Musibah Kita: Ijtihad Melawan Nas
Dari kajianku ini dapat disimpulkan bahawa musibah umat Islam sebenarnya bertolak dari keberanian sahabat berijtihad di hadapan nasnas yang sangat jelas maknanya. Lantaran itu maka batas-batas hukum Allah telah dilampaui dan sunnah-sunnah Nabi dilanggar. Para ulama dan imam yang datang selepas sahabat mengambil qiyas dan ijtihad para sahabat, dan kadang-kadang menolak nas Nabi jika ianya bertentangan dengan apa yang dilakukan oleh seseorang sahabat, bahkan menolak nas al-Qur'an. Aku bukan mahu mengada-adakan atau berlebih-lebihan. Dan telah aku contohkan di atas betapa mereka membelakangi nas al-Qur'an dan nas Nabi tentang perkara tayamum, dan berijtihad meninggalkan solat kerana tiadanya air. Dan Abdullah bin Umar telah menjustifikasikan ijtihadnya ini dengan cara yang kita sebutkan di atas tadi.
Di antara sahabat pertama yang membuka pintu ini adalah khalifah kedua, yang menggunakan pendapatnya setelah wafatnya baginda tadi, walau ianya bertentangan dengan nas Qur'an. Beliau telah memberhentikan saham muallaf yang telah Allah wajibkan di dalam al- Qur'an di dalam pembahagian saham zakat. Katanya: kami tidak perlu lagi dengan kalian.
Adapun ijtihadnya di dalam nas-nasnya Nabi SAWA sungguh banyak. Beliau telah berijtihad di masa hidupnya baginda sendiri, dan pernah menentangnya beberapa kali. Di atas telah kita contohkan pertentangannya dengan Nabi dalam kes perdamaian Hudaibiyyah, melarang Nabi menulis wasiat, katanya: cukuplah kita dengan Kitab Allah.
Dan juga telah berlaku kepadanya suatu peristiwa dengan Rasulullah SAWA yang mungkin akan memberikan kepada kita gambaran jelas tentang peribadi Umar yang merelakan dirinya membantah dan menentang utusan Allah ini. Insiden ini disebut dengan istilah beritagembira perihal syurga. Waktu itu Nabi mengutus Abu Hurairah berkata kepadanya:"Siapa sahaja yang engkau temui menyaksikan bahawa Tiada Tuhan Selain Allah dengan keyakinan sepenuhnya, maka berilah beria gembira padanya perihal syurga. Abu Hurairah keluar untuk membawa berita gembira ini. Di jalan beliau berjumpa dengan Umar. Umar melarangnya, bahkan memukulnya sehingga jatuh. Abu Hurairah kembali menemui Rasulullah sambil menangis. Diberitahunya tentang apa yang dilakukan oleh Umar kepadanya. Nabi bertanya kepada Umar alasan apakah yang menyebabkan ia memperlakukan Abu Hurairah sedemikian? Jawab Umar: apakah anda telah mengutusnya untuk memberitahu khabar gembira kepada setiap orang yang mengatakan Lailaha Illallah dengan penuh keyakinan? Ya, jawab Nabi. Lalu Umar menjawab: Jangan kau lakukan, kerana aku khuatir manusia nantinya akan bersandar pada Lailaha Illallah saja!! Dan lihatlah pula puteranya, Abdullah bin Umar, yang khuatir manusia akan bersandar pada tayamum lalu menyuruh mereka meninggalkan solat.
Bukankah baik seandainya mereka membiarkan nas-nas itu seperti adanya, dan tidak merubah-rubahnya dengan ijtihad mereka yang tumpul itu, yang menyebabkan terhapusnya syariah dan terlanggarnya ketentuan-ketentuan Allah serta terpecahnya umat ke dalam berbagai madzhab, golongan, dan pendapat.
Dan sikap-sikap Umar terhadap Nabi dan sunnahnya dapat difahami bahawa beliau sebenarnya tidak sehari pun percaya Nabi itu bersifat Maksum bahkan beliau melihat bahawa Nabi adalah manusia biasa yang boleh salah dan benar.
Dan dari sinilah timbulnya gagasan Ahlul Sunnah Wal Jamaah bahwa Nabi itu maksum hanya di dalam menyampaikan al-Qur'an sahaja. Selainnya Nabi kadang-kadang melakukan kesalahan, seperti manusia lain. Mereka berhujah bahawa Umar pernah membetulkan baginda di dalam banyak perkara.
