Tentang Lapan Keping Roti
Abu Ahmad daripada seorang lelaki daripada Abu Abdullah berkata: Dua orang lelaki berkumpul untuk makan. Salah seorangnya mempunyai tiga keping roti sementara seorang lagi mempunyai lima keping roti.
Abu Abdullah berkata: Seorang lelaki datang dan memberi salam kepda mereka berdua. Mereka berdua berkata: Wa alaika al-Salam, dijemput makan bersama. Lalu lelaki itu duduk dan makan bersama mereka berdua. Apabila selesai makan, dia berdiri dan memberi lapan dirham kepada mereka berdua sambil berkata: Ini adalah sebagai ganti kepada kamu berdua terhadap apa yang aku telah makan daripada makanan kamu berdua. Abu Abdullah berkata: Mereka berdua bertengkar mengenai bayaran itu. Lelaki yang mempunyai tiga keping roti berkata: Separuh adalah untuk aku dan separuh adalah untuk anda. Lelaki yang mempunyai lima keping roti pula berkata: Untuk aku lima dirham dengan kadar lima keping roti aku dan untuk anda tiga dirham dengan kadar tiga keping roti anda. Masalah mereka tidak selesai dan terus bertengkar sehingga mereka berjumpa dengan Saidina Ali ra dan memberitahunya mengenainya. Beliau berkata: Sesungguhnya perkara yang kamu berdua bertengkar ini adalah sedikit nilainya, justeru kamu berdua tidak patut membawanya ke pengadilan.
Kemudian Saidina Ali ra berjumpa dengan lelaki yang mempunyai tiga keping roti sambil berkata: Aku fikir sahabat anda telah mencadangkan untuk memberi kepada anda tiga dirham, kerana rotinya adalah lebih banyak daripada roti anda, maka redailah cadangannya. Dia berkata: Tidak, demi Tuhan, wahai Amir al-Mukminin, aku tidak reda melainkan dengan berlalunya pengadilan. Beliau berkata: Sesungguhnya jika pengadilan dilakukan, maka anda berhak satu dirham. Lantaran itu, ambillah satu dirham dan berilah kepadanya tujuh dirham. Dia berkata: Subhana l-Lah! Wahai Amir al-Mukminin! dia telah mencadangkan kepada aku tiga dirham, maka aku enggan. Bagaimana aku akan mengambil satu dirham sahaja? Beliau berkata: Beliau telah mencadangkan kepada anda tiga dirham adalah untuk perdamaian, tetapi anda telah bersumpah bahawa anda tidak reda melainkan dilakukan pengadilan.
Jika pengadilan dilakukan, anda berhak satu dirham. Dia berkata: Berikan penjelasan kepada aku? Beliau berkata: Tidakkah anda mengetahui bahawa tiga yang anda miliki itu adalah sama dengan sembilan dibahagikan dengan tiga. Dia berkata: Ya. Beliau berkata: Tidakkah anda mengetahui bahawa limanya itu adalah menyamai lima belas dibahagikan dengan tiga? Dia berkata: Ya. Jadi semuanya adalah dua puluh empat dibahagikan dengan tiga. Engkau telah memakan lapan, tetamu telah memakan lapan dan sahabat anda telah memakan lapan. Maka tinggallah daripada sembilan anda itu satu dan telah dimakan oleh tetamu. Dan tinggal daripada lima belasnya adalah tujuh, maka ia telah dimakan oleh tetamu, lantaran itu, dengan tujuhnya, ia mendapat tujuh dan anda dengan satu anda yang telah dimakan oleh tetamu maka anda mendapat satu.
No comments:
Post a Comment