: Adakah anda mengetahui berapa minitkah di antara al-Musytari dan bulan? Aku berkata: Tidak, beliau a.s berkata: Adakah anda mengetahui berapa minitkah di antara matahari dan tangkainya (virgonya)?
       Aku berkata: Tidak, demi Allah, aku tidak pernah  mendengar daripada ahli bintang seperti ini. Beliau a.s berkata: Adakah anda mengetahui berapa minitkah di antara tangkainya dan Lauh Mahfuz? Aku berkata: Tidak, aku tidak pernah mendengarnya daripada ahli bintang seperti itu. Beliau a.s berkata: Di antara kedua-duanya  adalah enam puluh atau tujuh puluh minit. Abd al-Rahman menjadi bingung. Kemudian beliau a.s berkata: Wahai Abd al-Rahman, inilah kiraan apabila seorang mengiranya dan mengetahui bilangan “ruasnya” di dalam kawasannya, bilangan di sebelah kanan, kiri, di belakang dan di hadapannya sehingga tidak tersembunyi daripadanya meskipun sebarang ruas di kawasannya.

Tiada Jangkitan, Tiada Padah (tairah), Tiada Kesusahan, Tiada Jahat Sangka.

       234. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada al-Hasan bin Mahbub berkata: Al-Nadhar bin Qirwasy al-Jamal telah memberitahu kami berkata: Aku telah bertanya Abu Abdullah a.s mengenai unta yang menghidapi penyakit kulit, adakah aku mengasingkannya daripada untaku, kerana khuatir ia menjangkitinya dan binatang yang lain.
       Kemungkinan ia menjadi pucat sehingga ia meminum air? Abu Abdullah a.s berkata: Seorang Badwi telah mendatangi Rasulullah s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah, aku mendapati kambing betina, lembu betina dan unta betina dengan harga yang murah, tetapi semuanya menghidapi penyakit kulit, maka aku benci membelinya kerana khuatir ia akan menjangkiti untaku dan kambingku? Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Tiada jangkitan, tiada padah (tairah), tiada kesusahan, tiada jahat sangka, tiada penyakit kuning, tiada penyusuan selepas bercerai susu, tiada perasaan keakraban selepas hijrah, tiada diam sehari sehingga malam, tiada talak sebelum nikah, tiada kemerdekaan hamba sebelum milik dan tiada yatim selepas mencapai umur baligh.

Padah Terletak pada Anda.

       235. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya daripada Abdullah bin al-Mughirah daripada ‘Umru bin Harith berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Padah (tairah) adalah terletak pada  anda. Jika anda memandang ringan terhadapnya,  maka ia tidak memberi kesan kepada anda. Jika anda mengambil berat mengenainya, maka ia akan bertambah serius. Dan jika anda tidak menjadikannya sesuatu, maka tiada apa-apa baginya.

Penutupan  Padah Adalah Tawakal.

       236. Ali bin Ibrahim daripada bapanya, daripada al-Nufali al-Sukuni daripada Abu Abdullah a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:  Penutupan  padah adalah tawakal (kaffaaratu al-Tairati al-Tawakkal).

No comments:

Post a Comment