Jika Rasulullah SAWA seperti yang diriwayatkan oleh sebahagian orang yang jahil - menerima ajakan syaitan di rumahnya, ketika baginda terbaring di sana dan (menyaksikan) wanita-wanita memukul gendang sementara syaitan menari-nari dan bergembira di sisinya, sehinggalah ketika Umar masuk maka larilah syaitan dan para wanita menyembunyikan gendang-gendangnya, lalu Nabi berkata kepada Umar: Apabila syaitan melihatmu berjalan di suatu jalan, maka dia terus lari mencari jalan lain, jika itu semua berlaku maka tidak hairanlah kalau Umar mempunyai "hakberpendapat" di dalam urusan agama, dan mengizinkan dirinya untuk menentang Nabi di dalam urusan politik, dan bahkan agama seperti kes di atas.
Dan dari gagasan ijtihad dan hak-berpendapat yang bertentangan dengan nas inilah maka muncullah atau terbentuklah sekelompok sahabat yang dipimpin oleh Umar bin Khattab. Seperti yang kita lihat, mereka menyokong pendapat Umar di dalam Tragedi Hari Khamis, walau ia jelas bertentangan dengan nas Nabi SAWA. Dan dari sini juga kita dapat simpulkan bahawa mereka sebenarnya tidak pernah menerima nas al- Ghadir, dimana Nabi melantik Ali sebagai khalifah selepasnya. Sikap penolakan ini benar-benar ditunjukkannya di saat wafatnya baginda SAWA. Kes-kes seperti perhimpunan di dalam Saqifah Bani Saidah serta pemilihan Abu Bakar sebagai khalifah adalah hasil dari ijtihad seumpama ini. Ketika kedudukan mereka kukuh dan orang banyak telah lupa akan nas-nas Nabi yang berkenaan dengan khalifah khasnya maka mereka mulai berijtihad di dalam segala perkara, sehingga hukum-hukum di dalam al- Qur'an sekalipun. Mereka telah menghentikan beberapa hukum hudud, dan merubah beberapa hukum ahkam.
Di antara ijtihad yang bertentangan dengan nas adalah Tragedi Fatimah Az-Zahra yang dihadapinya setelah tragedi suaminya yang dirampas dari jabatan khilafah. Kemudian tragedi pembunuhan orang-orang yang enggan membayar zakat, pengangkatan Umar bin Khattab sebagai khalifah, di mana Abu Bakar berijtihad dengan pendapatnya dan menjatuhkan konsep syura yang dijadikannya hujah untuk keabsahan khilafahnya dahulu. Lebih jauh lagi setelah Umar menjawat jabatan khalifah, dihalalkannya apa yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya [108] serta diharamkannya apa yang dihalalkan oleh Allah dan RasulNya SAWA [109].
Ketika Uthman memerintah pada zaman berikutnya, beliau telah pergi lebih jauh lagi dari dua khalifah sebelumnya sehingga ijtihadnya telah banyak mempengaruhi kehidupan politik dan agama secara am, dan mengakibatkan munculnya revolusi menentangnya sehingga beliau terbunuh akibat ijtihadnya.
Ketika Imam Ali memegang kekuasaan dan menjadi khalifah, beliau mendapatkan kesukaran yang amat sangat di dalam mengembalikan kaum Muslimin kepada sunnah Nabi dan pangkuan al-Qur'an. Beliau begitu bersungguh-sungguh di dalam menghilangkan segala jenis bid'ah yang telah dimasukkan ke dalam agama, namun sebahagian mereka berteriak: sunnah Umar, sunnah Umar!!!
Aku hampir pasti bahawa mereka yang memerangi Imam Ali dan yang menentangnya adalah kerana Ali AS cuba untuk membawa mereka kepada jalan yang asal dan mengembalikan mereka kepada nas-nas yang sahih, mematikan segala bid'ah,dan ijtihad yang telah dilekatkan pada agama sepanjang seperempat abad. Bid'ah-bid'ah ini telah sebati dengan orang ramai, khasnya mereka yang mengikut hawa nafsu dan ketamakan dunia, yang telah menyalahgunakan harta Allah dan memprhambakan hambahambaNya, yang telah memanipulasi emas dan perak dan mengharamkan orang-orang yang lemah dari hak-hak mereka yang ditentukan oleh Allah dan Islam walau kecil sekalipun.
Kadang-kadang kita dapati bahawa para mustakbirin di setiap zaman sangat cenderung untuk berijtihad, kerana ianya membuka mereka jalan untuk dapat sampai kepada cita-citanya dengan cara bagaimanapun juga. Sementara nas-nas ini akan menghambat cita-cita itu dan bahkan menghalanginya. Lalu ijtihad ini mendapatkan sokongan di setiap zaman dan tempat, hatta golongan mustadha'fin sekali pun. Ini kerana ianya mudah dipraktikkan dan tidak memiliki suatu komitmen yang tegas.
Sementara nas memiliki ketegasan dan ketidakbebasan. Orang-orang politik kadang-kadang menamakannya dengan istilah hukum teokrasi, yang bermakna hukum Allah. Tetapi kerana ijtihad memiliki kebebasan dan tidak komitmen, maka mungkin mereka mengistilahkannya dengan hukum demokrasi yakni kuasa rakyat.
Mereka yang berhimpun di Saqifah setelah wafatnya Nabi SAWA telah menghapuskan kekuasaan teokrasi yang di asaskan oleh Nabi SAWA berdasarkan nas-nas al-Qur'an, dan menggantikannya dengan kekuasaan demokrasi yang dipilih oleh rakyat, untuk memilih ketua yang dianggapnya layak untuk memimpin. Namun para sahabat waktu itu belum mengenal istilah demokrasi, kerana ianya bukan bahasa Arab. Yang mereka ketahui hanyalah konsep syura?
Mereka yang tidak menerima adanya nas di dalam perkara khilafah hari ini, adalah pendukung-pendukung demokrasi. Mereka sangat bangga sebagai pendokong demokrasi ini. Mereka mendakwa bahawa Islam adalah agama pertama yang melaksanakan konsep demokrasi ini. Mereka adalah pendokong-pendokong ijtihad dan pembaharuan, yang hari ini lebih dekat dengan konsep-konsep barat. Itulah kenapa hari ini kita dengar dunia barat memuji mereka dan menamakan mereka sebagai kaum Muslimin yang modernis dan toleran.
Adapun Syiah adalah pendokong-pendokong teokrasi, atau kekuasaan Allah. Mereka menolak ijtihad yang bertentangan dengan nas dan memisahkan antara kekuasaan Allah dan konsep syura.Bagi mereka syura tiada kena mengena dengan nas.Syura dan ijtihad boleh dilakukan dalam perkara-perkara yang tidak ada nas di dalamnya. Bukankah anda lihat bahawa Allah SWT yang telah memilih RasulNya Muhammad SAWA tetapi Dia juga berfirman:"Dan musyawarahilah (syura) mereka di dalam perkara". Adapun berkenaan dengan pemilihan kepimpinan yang akan memimpin manusia, Allah berfirman:"Tuhan kamu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilih (apa yang Dia kehendaki). Mereka (manusia)
tiada hak memilih".
Syiah ketika menyatakan bahawa Ali adalah khalifah setelah Nabi SAWA, ini adalah kerana mereka berpegang pada nas. Dan ketika mereka sebahagian sahabat, yang dicela adalah mereka yang telah menggantikan nas-nas dengan ijtihad, lalu mereka mensia-siakan hukum Allah dan RasulNya serta melukai agama Islam yang sampai sekarang belum sembuh. Itulah kenapa dunia barat dan para pemikir mereka cuba mendiskreditkan Syiah dan menamakannya sebagai madzhab yang fanatic atau reaksioner. Ini kerana mereka ingin kembali kepada al-Qur'an yang menghukum potong tangan pada pencuri, merejam si penzina dan memerintahkan berjihad di jalan Allah SWT. Bagi barat semua ini adalah barbarisme dan ganas.
Dari kajianku ini juga aku dapat memahami kenapa sebahagian ulama Ahlul Sunnah Wal Jamaah menutup pintu ijtihad sejak kurun kedua Hijrah. Ini mungkin kerana ijtihad seumpama itu mengakibatkan malapetaka bahkan pertumpahan darah yang tidak sedikit ke atas umat ini. Ijtihad seumpama itu telah merubah umat yang terbaik ini menjadi umat yang saling berperang, penuh dengan perselisihan dan fanatic kesukuan dan merubahnya dari Islam kepada Jahiliyyah. Adapun Syiah masih membukan pintu ijtihad selagi nas-nasnya ada. Tiada siapapun yang boleh merubahnya. Dan mereka dibantu dengan wujudnya dua belas imam yang mewarisi ilmu datuknya Nabi SAWA. Mereka berkata bahawa semua permasalahan ada hukumnya di sisi Allah, dan telah dijelaskan oleh Nabi SAWA.
Dan dapat difahami juga bahawa Ahlul Sunnah Wal Jamaah ketika mengikut para sahabat yang "mujtahidin" yang melarang penulisan sunnah Nabi SAWA, akhirnya mereka dapati diri mereka terpaksa melakukan ijtihad dengan pendapat atau qiyas atau istishab atau sad bad zara'ik dan sebagainya ketika nas-nas Nabi tiada. Sementara kita juga faham sikap Syiah yang duduk di sekitar Ali, seseorang yang dikatakan sebagai Pintu Kota Ilmu dan pernah berkata:"tanyakan aku segala sesuatu kerana Nabi telah mengajarku seribu bab ilmu dan setiap bab dapat membuka seribu bab yang lain"[110].Sementara orang-orang bukan Syiah berkisar di sekitar Muawiyah bin Abi Sufian yang mengetahui sunnah Nabi hanya sedikit sekali.
Imam golongan yang baghi (zalim-pemberontak) ini akhirnya menjadi Amirul Mukminin setelah wafatnya Imam Ali AS. Dia telah campur adukkan agama Allah ini dengan pendapatnya lebih dari orang-orang sebelumnya. Ahlul Sunnah menganggapnya sebagai Penulis Wahyu, dan di antara ulama yang mujtahid. Bagaimana mereka menghukumkan ijtihadnya sedangkan dia telah meracun Hasan bin Ali dan membunuhnya sedangkan Hasan (seperti sabda Nabi) adalah Penghulu Pemuda Syurga. Mungkin mereka juga akan berkata: Ini juga di antara ijtihadnya, tetapi tersalah!!!!
Bagaimana mereka menghukumkan ijtihadnya sedangkan dia telah mengambil baiah dari umat secara terpaksa, sama ada untuk dirinya atau untuk puteranya Yazid; lalu dia yang merubah konsep "syura" kepada "kerajaan" dan kekaisaran (konsep kerajaan di Rom). Bagaimana mereka menghukumkan ijtihadnya dan bahkan memberikannya satu pahala, sedangkan dia telah mengajak orang ramai melaknati Imam Ali AS dan keluarga Nabi dari atas mimbar dan bahkan telah menjadi tradisi Umaiyyah sepanjang enam puluh tahun. Bagaimana mereka menamakannya sebagai Penulis Wahyu sedangkan wahyu turun kepada Nabi SAWA sepanjang dua puluh tiga tahun dan sebelas tahunnya Muawiyah masih dalam keadaan syirik. Ketika beliau masuk Islam, kita tidak dapati satu riwayatpun yang mengatakan bahawa Muawiyah tinggal di Madinah, sementara Nabi SAWA tidak pernah tinggal di Mekah selepas Pembukaan Kota Mekah (Fathu Makkah).
Bagaimana Muawiyah dapat menyandang gelaran Penulis Wahyu? La Haula Wala Quwwata Illa Billa Al-'Ali al-'Azim. Pertanyaan yang terus menggugat: Mana satu kelompok yang benar dan mana yang batil? Sama ada Ali dan Syiahnya adalah orang-orang yang zalim dan dalam keadaan batil ataukah Mauwiyah dan pengikutnyapengikutnya? Sebenarnya Rasulullah SAWA telah menjelaskan segala sesuatu secara sempurna. Namun sebahagian orang yang mendakwa diri mereka sebagai Ahlul Sunnah telah mentafsirkannya secara salah. Sepanjang kajianku dan pembelaanku dahulu terhadap Muawiyah aku dapati bahawa mereka sebenarnya bukan sebagai pengikut sunnah tetapi pengikut Muawiyah dan Bani Umaiyyah. Khasnya setelah aku kaji secara teliti sikap-sikap mereka yang membenci Syiahnya Ali dan bergembira di hari Asyura serta membela para sahabat yang pernah mengganggu Rasulullah SAWA di masa hayatnya dan selepas wafatnya. Mereka tetap sahaja membenarkan kesalahan sahabat-sahabat seumpama ini dan cuba menjustifikasikan tindakan-tindakan mereka.
Cuba anda renungkan bagaimana anda mencintai Ali dn Ahlul Bayt Nabi sementara anda juga dalam masa yang sama rela kepada musuh-musuhnya dan pembunuh-pembunuhnya? Bagaimana anda mencintai Allah dan RasulNya sementara dalam masa yang sama anda juga membela mereka yang merubah-rubah hukum Allah dan RasulNya serta berijtihad dan menakwilkan dengan pendapatnya apa-apa yang ada dalam hukum ahkam Allah? Bagaimana anda menghormati orang yang tidak menghormati Rasulullah, bahkan menuduhnya dengan kata-kata yang 'mempertikaikan' dalam perlantikannya? Bagaimana anda mematuhi para pemimpin yang dilantik oleh kerajaan Umaiyyah dan kerajaan Abbasiyyah lalu meninggalkan para imam yang telah dilantikoleh Rasulullah SAWA lengkap dengan bilangannya [111] dan nama-nama mereka [112].Bagaimana anda mematuhi orang yang tidak mengenal Nabi dengan sempurna lalu meninggalkan Pintu Kota Ilmu dan seorang yang seumpama Harun di sini Musa?
Siapa yang menciptakan istilah Ahlul Sunnah Wal Jamaah?
Aku telah cuba mengkaji di dalam sejarah tetapi tidak aku dapati. Yang ada hanyalah mereka sepakat menamakan tahun pengambil-alihan kekuasaan oleh Muawiyah sebagai Tahun Jama'ah. Mengingatkan bahawa umat Islam pada waktu itu terbahagi kepada dua kelompok: pengikut Ali dan pengikut Muawiyah. Ketika Imam Ali syahid dan Muawiyah mengambil-alih kekuasaaan setelah perdamaian dengan Imam Hasan, maka Muawiyah menjadi Amirul Mukminin.Tahun itu dinamakan sebagai Tahun Jama'ah.
Nah, dengan demikian penamaan Ahlul Sunnah Wal-Jama'ah menunjukkannya sebagai pengikut Sunnah Muawiyah dan sepakat menerimanya sebagai pemimpin; bukan pengikut Sunnah Rasulullah SAWA. Para Imam keturunan Nabi dan Ahlul Baytnya lebih tahu periha Sunnah datuknya dari bekas-bekas tawanan perang ini. Tuan rumah lebih tahu akan isi rumahnya. Dan penduduk Mekah lebih tahu akan selok-belok negerinya. Namun kita telah membelakangi dua belas imam yang telah disabdakan oleh Nabi SAWA itu dan mengikut para musuh mereka.
Walaupun kita mengakui keabsahan hadith yang bermaksud ada dua belas imam selepas Nabi, kesemuanya mereka dari kalangan Quraisyu, namun kita selalu terhenti pada empat khalifah sahaja. Mungkin Muawiyah yang menamakan kita sebagai Ahlul Sunnah Wal Jamaah bermaksud sebagai kesepakatan kepada sunnahnya di dalam mencaci Ali dan Ahlul Bayt Nabi yang berpanjangan sehingga enam puluh tahun. Hanya Umar bin Abdul Aziz RA sahaja yang mampu menghilangkan sunnah yang buruk ini.
Sebahagian ahli sejarah mengatakan bahawa golongan Umaiyyah berpakat untuk membunuhnya, walau pun beliau adalah dari kalangan keluarga yang sama. Ini kerana beliau mematikan sunnah mereka yakni melaknat Ali bin Abi Talib.
Wahai sahabat-sahabatku. Marilah kita mencari kebenaran di bawah bimbingan Allah SWT.Buanglah jauh-jauh segala jenis taksub dan fanatic buta. Kita adalah korban Bani Abbasiyyah, korban sejarah yang gelap, korban kejumudan berfikir yang dipaksakan oleh generasi sebelumkita.Tidak syak lagi kita juga adalah korban makar perbuatan Muawiyah, Amr bin Ash, Mughirah bin Syu'bah dan sejenisnya. Kajilah fakta sejarah Islam kita agar kalian dapat menemukan kebenaran dan Allah akan melipatgandakan pahalaNya kepada kalian. Semoga Allah menyatupadukan umat yang telah bercerai-berai menjadi tujuh puluh tiga puak. Marilah kita menyatupadukannya di bawah bendera Lailaha Illallah Muhammadur Rasulullah, dan patuh pada Ahlul Bayt Nabi yang telah diperintahkan oleh Rasulullah untuk diikuti. Nabi bersabda:"Jangan kalian melebihi dari mereka kerana kelak akan celaka, dan jangan ketinggalan dari mereka kerana kelak akan celaka, dan jangan ajari mereka kerana
mereka lebih tahu dari kalian"[113].
Jika kita amalkan ini maka Allah akan mengangkat murkaNya dari kita, dan menggantikan rasa takut kita kepada kedamaian, dan menempatkan kita dibumiNya sebagai khalifah-khalifahNya serta memunculkan kepada kita pilihanNya Imam Mahdi AS seperti yang telah dijanjikan oleh Nabi SAWA yang kelak akan mengisi dunia ini dengan keadilan setelah ianya penuh dengan kezaliman dan penindasan. Dan Allah kelak akan memancarkan cahayaNya di segenap penjuru.
No comments:
Post a Comment